Jumaat, Julai 11, 2014

Kelebihan Bershalawat

Hari Jumaat ini, jangan lupa memperbanyakkan lagi shalawat dan salam kita ke atas Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ingat jasa baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam, tanpa baginda mana kita tahu keagungan al-Quran, kebesaran Ramadhan dan kewajipan berpuasa. Anjing pun tahu mengenang jasa, inikan pula kita manusia makhluk yang mulia ciptaannya. Semua telah mengetahui akan kelebihan bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Namun tiada salah jika kita mengulanginya agar kita sentiasa bersemangat dan istiqamah dengan amalan yang amat bernilai ini. Syaikh Muhammad bin Ahmad al-Munla rahimahullah dalam "ash-Shilaatul Kubra fi Syarhish Shalatish Shughra" menyatakan, antara lain, sebagai berikut:-
Bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam menjadi sebab bagi seseorang itu menerima 10 kemuliaan:
1. Jadi dekat dengan Tuhan ar-Rahman; 
2. Timbangan amalan penuh sarat dengan kebajikan;
3. Syurga jadi tempat kediaman;
4. Iman di dada ditinggikan;
5. Darjat diangkat mengatasi yang lain;
6. Daripada seksaan Zabaniyyah dapat kelepasan;
7. Sifat lupa dihilangkan;
8. Dua malaikat pencatat amalannya naik kesaksian;
9. Mereka baginya mendoakan keampunan;
10. Daripada kemurkaan Allah memperolehi keamanan.

Imam Ibnu Farhun rahimahullah pula menyatakan 10 kemuliaan tersebut adalah:-
1. Dapat balasan shalawat Malikul Jabbar;
2. Dapat syafaat Nabi al-Mukhtar;
3. Dapat mengikut amalan para malaikat yang abrar;
4. Dapat menyalahi perbuatan munafiqin dan kuffar;
5. Dapat menghapuskan kesalahan dan auzar (dosa-dosa);
6. Dapat pertolongan bagi hajat dan awthar (keperluan);
7. Dapat nur gemilang menerangi zahir dan asrar (batin);
8. Dapat selamat dari neraka Darul Bawar;
9. Dapat masuk  syurga Darul Qarar;
10. Dapat salam Tuhan ar-Rahim al-Ghaffaar.
Oleh itu janganlah dibiarkan waktu kita berlalu pergi tanpa kita mengisinya dengan shalawat ke atas Junjungan Nabi. Labanya tinggi sekali, jika dibiarkan, maka ruginya tiada terperi. Di akhirat menyesali kealpaan diri. Allahu ... Allah, Allahumma shalli wa sallim `ala Sayyidil Awwalin wal Akhirin, Sayyidina Muhammad wa `ala aalihi wa ashhaabihi ajma`in.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan