Rabu, Ogos 27, 2014

Potret Imam al-Ghazali ???

Di atas adalah antara lukisan yang dikatakan sebagai potret rupa Hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali rahimahullah yang disebarkan dalam masyarakat. Bahkan ada yang telah menjadikan gambar tersebut sebagai "cover" bagi buku - buku agama terutama sekali yang berkait dengan Hujjatul Islam sehingga menyebabkan sesetengah orang awam menerima bulat-bulat bahawa itulah rupa Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullah. Lukisan yang pada asalnya hitam-putih dan bergondol kepala, kemudiannya telah diberi warna dan diedit untuk lebih menepati citarasa Islami dengan memasukkan serban atau kopiah. Sebenarnya gambar yang beredar tersebut bukanlah rupa sebenar Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullah. Ianya adalah khayalan pelukis tertentu dan kini bukan sahaja Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullah, lukisan-lukisan yang dikatakan sebagai rupa Imam asy-Syafi`e radhiyaAllahu `anhu pun telah direka, bahkan ada yang mengedarkan lukisan-lukisan yang dikatakan sebagai rupa sahabat yang empat radhiyaAllahu `anhum.... Allahu .... Allah. Sikit hari lagi, jika tak dibendung, maka mereka akan lebih berani lagi mengedarkan lukisan yang dikatakan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Lukisan - lukisan sedemikian ini sememangnya telah ada lama hasil rekayasa para pelukis yang rajin berkhayal ditambah pula dengan penerimaan puak-puak sesat seperti Syiah terhadap karya mereka ini. Oleh itu, kita tidak hairan jika lukisan - lukisan "orang suci" tersebar luas di kalangan puak Syiah, namun apa yang menggusarkan kita adalah apabila orang - orang awam dalam masyarakat kita pun telah mula menerima potret - potret khayalan ini sebagai benar.

Berbalik kepada lukisan yang dikatakan sebagai Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullah, ese salinkan di sini jawapan ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang terkenal di Nusantara, KH Sirajuddin Abbas rahimahullah dalam buku beliau "Kemusykilan Agama" mengenai potret yang dikatakan sebagai rupa wajah Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullah untuk kita jadikan panduan. Pada halaman 12 - 15, beliau rahimahullah, mencatatkan sebagai berikut:-
Menurut pendapat kami itu adalah potret khayalan, bukan benar - benar. Dasar pendapat ini adalah:-
1) Imam Ghazali meninggal dunia tahun 505H, bersamaan dengan tahun 1111M. Sekarang tahun 1980M (yakni tahun KH Sirajuddin menulis jawapan ini), jadi Imam Ghazali sudah meninggal dunia 869 tahun yang lalu. Pada zaman itu, potret Imam Ghazali belum ada, dan belum dikenal. Sejarah potret itu baru dimulai pada tahun 1802, baru 178 tahun, ketika seorang sarjana Inggeris bernama Thomas Wedgwoog berhasil membuat copy photografi dari lukisan pada kaca (glass). 22 tahun sesudah itu barulah sarjana-sarjana Perancis, Niepce dan Daguerre, berhasil membuat potret sebagai keadaan sekarang. Jadi pemotretan itu baru dikenal di dunia 691 tahun sesudah meninggalnya Imam Ghazali. (Baca Encyclopedia "The New Faunk and Wagnalls", jilid 2, halaman 9561). Maka teranglah dan masuk akal kalau dikatakan bahawa potret muka Imam Ghazali itu bukanlah berasal dari potret benar-benar.
2) Apakah tidak mungkin potret itu berasal dari lukisan? Umpamanya Imam Ghazali pada masa hidupnya membiarkan dirinya dilukis oleh pelukis di atas kertas atau di atas kain. Lukisan itu tersimpan di sesuatu tempat yang dipelihara. Kemudian tahun - tahun terakhir, lukisan itu didapatkan oleh pencinta beliau, lalu dipotret sebagai yang terlihat dalam potret itu? Ini juga tidak mungkin, kerana pada zaman Nabi dan tahun - tahun sesudah Nabi, walaupun sudah ada seni lukis, tetapi yang dilukis itu hanyalah gambar-gambar benda yang tidak bernyawa, seumpama kayu - kayuan, gunung - gunung, sungai - sungai, lautan dan lain - lain. Melukis haiwan yang bernyawa dilarang keras oleh Nabi Muhammad s.a.w. Imam Ghazali sebagai seorang Ulama besar, Ahli tasauf yang tinggi, tidak mungkin membiarkan dirinya menjadi objek dari pekerjaan yang terlarang dalam agama. Di dalam kitab Hadis Bukhari terdapat hadis sebagaimana di bawah ini (ese nukilkan terjemahannya sahaja):- "Berkata Sa`ad bin Abil Hasan: "Pada suatu hari saya bersama Ibnu `Abbas. Tiba-tiba datang seorang laki-laki bertanya: " Wahai Ibnu `Abbas, bahawasanya saya seorang yang hidup dari pencarian tangan, saya membuat lukisan - lukisan ini." Maka Ibnu `Abbas menjawab:"Mahukah engkau mendengar dari apa yang saya dengar dari Rasulullah s.a.w., saya dengar beliau berkata: "Barangsiapa yang membuat gambar, maka Allah akan menyiksanya, disuruh tiupkan roh pada gambar itu, padahal ia tidak bisa meniupkan roh itu selama-lamanya." Maka laki-laki yang bertanya itu menjadi gementar, pucat mukanya. Lalu Ibnu `Abbas menyambung perbicaraannya: "Kalau kamu mahu menggambar (yakni melukis) juga, maka buatlah gambar kayu-kayan dan sekalian benda yang tidak bernyawa." (H.S. Riwayat Bukhari - lihat Fathul Bari syarah Bukhari, Juz V, halaman 321.) ....................
3) Dalam buku terjemahan "Ihya Ulumuddin", karangan Maisir Thaib cs. terbitan Syanza Bukittinggi, 1976, diterangkan di bawah potret kepada Imam Ghazali itu sebagai berikut: "Abu Hamid Al-Ghazali menurut lukisan khayal dari pelukis dan pujangga Arab, Jibran Khalil Jibran." Teranglah bahawa itu adalah potret khayal, image, bukan benar-benar. Kalau benar ini buatan Jibran Khalil Jibran, dapat kami tambahkan, bahawa potret ini adalah potret khayal dari seorang pelukis Libnan beragama Kristian, bernama Jibran Khalil Jibran, lahir di Libnanntahun 1883 dan meninggal dunia di Amerika tahun 1931. (Lihat Mausu`atul Arabiyah, hal. 611).
Allahu ... Allah, kita tidak perlu kepada potret - potret tersebut untuk mengenali Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullah atau mana-mana ulama salafus sholeh terdahulu. Marilah kita mengenali mereka melalui karya-karya mereka yang penuh sarat berisikan panduan untuk kita menelusuri jalan yang dibawa oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Jadikanlah diri kita sebagai umat yang dibanggakan oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan bukan hanya umat yang berbangga dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Lebih - lebih lagi di zaman di mana ada yang kemaruk mencari-cari nasab yang mulia namun tidak pula pandai menjaga kemuliaan nasab.... Allahu.. Allah. Ketahuilah Junjungan Nabi itu habib yang sejati kerana dalam diri baginda penuh kecintaan kepada umat baginda. Maka janganlah sekadar mahukan kecintaan yang lain namun diri kosong daripada mencintai yang lain.

2 ulasan:

  1. Rasanya bukan setakat Imam Al-Ghazali sahaja. Ada lagi ulama yang lain pun digambarkan, seperti Sheikh Abdul Qadir Jailani (setakat yang saya perasan) dan lain-lain. Padahal mereka semua telah pun meninggal dunia beratus tahun yang lepas. Ntah dari manalah sebenarnya sumber asal gambar-gambar ini kita pun tidak mengetahui.....yaz

    BalasPadam
  2. Dalam post saya ada potret sebegini.In sya Allah, saya akan buang gambar tersebut.Terima kasih banyak2 ustaz.

    BalasPadam