Imam Muslim rahimahullah meriwayatkan dalam "al-Jaami`ush Shahih", jilid 2, halaman 96 satu zikir yang dibaca oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam selepas shalat, di mana diriwayatkan bahawa Sayyidina Ibnu az-Zubair radhiyaAllahu `anhuma membaca selepas salam setiap shalat : "Tiada tuhan selain Allah, Maha Esa Dia lagi tiada sekutu bagiNya, milikNyalah segala kekuasaan dan puji-pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Tiada daya upaya dan kekuatan kecuali dengan keizinan dan pertolongan Allah. Tiada tuhan selain Allah, tiada yang kami sembah selain Dia, segala kenikmatan, anugerah kelebihan dan puji-pujian yang indah adalah milikNya semata. Tiada tuhan selain Allah, kepadaNyalah mereka mengikhlaskan segala ketaatan walaupun dibenci oleh orang - orang kafir." Dan beliau berkata bahawa adalah Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam bertahlil dengan zikir tersebut selepas setiap shalat."
Sebahagian ulama menghukumkan sunnat agar zikir ini dibaca mengiringi apa jua shalat termasuklah shalat-shalat sunnat kerana berpegang kepada zahir makna hadis tersebut. Mudah-mudahan dapat kita lazimi sebagai upaya mengikut serba sedikit sunnah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.
Mohon perkongsian
BalasPadam