Ketika meninggalkan kota suci Makkah al-Mukarramah, tidak sedikit yang akan mengalirkan air mata kerana berpisah dengan Ka'batullah yang mulia. Ada yang sampai terbawa-bawa sehingga tak lalu makan. Namun ketahuilah bahawa Yang Memiliki Ka'bah yang mulia itu tidak bertempat. Sungguh sifat dan keadaan Dzat yang mulia ini yang tidak mengambil sebarang tempat adalah satu nikmat yang besar yang perlu kita syukuri. Jangan hanya merasa bahawa Allah Tuhan Maha Agung yang tidak bertempat hanya berada di Makkah. Tinggalkanlah Ka'bah dengan kesedihan, namun iringilah dengan kesyukuran. Sedih kerana kita meninggalkan sesuatu yang diperintahkan Allah untuk kita takzimkan dan syukur kerana yang ditinggal cuma Ka'bah sedangkan Pemilik Ka'bah dan Pemilik diri kita dan alam semesta sekaliannya sekali-kali tidak mengambil sebarang tempat. Maka tinggalkanlah Ka'bah yang bertempat di Kota Makkah, namun jangan ditinggalkan Pemiliknya di sana. Jangan sekali - kali kita memisahkan diri kita atau merasa diri kita terpisah dengan Dzat yang wajibul wujud ini. Sematkanlah keimanan yang sahih dan ingatan yang tulus kepadaNya dalam hati sanubari kita setiap masa dan ketika walau di mana kita berada, sehingga jadilah hati sanubari kita bak kata sebahagian hukama "Qalbul mukmin baitullah - Hati orang beriman itu adalah baitullah". Senyumlah dan bersyukurlah kerana Pemilik Ka'bah tidak bertempat ..... Alhamdulillah wasy Syukrulillah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan