Isnin, Disember 08, 2014

Istighatsah: JJ v. Hadhratusy Syaikh

KH Hasyim Asy`ari rahimahullah sebagai seorang ulama Ahlus Sunnah wal Jama`ah telah memperjelaskan dengan sejelas-jelasnya mengenai keharusan bertawassul, beristighatsah dan meminta syafaat dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, para wali dan para shalihin, samada ketika hidup mereka di dunia ini atau ketika mereka hidup di alam barzakh. Bahkan dalam karya beliau "an-Nurul Mubin fi Mahabbati Sayyidil Mursalin" menyatakan bahawa amalan bertawassul dan beristighatsah ini tidak pernah diingkari oleh mana-mana ulama sehinggalah bangkangan yang timbul daripada Ibnu Taimiyyah al-Harrani, idola dan rujukan utama puak salahpi. Oleh itu, apa yang ditimbulkan oleh JJ ini, tiada lain melainkan sekadar pengulangan fatwa - fatwa puak minoriti untuk menyesatkan golongan majoriti. Jika JJ kata tidak boleh beristighatsah, maka Hadhratusy Syaikh KH Hasyim Asy`ari rahimahullah dalam karya beliau"an-Nurul Mubin fi Mahabbati Sayyidil Mursalin" menulis antara lain:-


....Demikian pula permohonan dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, para wali dan shalihin bukanlah meminta kepada mereka, tetapi meminta kepada Allah semata-mata melalui mereka. Maka tawassul, memohon syafaat dan beristighasah melalui mereka tidaklah mempunyai erti lain dalam hati kaum muslimin kecuali sebagaimana yang disebutkan tadi. Dan tiada seorang pun di antara mereka yang bertawassul dan beristighatsah melainkan tujuannya hanyalah untuk memohon kepada Allah semata-mata. Barangsiapa yang dadanya tidak dilapangkan untuk (memahami) masalah ini, hendaklah ia menangisi dirinya sendiri. Kami meminta kepada Allah ampunan dan afiat.

Dan akan datang dalam hadis syafaat di mana manusia meminta perlindungan kepada para nabi pada hari kiamat. Hadis ini adalah dalil yang paling jelas membenarkan bertawassul dengan mereka. Sesungguhnya setiap orang yang berdosa bertawassul kepada Allah `azza wa jalla dengan orang yang lebih hampir kepadaNya daripada dirinya. Perkara ini tidak pernah diingkari oleh sesiapa pun. Tidak ada beza mengenai perkara ini samada ianya dinamakan sebagai permohonan syafaat atau tawassul atau istighatsah. Hal ini tidak sama dengan perbuatan orang - orang musyrik yang kononnya hendak mendekatkan diri kepada Allah dengan beribadah menyembah kepada selainNya, perkara ini adalah kekufuran. Sedangkan kaum muslimin apabila bertawassul dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam atau dengan selain baginda daripada para nabi, wali dan shalihin, tidaklah menyembah mereka dan dengan tawassul yang sedemikian tidaklah mengeluarkan mereka dari mentauhidkan Allah ta`ala, hanya Dia sahaja yang memberi manfaat dan mudarat.

Maka berhati-hatilah dari mengeluarkan pernyataan yang membawa kepada menghukum orang Islam sebagai musyrik, tanpa kita memahami dan melihat kepada segala aspek kerana tuduhan syirik itu terlalu amat besar dan dahsyat sehingga tidak wajar untuk dikeluarkan dengan sewenang-wenangnya. Janganlah hanya kerana seseorang mengucapkan : "Tolonglah aku, wahai Junjungan", maka terus dihukumkan mensyirikkan Allah. Jangan terlalu mudah mensyirikkan orang...... Allahu .... Allah. Jika JJ tidak memahami di mana duduknya persoalan bertawassul dan beristighatsah dan tidak dapat berlapang dada mengenainya, maka seharusnya dia menangisi dirinya sebagaimana anjuran Hadhratusy Syaikh.  Jangan marah ......... Madad, Madad Ya RasulAllah.

1 ulasan: