Kita di Malaysia, sebagaimana kebanyakan negara Islam atas muka bumi Allah ini, menyambut kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam pada 12 Rabi`ul Awwal. Namun semenjak dua menjak ini, ada pihak yang cuba menyalahkan penentuan 12 Rabi`ul Awwal tersebut kerana menurut mereka tarikh sebenar adalah 9 Rabi`ul Awwal. Dalam keghairahan untuk mempertahankan pendapat mereka tersebut, mereka telah menyalahkan pandangan jumhur ulama tersebut kerana menurut mereka ianya disandarkan kepada Imam Muhammad bin Ishaq rahimahullah yang mereka anggap sebagai seorang yang lemah dan pengikut Syiah. Menurut mereka lagi itulah antara sebabnya tanggal 12 Rabi`ul Awwal dipilih oleh Imam Muhammad kerana bersesuaian dengan konsep Imam 12 yang dipegang oleh Syiah. Para ulama telah membahas dan memperjelaskan kedudukan dan martabat Imam Muhammad bin Ishaq rahimahullah. Walaupun terdapat kritikan pedas mengenai beliau daripada Imam Malik rahimahullah dan Hisyam bin Urwah rahimahullah, namun ramai yang berpendapat sebaliknya dan beranggapan bahawa apa yang berlaku antara Imam Malik dan Hisyam dengan Muhammad bin Ishaq adalah kalamul aqran yang sewajarnya ditinggalkan sahaja. Tuan - tuan rujuklah kepada bahasan para ulama mengenai hal ini dan berikanlah keadilan yang sewajarnya kepada Imam Muhammad bin Ishaq. Tohmahan yang kononnya tanggal 12 tersebut selari dengan konsep Imam 12 puak Syiah juga tidak berasas kerana menurut puak Syiah Imamiyyah, Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dilahirkan pada 17 Rabi`ul Awwal. Oleh itu di negara Iran, mawlid disambut pada 17 Rabi`ul Awwal dan bukannya 12 Rabi`ul Awwal.
"Adapun bulan kelahiran Junjungan Nabi, para ulama turut berbeza pendapat mengenainya. Ada yang menyatakan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam lahir dalam bulan Ramadhan sebagaimana riwayat daripada `Abdullah ibn `Amru radhiyaAllahu `anhuma, namun riwayat ini tidak sahih sanadnya. Ada yang menyatakan bahawa baginda dilahirkan dalam bulan Rejab, ini juga tidak sahih. Ada yang menyatakan bahawa baginda dilahirkan dalam bulan Rabi`ul Awwal, dan inilah pendapat yang masyhur di kalangan manusia sehingga Imam Ibnul Jawzi dan ulama selainnya menyatakan yang pendapat ini telah disepakati oleh para ulama, namun kenyataannya adalah ianya adalah pendapat jumhur ulama (yakni tidak berlaku ittifaq ulama mengenainya kerana masih ada yang tidak bersetuju walaupun bilangan mereka sedikit). Seterusnya, ulama juga berbeza pendapat tentang hari apa dalam bulan Rabi`ul Awwal tersebut yang menjadi hari kelahiran baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ada di antara mereka yang menyatakan bahawa tiada ketentuan mengenai hari kelahiran tersebut dan sesungguhnya baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam dilahirkan pada hari Isnin dalam bulan Rabi`ul Awwal tanpa menentukan tanggal berapa dalam bulan tersebut. Manakala menurut jumhur ulama, baginda dilahirkan pada tanggal yang tertentu dalam bulan tersebut namun mereka juga berbeza pendapat mengenai tarikhnya. Ada yang menyatakan bahawa baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam dilahirkan pada dua malam setelah masuk bulan Rabi`ul Awwal, ada yang menyatakan setelah 8 malam, ada yang menyatakan pada 10 Rabi`ul Awwal, ada yang menyatakan pada 12 Rabi`ul Awwal, ada yang menyatakan pada 17 Rabi`ul Awwal. Ada juga yang berpendapat bahawa baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam dilahirkan pada 18 Rabi`ul Awwal atau hari di mana bulan Rabi`ul Awwal masih berbaki 8 hari, namun kedua-dua pendapat ini dikatakan sebagai tidak sahih jika dilihat kepada segala riwayat secara menyeluruh. Dan pendapat yang masyhur yang menjadi pegangan jumhur ulama adalah baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam dilahirkan pada hari Isnin, 12 Rabi`ul Awwal, dan inilah pendapat Ibnu Ishaq dan ulama selain beliau.
Selanjutnya, al-Imam al-`Allaamah asy-Syaikh Muhammad `Abdur Rauf al-Munawi rahimahullah memperjelaskan lagi bahawa tanggal 12 Rabi`ul Awwal inilah pendapat yang paling sahih (asah) sebagai tarikh kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Perkara ini beliau rahimahullah nyatakan dalam karyanya yang masyhur "Faidhul Qadir" juz 3, halaman 706, menyatakan antara lain:-
(Tanbih) Pendapat yang asah adalah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dilahirkan di Syi`ib, Makkah sejurus selepas fajar hari Isnin 12 Rabi`ul Awwal tahun Gajah."Oleh itu, jelas bahawa penentuan 12 Rabi`ul Awwal sebagai tarikh lahir Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bukanlah pendapat terpencil, bahkan inilah pendapat yang dipegang oleh jumhur ulama. Dan sudah tentu pendapat ini mempunyai sandaran yang kuat di sisi jumhur ulama. Maka jikapun kita tidak bersetuju dengan tarikh tersebut, sewajarnya, kita berlapang dada dan bersikap terbuka dalam hal yang telah menjadi ikhtilaf di kalangan ulama. Janganlah keterlaluan dalam menyalahkan pendapat yang tidak kita setujui dan bersikap amanahlah di mana pendapat yang dianggap kuat dan asah oleh jumhur hendaklah diberi pengiktirafan yang sewajarnya walaupun kita mungkin mempunyai pendapat lain. Jika kita merasakan kita ada hujah, maka begitulah juga dengan jumhur ulama, mereka juga pasti punya hujah. Maka bertasamuhlah, jangan kerana perkara sebegini kita hilang adab dan akhlak, apatah lagi jika ianya berkait dengan pribadi tokoh - tokoh yang telah berjasa. Moga kita sentiasa diberikan taufiq dan hidayah oleh Allah `azza wa jalla dan sentiasa istiqamah atas jalan Ahlus Sunnah wal Jama`ah.
Allah humma solli ' ala saiyidina Muhammad. Terima kasih atas huraian
BalasPadam