Rabu, Mac 25, 2015

Sidi Muhammad Amin Kutubi

Dulu kalau tuan - tuan ingat, ada satu qasidah yang dipopularkan oleh Haddad Alwi yang chorusnya berbunyi .... "Sidi Muhammad Amin Kutubi habibin Nabiy ... Sidi Muhammad Amin Kutubi habibin Nabiy". Katanya bait chorus ini dimasyhurkan oleh almarhum Abah Guru Sekumpul@ Guru Ijai, Syaikh Muhammad Zaini bin Abdul Ghani al-Banjari rahimahullah kerana Sidi Muhammad Amin ini termasuk guru beliau. La ni yang dimasyhurkan oleh Habib Syaikh di Malaysia adalah dengan "Sidi Abdul Qadir Jilani habibin Nabiy", mungkin sebab kita kurang kenal dengan ulama yang bernama Sidi Muhammad Amin Kutubi ini. Ese rasa pernah tulis sedikit mengenai beliau, namun setelah dicari-cari rupa-rupanya memang tak pernah ditulis.... Allahu ... Allah.

Syaikh Sayyid Muhammad Amin ini nama penuhnya adalah Muhammad Amin bin Muhammad Amin bin Muhammad Shalih bin Muhammad Husain al-Kutubi al-Hasani al-Hanafi rahimahumullahu ajma`in. Beliau daripada keturunan mulia asy-Syarif al-Hasani, keturunan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam daripada jalur Imam Hasan radhiyaAllahu `anhu.  Dilahirkan di Makkah al-Mukarramah pada tahun 1327H. Dalam tahun 1338H, beliau belajar di Madrasah al-Falah sehingga tahun 1346H. Di antara guru - guru beliau adalah Syaikh Muhammad `Arabi at-Tabaani, Syaikh Muhammad Yahya Aman al-Hanafi, Syaikh Ahmad Nadhirin, Syaikh `Isa Rawas, Habib `Abdullah bin Thahir al-Haddad, Syaikh `Umar Hamdan al-Mahrasi dan ramai lagi, ridhwanullahi `alaihim ajma`in.

Setelah tamat pengajian, beliau memulakan tugas mengajar di Masjidil Haram, juga di Madrasah al-Falah, Madrasah Tahdhiir al-Ba`atsaat dan Madrasah I'daad al-Mu`allimin di Makkah. Selain daripada itu beliau turut meluangkan masanya untuk menulis beberapa karangan, antaranya:- "Nafhuth Thib fi Madhil Habib shallaAllahu `alaihi wa sallam" dan "Basyirul Karam `ala Bulughil Maram". Beliau juga seorang yang bijak berpidato sehingga Habib Hasan bin Muhammad Fad`aq rahimahullah menggelar beliau sebagai "Naathiqul `Ashr".

Syaikh Sayyid Muhammad Amin Kutubi rahimahullah tutup usia pada waktu asar hari Isnin, 4 Muharram 1404 dan dimakamkan di permakaman al-Ma`ala. Semoga rahmat Allah sentiasa dicucuri atas roh beliau ..... al-Fatihah.

Selasa, Mac 17, 2015

Khatam Tahlil - al-Fasyani

Imam Ahmad bin Hijaazi al-Fasyani rahimahullah adalah salah seorang ulama besar. Beliau adalah seorang faqih bermazhab Syafie yang menyibukkan dirinya dalam bidang hadits. Beliau wafat dalam tahun 978H / 1570M di Mesir dengan meninggalkan berbagai karya ilmiyyah yang bernilai, antaranya:- 
  1. al-Majaalis as-Saniyyah yang mensyarahkan hadis 40 karangan Imam an-Nawawi rahimahullah;
  2. Tuhfah al-Habiib bisyarh nadzam Ghayah at-Taqrib;
  3. Mawaahib as-Shamad fi hilli alfaadz az-Zubad;
  4. an-Nubdzah al-Alfiyyah.
Dalam karya beliau, "al-Majaalis as-Saniyyah fi al-Kalaam `ala al-Arba`iin an-Nawawiyyah" di hujung perbahasan hadis yang ke-23, Imam al-Fasyani rahimahullah turut menyentuh mengenai Khatam Tahlil 70,000 kali dan menukilkan perkataan Imam Najmuddin al-Ghithi rahimahullah yang menganjurkannya walaupun hadis mengenai kelebihannya dihukum batil maudhu` oleh Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani rahimahullah. Turut dimuatkan juga kisah pemuda kasyaf tersebut. Perkara ini tuan - tuan bolehlah baca pada halaman 62 - 63 kitab yang berkat tersebut. Di sini, ese cuma nak menukilkan  sedikit perkataan Imam Najmuddin rahimahullah tersebut sebagaimana dicatat oleh Imam al-Fasyani rahimahullah :-

" Dan telah berkata (Imam Najmuddin): "Aku telah melihat satu soalan yang ditujukan kepada Imam Ibnu Hajar rahimahullah tentang hadis : "Sesiapa berkata La ilaha illa Allah 70,000 maka dia telah membeli dirinya daripada Allah", samada hadis ini sahih atau hasan atau dhaif? Maka dijawab oleh Imam Ibnu Hajar bahawa hadis tersebut bukan sahih, bukan hasan dan bukan dhaif, bahkan ianya adalah hadis batil maudhu` yang tidak boleh diriwayat tanpa menerangkan keadaannya." Kata Syaikh Najmuddin rahimahullah: "(Walaupun demikian) tetapi sewajarnya bagi seseorang untuk mengamalkannya (yakni untuk mengamalkan khatam tahlil tersebut) kerana mengikut para pemuka ahli sufi dan mereka - mereka yang berwasiat dengannya serta bertabarruk (mengambil berkat) dengan perbuatan mereka....."
Oleh itu, jikapun hadis tersebut adalah maudhu palsu, tidak bermakna yang kalimah tahlil ini tidak memiliki apa - apa kelebihan dan keutamaan. Hanya fadhilat yang terkandung dalam hadis tersebut sahaja yang dinafikan, kita tak boleh jadi manusia lurus bendul, pandai tak boleh ikut, bodoh tak boleh diajar. Jangan mentang - mentang hadis tersebut dihukum maudhu, maka kita menolak pula kelebihan berzikir dengan kalimah yang mulia ini. Sesungguhnya yang memberi bekas dan Maha Berkuasa adalah Allah ta`ala, amalan ibadah kita hanyalah sebagai satu ikhtiar untuk meraih rahmat dan kasih sayangNya..... Allahu ... Allah. Maka tok sah banyak sangat qil wal qal, ambik tasbih dan perbaharui iman kita dengan banyak mengucap kalimah tsamanul jannah (harga syurga), kalimah thayyibah dan kalimatut taqwa : لا اله الا الله.

Jumaat, Mac 13, 2015

Yaasin Malam Jumaat - Imam Ghazali

Imam Hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali rahimahullah adalah salah seorang ulama besar dan wali Allah yang menjadi ikutan umat Islam. Tiada siapa yang boleh menyangkal keilmuan, keikhlasan dan ketakwaan beliau, melainkan mereka-mereka yang sememangnya dalam hatinya ada penyakit. Pengaruh Hujjatul Islam memang sudah sedia sebati dalam kehidupan beragama datuk nenek kita sejak mula Islam berkembang dan bertapak di Nusantara. Oleh itu, usahlah dipedulikan golongan - golongan baru yang "konon"nya hendak menegakkan sunnah, namun seribu kali sayang perbuatan mereka tidak ubah seperti tikus membaiki labu. 

Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullah dalam karya beliau yang masyhur, "Bidayatul Hidayah" dalam bab "Adaabul Jum`ah" mengenai adab - adab pada hari Jumaat menulis, antara lain, sebagai berikut:-
".... Dan daripada yang disunatkan juga adalah engkau membaca dalam empat rakaat sholat sunnat (mutlak) empat surah, iaitu surah al-`An`aam (pada rakaat pertama), surah al-Kahfi (pada rakaat kedua), surah Thaha (pada rakaat ketiga) dan surah Yaasin (pada rakaat keempat). Jika sekiranya engkau tidak mampu melakukannya dengan surah - surah tersebut, maka engkau bacalah surah Yaasin (pada rakaat pertama), surah as-Sajadah (pada rakaat kedua), surah ad-Dukhan (pada rakaat ketiga) dan surah al-Mulk (pada rakaat keempat). Dan jangan engkau tinggalkan membaca surah - surah ini pada MALAM JUMAAT kerana padanya terdapat kelebihan yang banyak. Sesiapa yang tidak mampu membaca yang sedemikian, maka hendaklah dia memperbanyakkan membaca surah al-Ikhlas dan membanyakkan membaca shalawat ke atas Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam, istimewanya pada hari ini (yakni hari Jumaat).......
Jelas bahawa Hujjatul Islam rahimahullah menganjurkan kita membaca surah - surah yang mulia tersebut termasuklah surah Yaasin pada malam Jumaat. Memandangkan surah Yaasin itu telah sedia melekat kat bibir masyarakat kita, maka di mana salahnya untuk ianya dibaca pada malam Jumaat. Kalau kita tak mampu nak baca semua surah tersebut, maka kita bacalah apa yang mampu. Tinggalkanlah kerja membid`ahkan amalan yang bukannya bid`ah kerana mempunyai dasar dalam agama bahkan sebahagian daripada amalan agama.  Oleh itu, jika ustaz atau proztaz yang membid`ahkannya, kirim salam aje kat dia, habaq kat dia kami ikut anjuran Hujjatul Islam yang lebih faham agama ini berbanding kamu.

Selasa, Mac 10, 2015

Faedah Dari Nuruzh Zholaam

Dunia ini adalah darul fitnah wal mihnah, yakni negeri tempat ujian dan pancaroba. Di sinilah kita sebagai hamba Allah yang Maha Esa menerima ujian daripadaNya. Apa jua bentuk dan rupa sesuatu perkara atau kejadian yang berlaku atau menimpa kita, semuanya adalah rupa bentuk ujian, baik jika ianya berupa kenikmatan yang disukai atau bencana malapetaka yang digeruni. Di antara rupa bentuknya perkara tersebut adalah "nikmat" yang Allah anugerahkan kepada seseorang dengan memiliki keturunan atau nasab yang mulia. Maka nasab yang mulia juga adalah satu ujian, oleh itu nasab yang mulia seharusnya dijadikan pemangkin untuk seseorang agar terus berpegang kepada ajaran para leluhur nasab tersebut, menjalani jalan mereka sehingga nanti dapat bersama mereka di akhirat sono. Namun malang seribu kali malang, jika seseorang dengan kemuliaan nasabnya menjadi terhijab daripada Allah ta`ala. Di kala yang lain sibuk mencari keredhaan Allah, dia hanya dibuai mimpi - mimpi indah dek kemuliaan nasabnya sehingga lupa untuk beramal shaleh dan menjaga kemuliaan nasabnya. Ketika dia sibuk mencanangkan agar orang sekitar memuliakan nasabnya, maka dia pula yang mencemar kemuliaan nasab dirinya tersebut. Ketika khumul menjadi pakaian leluhurnya, maka dia menggunakan "kekhumulan leluhurnya" untuk mencari kemasyhuran diri sendiri .... Allahu Allah. Di kala leluhurnya mengisytiharkan sebagai hari kegembiraan dan perayaan jika tidak diziarahi orang, maka dia sebaliknya, marah bila orang tidak menziarahinya ..... Allahu .... Allah. Di kala leluhurnya dahulu, sabar dan redha atas cemuhan, maka dia naik darah atas kritikan yang belum tentu kedudukannya. Mana akhlak leluhur tadi ..... Allahu .... Allah.... rupanya tertinggal di atas lembaran - lembaran suthur. Tatkala Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam mengeluarkan sabdaan yang khusus ditujukan buat anakanda baginda, Sayyidah Fathimah radhiyaAllahu `anha dan cucunda baginda, Sayyidina Hasan dan Sayyidina Husain radhiyaAllahu `anhuma, maka dia s.s. dan perasan bahawa sabdaan tersebut ditujukan kepada dirinya. Maka semakin jauhlah pergi angan-angannya kerana merasa dirinya telah dijamin masuk syurga. Benar dan tepat kata Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullah, kemuliaan nasab juga boleh menjadi satu tipuan yang memperdayakan.

Oleh itu, jika pun kita mempunyai nasab yang mulia, namun jangan hendaknya dibuai lena oleh kemuliaan tersebut. Sesungguhnya sesiapa yang menjadi sebahagian daripada nasab tersebut seharusnya memuliakan nasab tersebut dengan sewajarnya sebelum orang lain yang berada di luarnya. Dan jangan sekali-kali tertipu dengan kemuliaan nasab tersebut. Marilah kita renungi satu cerita yang dinukil oleh Sayyidul Ulama al-Hijaz, Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani rahimahUllah dalam syarah beliau bagi nazam 'Aqidatul 'Awwam bagi Sidi Ahmad al-Marzuqi rahimahUllah dengan jodol "Nuruzh Zholaam". Pada halaman 30 karya tersebut dinyatakan sebagai berikut:-


".... Diceritakan bahawasanya ketika wafat Sayyidah Fatimah az-Zahra` binti an-Nabi SAW, jenazah baginda diusung ke tanah perkuburan oleh empat orang, iaitu Sayyidina 'Ali, Sayyidina Hasan, Sayyidina Husain dan Sayyidina Abu Dzar al-Ghifari, radhiyaAllahu 'anhum ajma`in. Tatkala jenazah baginda diletakkan di sisi kuburnya, maka berkatalah Sayyidina Abu Dzar: "Adakah engkau tahu siapa yang kami hantar kepadamu, inilah Sayyidah Fatimah az-Zahra` binti Rasulillah SAW, isteri Sayyidina 'Ali al-Murthada, bonda Sayyidina Hasan dan Sayyidina Husain." Lalu mereka mendengar satu seruan dari kubur tersebut berkata: "Bukanlah aku tempat (membangga-banggakan) kebangsawanan dan nasab keturunan. Bahawasanya aku tempatnya segala amal salih, maka tiada yang selamat daripadaku (yakni dari azab kubur) melainkan orang yang banyak kebajikannya, sejahtera hatinya (yakni hatinya bersih dari segala penyakit hati), dan tulus amalannya.
Allahu ... Allah, inilah jugalah pesanan Baginda Nabi SAW kepada anakanda kesayangannya tatkala hayat mereka di dunia, iaitu jangan hanya mengandalkan keturunan tetapi beramallah. Ini tidaklah bererti menafikan keutamaan dan fadhilat berketurunan mulia seumpama Sayyidah Fatimah radhiyaAllahu `anha, tetapi ianya adalah pengajaran agar jangan hanya mengandalkan kemuliaan keturunan dengan meninggalkan amal-amal salih dan membersihkan jiwa dari segala mazmumah. Mendidik agar sentiasa menjejaki jalan para leluhur yang mulia agar keturunan mereka juga turut mulia sebagaimana leluhur mereka terdahulu. Sungguh pelik dan mengherankan, jika ada orang yang kemuliaan keturunan dan kebangsawanannya tidaklah melebihi atau setara dengan Sayyidah Fatimah az-Zahra`, tetapi hanya bergantung dan berbangga-bangga dengan kebangsawanannya. Bukalah mata, janganlah tertipu dengan nasab keturunan, dan apa yang penting jangan bikin malu kompeni, jangan memalukan para leluhur yang mulia. Menapaklah atas tapak-tapak kesalihan mereka, agar kamu pun akan terpimpin sebagaimana mereka yang terdahulu terpimpin menuju keredhaan Allah SWT dan menjadi penyejuk mata Baginda Nabi SAW. Moga kubur kita nanti diluaskan Allah dan dijadikanNya satu taman dari taman-taman syurga ... Allahumma aamiiin bi jaahi Sayyidil Mursalin.