Imam Ahmad bin Hijaazi al-Fasyani rahimahullah adalah salah seorang ulama besar. Beliau adalah seorang faqih bermazhab Syafie yang menyibukkan dirinya dalam bidang hadits. Beliau wafat dalam tahun 978H / 1570M di Mesir dengan meninggalkan berbagai karya ilmiyyah yang bernilai, antaranya:-
- al-Majaalis as-Saniyyah yang mensyarahkan hadis 40 karangan Imam an-Nawawi rahimahullah;
- Tuhfah al-Habiib bisyarh nadzam Ghayah at-Taqrib;
- Mawaahib as-Shamad fi hilli alfaadz az-Zubad;
- an-Nubdzah al-Alfiyyah.
Dalam karya beliau, "al-Majaalis as-Saniyyah fi al-Kalaam `ala al-Arba`iin an-Nawawiyyah" di hujung perbahasan hadis yang ke-23, Imam al-Fasyani rahimahullah turut menyentuh mengenai Khatam Tahlil 70,000 kali dan menukilkan perkataan Imam Najmuddin al-Ghithi rahimahullah yang menganjurkannya walaupun hadis mengenai kelebihannya dihukum batil maudhu` oleh Imam Ibnu Hajar al-`Asqalani rahimahullah. Turut dimuatkan juga kisah pemuda kasyaf tersebut. Perkara ini tuan - tuan bolehlah baca pada halaman 62 - 63 kitab yang berkat tersebut. Di sini, ese cuma nak menukilkan sedikit perkataan Imam Najmuddin rahimahullah tersebut sebagaimana dicatat oleh Imam al-Fasyani rahimahullah :-
" Dan telah berkata (Imam Najmuddin): "Aku telah melihat satu soalan yang ditujukan kepada Imam Ibnu Hajar rahimahullah tentang hadis : "Sesiapa berkata La ilaha illa Allah 70,000 maka dia telah membeli dirinya daripada Allah", samada hadis ini sahih atau hasan atau dhaif? Maka dijawab oleh Imam Ibnu Hajar bahawa hadis tersebut bukan sahih, bukan hasan dan bukan dhaif, bahkan ianya adalah hadis batil maudhu` yang tidak boleh diriwayat tanpa menerangkan keadaannya." Kata Syaikh Najmuddin rahimahullah: "(Walaupun demikian) tetapi sewajarnya bagi seseorang untuk mengamalkannya (yakni untuk mengamalkan khatam tahlil tersebut) kerana mengikut para pemuka ahli sufi dan mereka - mereka yang berwasiat dengannya serta bertabarruk (mengambil berkat) dengan perbuatan mereka....."
Oleh itu, jikapun hadis tersebut adalah maudhu palsu, tidak bermakna yang kalimah tahlil ini tidak memiliki apa - apa kelebihan dan keutamaan. Hanya fadhilat yang terkandung dalam hadis tersebut sahaja yang dinafikan, kita tak boleh jadi manusia lurus bendul, pandai tak boleh ikut, bodoh tak boleh diajar. Jangan mentang - mentang hadis tersebut dihukum maudhu, maka kita menolak pula kelebihan berzikir dengan kalimah yang mulia ini. Sesungguhnya yang memberi bekas dan Maha Berkuasa adalah Allah ta`ala, amalan ibadah kita hanyalah sebagai satu ikhtiar untuk meraih rahmat dan kasih sayangNya..... Allahu ... Allah. Maka tok sah banyak sangat qil wal qal, ambik tasbih dan perbaharui iman kita dengan banyak mengucap kalimah tsamanul jannah (harga syurga), kalimah thayyibah dan kalimatut taqwa : لا اله الا الله.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan