Selasa, April 14, 2015

Antara Jawab Azan & Tahiyyah

Entri ese kali ini adalah sebagai respons kepada "status facebook" (lihat sebelah) yang dihantar oleh seorang sahabat yang sedang dalam jihad menuntut ilmu, semoga dipermudahkan segala urusan beliau. Sekadar pemerhatian faqir, rasanya status facebook tersebut diambil oleh tuannya dari kitab "Furu` al-Masail" yang telah dialihbahasa ke Bahasa Melayu Moden oleh Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz hafizahullah. Rasanya nukilan beliau tersebut bolehlah tuan - tuan dapati pada halaman 227 kitab "Furu` al-Masail" tersebut. Apa yang tercatat dalam kitab baru tersebut adalah serupa dengan apa yang tercatat dalam versi asal karya Mawlana Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah. Namun apa yang perlu kita selaku penuntut ilmu mengetahui adalah apa yang tercatat itu adalah benar dan betul lagi tepat menurut qawl yang dipegang oleh Imam Ramli rahimahullah dan kebanyakan ulama Mesir seperti Imam Khatib rahimahullah. Namun tidak tepat di sisi Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah, maka wujudlah perbezaan pendapat antara dua Imam ini. Oleh itu, tambahan kata-kata sahibul facebook yang menyalahkan amalan biasa masyarakat kita dengan katanya..... "inilah suatu kesalahan yang perlu diperbetulkan", adalah sesuatu yang tidak wajar dilakukan apatah lagi setelah kita mengetahui bahawa ada perbezaan pendapat dalam masalah ini di kalangan ulama kita yang mulia, rahimahumullahu aj`main.

Sebelum pergi kepada bahasan ringkas mengenai ikhtilaf yang berlaku dalam masalah ini, faqir ingin menyatakan bahawa kitab "Furu' al-Masail" karya terjemahan Mawlana Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah adalah karya yang berorientasikan pemikiran, pemahaman dan kajian Imam Ramli rahimahullah. Hal ini dinyatakan oleh Mawlana Syaikh Daud rahimahullah dalam muqaddimahnya pada halaman 3 (kitab asal) bahawa ambilannya untuk "Furu` al-Masail" ini adalah seperti berikut:--

"...Aku pungut daripada dua kitab yang besar keduanya, fatawa bagi Syamsul Millah wad Din, pegangan bagi fuqaha` dan segala muhaqqiqin, Syaikh yang `allaamah Muhammad ar-Ramli dan kitab "Kasyful Litsam `an as-ilatil anaam" bagi Syaikh Husain bin Muhammad al-Mahalli, rahimahumaAllahu ta`ala."

Oleh itu, perlu kita beri ingat bahawa kitab yang berkat ini berorientasikan kepada pemahaman dan aqwal Imamuna Ramli rahimahullah sebagaimana diunggulkan oleh para ulama Mesir berbandingkan segala aqwal Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah. Ini perlu kita fahami, agar kita tidak menggunakan sebahagian aqwal dalam kitab tersebut untuk menyalahkan orang lain yang tidak berpegang dengan aqwal tersebut kerana mereka berpegang dengan aqwal Imam Ibnu Hajar rahimahullah

Sebenarnya, bagi seseorang penuntut ilmu, istimewanya fiqh Syafi`iyyah, pasti mengetahui bahawa Imam ar-Ramli dan Imam Ibnu Hajar rahimahumaAllah walaupun satu perguruan, namun mempunyai beberapa aqwal yang berbeza. Sebahagian ulama telah menghimpunkan kitab untuk menjelaskan perbezaan aqwal antara dua sangga mazhab kita, asy-Syafi`iyyah. Antara yang masyhur memperkatakan perkara ini adalah al-Fadhil asy-Syaikh `Ali BaShabrin rahimahullah dengan karya beliau yang berjodol "Itsmidul `Aynain fi ba'dhi-khtilafisy Syaikhain: Ibn Hajar al-Haitami wasy-Syam ar-Ramli" dan al-'Allaamah al-Faqih asy-Syarif 'Umar bin al-Habib Haamid bin 'Umar bin Abdul Rahman BaFarajin Ba 'Alawi al-Husaini rahimahullah dengan karya beliau " Fathul 'Aliy bi jam'il khilaafi baina Ibni Hajar wa Ibni ar-Ramli".

Tuan - tuan yang mulia, apa yang telah sekian lama diamalkan oleh orang kita iaitu apabila masuk ke dalam masjid ketika azan dikumandangkan, mereka akan menunggu dalam keadaan berdiri untuk menjawab azan dan hanya setelah selesai azan dan doa barulah mereka menunaikan shalat sunnat Tahiyyatul Masjid, samada secara berpisah atau diindirajkan (dimasukkan niatnya) dalam shalat Rawatib atau shalat fardhu (nota:- perlu kita perjelaskan bahawa shalat sunnat Tahiyyatul Masjid adalah antara shalat sunnat yang boleh diindirajkan perlaksanaannya dalam shalat - shalat lain, samada fardhu atau sunnat dengan memasukkan sekali niatnya dan menurut syaratnya), bukanlah satu kesalahan yang perlu diperbetulkan kerana amalan tersebut adalah tepat dan betul menurut qawl yang dipegang oleh Imam Ibnu Hajar rahimahullah walaupun tidak dipersetujui oleh Imam Ramli rahimahullah. Kedua-dua mereka ini adalah ulama besar yang menjadi pegangan para ulama kita dan segala ikhtilaf mereka hendaklah kita ambil dengan sikap berlapang dada, apatah lagi mereka juga adalah ulama semazhab. Kita selaku pengikut Ahlus Sunnah wal Jama`ah sentiasa mengamalkan sikap tasamuh dalam bab-bab ikhtilaf yang muktabar, tanpa perlu mencemoh dan menyalahkan mana-mana pendapat tersebut.

Sebelum pergi kepada masalah jawab azan dan tahiyyah, perlu kita ketahui bahawa ulama kita sepakat bahawa luput sunat bagi shalat sunnat Tahiyyatul Masjid dengan duduk tanpa uzur dan tidak luput dengan berdiri yang sekejap. Namun mereka berbeza pendapat samada berdiri yang panjang dalam masjid itu meluputkan sunnat shalat Tahiyyatul Masjid atau tidak ? Ini asal bagi masalah kita. Maka dalam masalah ini, Imam Ibnu Hajar rahimahullah dan Imam Ramli rahimahullah  mempunyai pandangan yang berbeza. Pendapat dua gergasi ini dapat kita rujuk dalam karya monumental mereka, "Tuhfatul Muhtaj" bagi Imam Ibnu Hajar rahimahullah dan "Nihayatul Muhtaj" bagi Imam Ramli rahimahullah. Di sini ese nukilkan pendapat mereka itu dari sumber kitab "Fathul `Aliy" untuk memudahkan perbandingan pada halaman 580 yang menyatakan sebagai berikut:-

Tersebut dalam "Tuhfah":- "Dan gugur hukum sunnat bagi shalat Tahiyyatul Masjid dengan sengaja duduk walaupun untuk berwudhu bagi sesiapa yang masuk ke masjid dalam keadaan berhadas menurut pendapat yang awjah, kerana kelalaiannya untuk berwudhu terlebih dahulu sebelum memasuki masjid serta tiada keperluan baginya untuk berwudhu dalam keadaan duduk (yakni dia boleh berwudhu tanpa perlu duduk). Dan ini berbeza dengan hukum yang datang bagi orang yang kehausan (yakni menurut Imam Ibnu Hajar duduk untuk minum air bagi orang yang kehausan tidak meluputkan sunnat shalat Tahiyyatul Masjid kerana minum dalam keadaan berdiri itu hukumnya makruh.) Dan luput secara mutlak sunnat shalat Tahiyyatul Masjid dengan duduk yang lama, namun tidak luput dengan duduk yang sekejap kerana terlupa atau jahil. DAN TIDAK LUPUT SUNNAT SHALAT TAHIYYATUL MASJID dengan berdiri walaupun lama masanya atau sengaja berbuat sedemikian untuk tidak mengerjakannya (yakni berpaling daripada menunaikan shalat Tahiyyatul Masjid samada tanpa sebab atau bersebab seperti dia hendak mengindirajkannya dalam shalat Rawatib atau shalat fardhu) sebagaimana yang zahir. Maka tetap sunnat baginya untuk melaksanakan shalat Tahiyyatul Masjid ..................... Adapun nas kitab "Nihayah" dalam masalah ini adalah:- " Dan luput hukum sunnat shalat Tahiyyatul Masjid dengan duduk sebelum melakukannya walaupun duduknya hanya sebentar, melainkan duduknya itu kerana terlupa dan hanya sebentar sebagaimana disebut dalam kitab "at-Tahqiq". DAN LUPUT JUGA SUNNAT SHALAT TAHIYYATUL MASJID DENGAN BERHENTI YANG PANJANG (yakni tanpa membezakan bagaimana rupa keadaan berhentinya tadi, samada berhentinya tadi dalam keadaan duduk maupun berdiri) ......."
Maka tahulah kita bahawa ikhtilaf antara Imam Ramli rahimahullah dengan Imam Ibnu Hajar rahimahullah dalam masalah ini adalah samada berhenti dalam keadaan berdiri yang panjang itu meluputkan hukum sunnat mendirikan Tahiyyatul Masjid atau tidak? Imam ar-Ramli rahimahullah berpandangan bahawa berdiri yang lama melebihi kadar uruf, samada bersebab seperti menjawab azan apatah lagi tanpa sebab, adalah meluputkan Tahiyyatul Masjid. Yakni sesiapa yang masuk masjid kemudian menunggu melebihi kadar uruf, luputlah baginya Tahiyyatul Masjid, maka tidaklah dia disunnatkan untuk melaksanakan Tahiyyatul Masjid lagi dan jadilah dia berbuat sesuatu yang makruh tanzih kerana meninggalkan Tahiyyatul Masjid. Oleh itu, di sisi Imam Ramli, apabila seseorang masuk masjid ketika azan mula dikumandangkan, maka dia dituntut untuk menunaikan Tahiyyatul Masjid dahulu dan setelah selesai Tahiyyatul Masjid barulah menjawab azan tersebut (perlu juga diketahui bahawa cara menjawab azan ini pun ada beberapa kaedah, ada kaedah yang afdhal dan ada yang mafdhul, nak tahu lanjut pergilah mengaji, tak kuasa den nak menjelaskan di sini dahulu). Menurut Imam Ramli rahimahullah lagi, seseorang yang masuk ke masjid ketika azan tengah berkumandang, dia boleh menunggu dalam keadaan berdiri untuk menjawab azan tersebut dan setelah azan dia bolehlah terus menunaikan Tahiyyatul Masjid. Tidak luput Tahiyyatul Masjid tersebut dengan syarat berdirinya tadi tidak lama yang melebihi kadar uruf. Maka yang dipermasalahkan oleh Imam Ramli adalah berdiri yang lama, sedangkan berdiri yang sekejap yang tidak melebihi kadar uruf tidak mempunyai efek terhadap sunnatnya shalat Tahiyyatul Masjid. Silalah tuan - tuan rujuk kitab "Furu` al-Masail" alihbahasa tersebut pada halaman 344 yang faqir tempel di sebelah. Maka inilah qawl Imam Ramli rahimahullah.

Imam Ibnu Hajar rahimahullah pula mempunyai qawl yang berbeza, di mana di sisi beliau selama mana pun atau sepanjang mana pun berhentinya seseorang itu setelah masuk ke dalam masjid dalam keadaan berdiri, ianya tidak memudaratkan sunnatnya shalat Tahiyyatul Masjid. Selagi mana dia tetap dalam keadaan berdiri ketika memasuki masjid, selagi itulah dia masih disunnatkan untuk menunaikan Tahiyyatul Masjid. Oleh itu, jika seseorang memasuki masjid ketika azan mula dikumandangkan, maka lebih afdhal dia tetap berdiri untuk menjawab azan tersebut dan setelah itu barulah dia menunaikan Tahiyyatul Masjid. Inilah pendapat Imam Ibnu Hajar yang dipegang oleh kebanyakan masyarakat kita.

Untuk mentakkidkan lagi wujudnya ikhtilaf dalam masalah ini, faqir nukilkan di sini keterangan dari kitab "Itsmidul `Aynain" yang dicetak pada hamisy "Bughyatul Mustarsyidin" halaman 28 yang menyatakan:-
[Masalah] tidak luput  shalat sunnat Tahiyyatul Masjid dengan duduk untuk minum di sisi Ibnu Hajar kerana makruhnya minum berdiri. Dan tidak luput shalat sunnat Tahiyyatul Masjid dengan panjangnya berdiri walaupun memang dengan niat untuk berpaling daripada melaksanakannya di sisi Ibnu Hajar (yakni selagimana dia tidak duduk, dia masih disunnatkan untuk menunaikan shalat sunnat Tahiyyatul Masjid tersebut)."
Juga faqir nukilkan keterangan kitab "Fathul `Aliy" pada halaman 580 sebagai berikut:-
Masalah 238. [Adakah luput shalat sunnat Tahiyyatul Masjid dengan berhenti (yakni tidak dikerjakan terus) ?] Tidak luput shalat sunnat Tahiyyatul Masjid dengan berhenti (yakni dalam keadaan berdiri) walaupun lama masanya di sisi Ibnu Hajar, dan di sisi Imam Ramli luput dengan lamanya berhenti (walaupun dalam keadaan berdiri).
Akhirul kalam, mudah-mudahan tulisan faqir ini sedikit sebanyak dapat memperjelaskan kedudukan masalah ini. Semoga Allah memudahkan kita beramal berpandukan kepada ajaran para ulama yang muktabar yang bersumberkan kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Maaf atas segala kekasaran bahasa dan kekeliruan faham.

1 ulasan: