Bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah satu ibadah yang penting bagi kita umat Islam. Manfaat shalawat itu pada kita amat-amat besar dalam usaha kita untuk mencari keredhaan, rahmat dan nikmat Allah `azza wa jalla. Kita memerlukan shalawat untuk mengenal jati diri kita selaku hamba Allah dan umat Baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ketika bershalawat kita mengingatkan diri kita kepada Allah ta`ala, Tuhan yang sebenar-benarnya yang menjadi matlamat utama kita, dan kepada Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam, kekasih Allah yang mana kita diperintahkanNya untuk menjadikan baginda contoh teladan untuk meraih keredhaan Allah ta`ala. Tidak tergambar dalam fikiran perhamba bahawa seseorang yang mengaku umatnya Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam tetapi enggan untuk mengucapkan shalawat ke atas baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam.
Namun bebaru ini ada hamba Allah menimbulkan pertanyaan : Kenapa umat Islam bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, adakah kerana Junjungan Nabi shallaAllahu `alahi wa sallam masih belum selamat sehingga perlu dishalawati oleh umat? Pertanyaan ini menghimbau kembali kenangan perhamba ketika mengikuti pengajian almarhum Tuan Guru KH Dr. Muhibuddin Waly al-Khalidi rahimahullah. Tika beliau menghuraikan hikmah-hikmah kitab "al-Hikam". Antaranya adalah penjelasan beliau tentang ayat ke-4 surah ad-Dhuha:
Di mana menurut penjelasan Buya Muhibuddin Waly, dari kacamata tafsir sufistik, ayat ini menjelaskan pada setiap saat dan ketika, Allah sentiasa melimpahkan ketinggian kedudukan, maqam, rahmat ta'dzim dan nikmat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sehingga kedudukan baginda sentiasa dalam keadaan naik dan meninggi pada setiap saat, tidak statik dan jauh pula dari menurun. Ianya mengisyaratkan bahawa ketinggian dan maqamat di sisi Allah ta`ala itu tiada batasan atau tiada had kesudahannya kerana Allah ta`ala itu Maha Agung Maha Luas Anugerah, Rahmat dan Nikmat. Sungguh limpah anugerah dan nikmatNya tiada pernah berputusan dan sentiasa ada yang lebih besar daripada apa yang telah dijangkau oleh seseorang. Masuknya seseorang ke dalam syurga tidak bererti bahawa itulah sahaja had kesudahan atau kemuncak nikmat dan rahmatnya Allah ta`ala, bukan ertinya habislah sudah rahmat dan nikmat Allah kepada hambaNya yang taat, bukan ertinya setelah masuk syurga maka Allah ta`ala tidak berkuasa lagi untuk memberi penambahan dan peningkatan rahmat, nikmat dan maqamat. Maha suci Allah dari sifat lemah. Berbalik kepada ayat 4 surah ad-Dhuha yang mulia ini, kita hayatilah beberapa "terjemahan" yang telah dilakukan oleh beberapa ulama dan cendiakawan seperti berikut:- "Dan sesungguhnya kesudahan keadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya."{Syaikh Abdullah Basmeih}; "Dan bahwa akibat dan akhir keadaanmu adalah lebih baik daripada permulaannya." {Prof. Quraish Shihab}; "Indeed what is to come will be better for you than the present." {Maulana Mawdudi}; "And indeed the latter is better for you than the former." {Hazrat Ahmad Raza Khan}; "And verily the latter portion will be better for thee than the former." {Pickthall}; "and the Last shall be better for thee than the First." {Arberry}; dan "And surely what comes after is better for you than that which has gone before." {Shakir}.
Oleh itu, ketinggian darjat dan maqam Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam yang sememangnya telah tinggi, sentiasa mengalami peningkatan dan penambahan pada setiap saat dan ketika. Makanya, sewaktu pengajian tauhid dahulu, ketika mempelajari tingkatan-tingkatan iman, maka keimanan para rasul `alaihimus shalatu was sallam adalah pada tingkat keimanan yang sentiasa bertambah dan tidak pernah berkurang (yaziid la yanqhus). Shalawatnya kita atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bukanlah kerana baginda belum selamat, tetapi kerana rahmat, anugerah, kelebihan, maqamat, nikmat di sisi Allah itu tidak ada hadnya. Ulama menjelaskan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam selaku hamba dan makhluk Allah yang paling mulia, walaupun tidak perlukan shalawat umat baginda, kerana apa perlunya shalawat makhluk dhaif seperti kita sedangkan Rabbul `Izzah sentiasa melimpahkan shalawatNya dan para malaikat yang maksum sentiasa bershalawat ke atas baginda. Namun sebagai makhluk, ucapan shalawat umat buat Baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam tetap bermanfaat kepada baginda. Perkara ini tidak dibincangkan dengan luas melainkan pada tempat ilmu dan untuk memberi penjelasan kerana menjaga adab kita dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Dan atas makna inilah dikatakan bahawa shalawat kita atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi was sallam itu pasti diterima (makbul) dan tidak ditolak, yakni dari sudut sampainya dan manfaatnya atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Sedangkan dari sudut diri orang yang bershalawat, maka ianya seperti amalan-amalan lain juga, boleh diterima dan boleh ditolak apabila berlaku perkara-perkara yang membatalkan pahalanya seperti riyak, `ujub atau sum`ah.
Di samping itu, shalawat atas baginda juga memiliki dampak tawhid yang kukuh. Shalawat mengajar kita untuk tidak mempertuhankan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam . Setinggi mana pun kedudukan Baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam, tetap baginda adalah makhluk Allah ta`ala yang sentiasa mengharapkan rahmat belas Allah yang Maha Agung. Dengan bershalawat kita terhindar dari perbuatan sesetengah manusia sesat yang keliru antara Khaliq dan makhluk seumpama umat Kristiani yang mempertuhankan Isa al-Masih. Oleh itu seharusnya tidak timbul isu pendewaan Baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam majlis-majlis mawlid dan shalawat. Oleh itu jangan putus-putus bershalawat dengan penuh keikhlasan.