Sabtu, Mei 21, 2016

Doa Nishfu Sya'baan

Alhamdulillah, diberi kesempatan kita untuk bertemu lagi dengan satu malam yang berkat, malam Nishfu Sya'baan. Maka telah menjadi kebiasaan bagi umat Islam di serata dunia untuk menyambutnya dengan melakukan berbagai ibadah nafilah seperti memperbanyakkan shalat, berzikir, berdoa dan membaca al-Quran. Antara amalan yang lazim diamalkan bukan sahaja oleh kita di Nusantara, tapi juga di tempat-tempat umat Islam yang lain, adalah membaca surah Yaasin tiga kali dengan diiringi doa yang masyhur disebut sebagai "Doa Nishfu Sya'baan". 

Pada entri ini, faqir hanya ingin berkongsi bahawa bahagian utama dari Doa Nishfu Sya'baan tersebut adalah cuplikan daripada doa yang dinisbahkan kepada sahabat besar Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, iaitu Sayyidina 'Abdullah ibnu Mas`ud radhiyaAllahu `anhu. Imam as-Sayuthi rahimahullah dalam tafsir " ad-Durrul Mantsur fit Tafsir bil Ma'tsur" juzuk ke-8 halaman 471 mencatat seperti berikut:-
Dan telah diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dalam "al-Mushannaf" dan Ibnu Abi ad-Dunya dalam "ad-Du`a" daripada Sayyidina Abdullah ibni Mas`ud radhiyaAllahu `anhu yang berkata: "Tidak berdoa seseorang hamba dengan doa-doa ini melainkan dilapangkan Allah baginya penghidupannya." .... (lalu didatangkan doa tersebut yang diakhiri ayat 39 surah ar-Ra'd).
Walaupun riwayat tersebut dinilai dhaif dan dalamnya tiada pengkhususan agar doa tersebut dibaca pada malam Nishfu Sya'baan, ianya tetap boleh diamalkan samada pada malam tersebut atau pada barang mana masa yang dikehendaki. Apa yang tidak wajar adalah benci melihat umat yang giat beramal ibadah dengan alasan ianya bid`ah. Dan kita selaku pencinta pewaris para Nabi, teruskanlah beramal menurut ajaran para pendahulu kita daripada kalangan ulama yang `amilin lagi mukhlasin. Tok sey baloh deh !!!

1 ulasan:

  1. Bismillah & Assalammualykum WBT

    Mohon izin untuk mengongsikan persoalan yg telah diajukan kepada diri ana yang faqir ini..
    Semoga dapat diberi penjelasan dan tunjuk ajar berhubung persoalan sepertimana yang dinukilkan dibawah ini:

    Mohon bertanya, sekiranya semasa bersolat berjemaah; individu bersebelahan (samada kiri; kanan atau depan atau sebagainya) tiba-tiba rebah atau pengsan; apakah yang perlu kita lakukan?

    Adakah saya harus
    [1] meneruskan solat sebab atas hujah tidak boleh membatalkan solat tanpa sebab yang kukuh..

    [2] boleh berhenti daripada meneruskan solat & memberi bantuan kepada individu yang rebah atau pengsan tadi..

    Golongan yang memberikan pendapat no. n[1] seringkali bertelagah dengan golongan yang memberikan pendapat no. [2]

    Jadi minta pencerahan tentang perkara berikut & apakah sebenarnya yang patut kita lakukan kerana dibimbangi kelak situasi yang sama berlaku kepada diri sendiri;

    # soalan telah diubah sedikit untuk kefahaman umum masyarakat di negara ini..

    Allahu Taala Aqlam..

    BalasPadam