Kitab "al-Qirthaas" adalah syarah bagi ratib Quthbul Anfaas al-Habib 'Umar bin 'Abdul Rahman al-`Aththas rahimahullah. Kitab ini dikarang oleh salah seorang anak cucu beliau iaitu al-Imam, Barakatul Anam, 'Alamul Islam, al-Habib 'Ali bin Hasan bin 'Abdullah bin Husain bin al-Habib 'Umar bin 'Abdul Rahman al-'Aththas rahimahumullah yang wafat pada tahun 1172H. Kitab ini sangat terkenal di sisi para saadah terutama sekali kepada keturunan al-'Aththas. Isi kandungannya memuatkan penjelasan dan syarah bagi zikir-zikir yang terkandung dalam ratib tersebut. Juga membicarakan beberapa banyak amalan-amalan dan zikir-zikir yang berkat lagi banyak manfaatnya.
Di sini, faqir cuma hendak berkongsi satu faedah yang berkait dengan satu rangkaian shalawat yang katanya diperolehi Sultan Mahmud al-Ghaznawi. Sejauh mana kesahihannya, hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Namun rangkaian shalawat tersebut tiada apa-apa masalah untuk dijadikan bacaan dengan pemahaman yang benar seperti jika dikatakan "menurut bilangan kalimah - kalimah Allah" atau "menurut jumlah huruf kalamullah", yang dikehendaki dengannya adalah huruf - huruf yang tertulis dalam mushaf al-Quran dan bukanlah rujukannya kepada sifat Kalam bagi Allah yang tiada huruf dan suara itu. Begitulah juga bila dikatakan "menurut bilangan rahmat Allah" atau seumpamanya, maka jangan pula kita merasakan bahawa rahmatUllah dan fadhlUllah itu dapat dibilang atau dapat dihitung atau ada had dan batasnya, ianya hanyalah sebagai majaz yakni jika kita kata "menurut bilangan rahmat Allah", maka yang dikehendaki adalah " bilangan yang tiada terbatas dan tidak dapat dikira-kira" kerana rahmat tersebut sangat luas dan tidaklah mampu untuk kita membilangnya. Apa-apa pun hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Berbalik kepada kisah shalawat ini, maka pada juzuk ke-2, halaman 211 - 212, kitab "al-Qirthaas", memuatkan kisahnya dan rangkaian shalawat tersebut. Secara ringkasnya, faqir nukilkan sebagai berikut:-
Diriwayatkan bahawasanya Sultan Mahmud al-Ghaznawi pada awal umurnya dan pemerintahannya mempunyai wirid di mana setelah menunaikan shalat Subuh, dia akan duduk bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sebanyak 300,000 kali ucapan shalawat. Maka duduklah si Sultan bershalawat sehingga banyak masa siang berlalu dan matahari telah meninggi, manakala para rakyat yang punya keperluan dengan Sultan jenuh menunggu baginda keluar bertemu mereka untuk menyelesaikan urusan mereka atau urusan negara. Lalu setelah beberapa masa hal ini berlangsung, maka Sultan telah bermimpikan Junjungan Nabi shallaAllahu 'alaihi wa sallam dan Baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah menegur perbuatan baginda tersebut. Seterusnya Baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah mengajar satu rangkaian shalawat kepadanya dan menyatakan bahawa membaca rangkaian shalawat ini sekali akan menempati membaca shalawat 100,000 kali dan jika dibaca sebanyak 3 kali akan menempati jumlah wiridnya sebanyak 300,000 kali tersebut, agar si Sultan dapat meraih pahala mengurus hal ehwal umat dan negara, tanpa melalaikan wirid shalawatnya. Lalu diamalkanlah oleh si Sultan akan rangkaian shalawat ini dengan istiqamah sehingga berlalu beberapa masa, dan sekali lagi dia bermimpikan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, di mana kali ini Baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bertanya tentang amalan khusus yang dilakukan oleh si Sultan sehingga "meletihkan" malaikat untuk menulis pahalanya. Sultan Mahmud hanya menjawab bahawa dia tidak melakukan apa-apa amalan khas selain membaca rangkaian shalawat yang telah diajar oleh Baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dahulu.
Allahu ... Allah, ini hanya kisah mimpi yang berlaku pada sesetengah manusia yang direzekikan Allah ta`ala. Sejauh mana kebenaran dan kesahihannya, sekali lagi faqir nyatakan hanya Allah yang Maha Mengetahui. Apa yang faqir berani kata ialah kisah ini dimuatkan dalam salah satu karangan ulama dan orang shaleh yang berwibawa, apa yang faqir lakukan hanyalah menukilkan sahaja. Maka terpulanglah, untuk percaya atau tidak, beramal atau tidak. Apa yang pasti adalah, kita semestinya memperbanyakkan shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagaimana yang diperintahkan dalam segala nas yang sharih lagi shahih. Kisah - kisah sebegini hanyalah sebagai motivasi agar lebih kuat beramal dan memperbaikkannya, dengan nota bahawa sebagaimana seseorang itu tidak boleh mengira keuntungan melainkan setelah balik modalnya, maka begitulah juga sesuatu fadhilat atau kelebihan janganlah dikira terhasil sebelum adanya kecukupan. Yang faham, faham; Yang tak faham, buat-buatlah faham dan pergilah mengaji biar faham dengan sefaham-fahamnya dengan kefahaman yang sebenar.
Shalawat Sultan Mahmud al-Ghaznawi
Mohon share ya sidi
BalasPadam