Imam Syamsuddin Abul Mahasin Muhammad bin Khalil bin Ibrahim al-Masyisyi al-Qaawuqji rahimahullah adalah seorang faqih, muhaddits, sufi dan ulama besar
bermazhab Hanafi yang dilahirkan pada tahun 1224H atau 1225H /1810M.
Beliau ini digelar sebagai "Musnid bilad asy-Syam" atas ketokohan dan penguasaannya dalam ilmu - ilmu hadits. Karya tulis beliau amat banyak, dari kitab-kitab besar sehinggalah ke risalah-risalah kecil. Maka antara risalah tulisan beliau adalah "Tuhfatul Muhibbin wa Minhatul Mustarsyidin fi ma yuthlabu fi yawmi 'Asyura`". Dalam risalah ini beliau mencatatkan beberapa amalan yang dianjurkan pada Hari `Asyura` dan antaranya adalah 12 amalan yang beliau ambil daripada apa yang dinukil oleh Imam 'Ali al-Ajhuri al-Maliki rahimahullah, ulama besar Maliki yang wafat di Mesir pada tahun 1066H.
Dalam mukaddimahnya, Imam al-Qaawuqji rahimahullah menyatakan:- " Telah menukil al-Ustaz 'Ali al-Ajhuri al-Maliki bahawa ada 12 amalan yang dituntut (yakni dianjurkan) untuk dilakukan pada Hari 'Asyura`, iaitu:-
- Puasa;
- Shalat Nafilah (yakni memperbanyakkan shalat sunnat seperti Sunnat Mutlak dan sebagainya;
- Sedekah;
- Mandi;
- Bercelak;
- Menziarahi orang sakit;
- Bersilatur rahim;
- Menziarahi ulama dan orang shalih;
- Meluaskan atau melapangkan perbelanjaan bagi keluarga;
- Memotong kuku;
- Menyapu kepala anak yatim (yakni berbuat baik kepada anak yatim);
- Membaca Suratul Ikhlas 1,000 kali.
Dan ditambah satu lagi amalan atas amalan-amalan ini, iaitu amalan membahagi-bahagi bubur biji-bijian (yakni bersedekah dengan masakan biji-bijian atau bubur seumpama bubur 'Asyura). Maka sewajarnya bagi setiap orang yang cintakan jalan akhirat untuk meraih keberuntungan pada hari ini (yakni Hari `Asyura`) dengan mengamalkan amalan-amalan yang mulia ini.
Selanjutnya dalam risalah tersebut, Imam al-Qaawuqji rahimahullah menjelaskan bahawa walaupun nas yang tsabit mengenai amalan-amalan khusus pada Hari 'Asyura` hanyalah pada dua amalan sahaja iaitu berpuasa dan melapangkan perbelanjaan keluarga, namun amalan-amalan selain keduanya tersebut masih boleh diamalkan walaupun hanya berdasarkan kepada hadis-hadis dhaif dan riwayat-riwayat yang mankurah (riwayat yang lemah di mana perawinya dihukum sebagai pelaku kesalahan yang keji atau banyak lupa dan lalai atau nyata kefasikannya) kerana ianya sudah terkenal dan masyhur diamalkan di sisi para awliya` dan juga kerana ianya termasuk dalam bab fadhailul a'maal serta wujud dalil-dalil umum yang menganjurkan amalan-amalan tersebut dilakukan tanpa terikat dengan waktu-waktu yang tertentu.
Contohnya, mengenai bubur 'Asyura, pada halaman 84, Imam al-Qaawuqji rahimahullah menulis sebagai berikut:- Dan adapun memasak bubur biji-bijian, maka amalan ini kembali atau dapat dihubungkan dengan anjuran untuk melapangkan atau meluaskan perbelanjaan atas ahli keluarga, fakir dan miskin. Di mana ianya juga masuk dalam umum sabdaan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam: "Apabila engkau memasak lauk, maka banyakkanlah kuahnya dan berikanlah kepada jiranmu." Dan sabdaan baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam: "Wahai manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makanan, hubungkanlah silatur rahim, shalatlah pada waktu malam ketika orang sedang tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan penuh kesejahteraan."
Allahu ... Allah, namun di akhir zaman ini ada sahaja benda pelik yang difatwakan oleh kelompok yang terlebih bijak. Sehingga sampai ada yang memfatwakan haram membuat bubur 'Asyura` kerana dikatakan menyerupai atau berasal daripada tradisi Syiah. Malaslah nak layan fatwa yang terlampau ini, pendek kata sesiapa yang rasa tak nak makan bubur 'Asyura, tak jadi masalah, pergilah makan KFC atau McDonald atau duduklah bersembang sambil minum-minum kat Starbuck.
Ayat last...kemaih
BalasPadamSemoga di kurniai kekuatan beribadah
BalasPadam