Syaikh Muhammad Fadhlullah rahimahullah telah mengarang satu kitab yang memperkatakan, secara ringkas namun padat, sirah perjalanan hidup Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Kitab itu diberi jodol "Tarikhul Islam Pada Menyatakan Perjalanan Sayyidil Anaam" atau "Tarikh Islam Pada Menceritakan Perjalanan Sayyidil Anaam". Syaikh Muhammad Fadhlullah telah menyiap karya ini sewaktu beliau bermukim di Kota Bondowoso, Residensi Basuki, Jawa, pada petang hari Rabu 23 haribulan DzulHijjah tahun 1335H bersamaan dengan 10 Oktober tahun 1917. Cetakan yang pertama karya ini juga dilakukan di Betawi / Batavia / Jakarta, iaitu sekitar tahun 1918, di mana cetakan pertama menggunakan huruf rumi. Selepas itu, karya ini telah berulangkali dicetak dengan turut menggunakan huruf Jawi. Menurut kajian Ustazah Ni'mah binti Haji Ismail Umar, cucu Syaikh Muhammad Fadhlullah, kitab ini pernah dipakai sebagai buku teks di sekolah-sekolah negeri Johor dan Brunei Darus Salam.
Untuk menyusun kitab ini, Syaikh Muhammad Fadhlullah as-Suhaimi telah merujuk kepada beberapa kitab karangan ulama terkemuka, antaranya:-
Untuk menyusun kitab ini, Syaikh Muhammad Fadhlullah as-Suhaimi telah merujuk kepada beberapa kitab karangan ulama terkemuka, antaranya:-
- Nurul Yaqin fi Sirati Sayyidil Mursalin karya Syaikh Khudair;
- Siratun Nabawiyyah wal Aatsaarul Muhammadiyyah karya Sidi Ahmad Zaini Dahlan;
- Durus at-Tarikh al-Islamiy karangan Syaikh Muhyiddin al-Khayyath;
- Tuhfatul Anam mukhtashar Tarikh al-Islam karya Syaikh Abdul Basith Fakhuri;
- Tafsir al-Munir karangan Syaikh Nawawi Banten;
- Tafsir Baidhawi yang diterjemah oleh Syaikh Abdul Rauf al-Fanshuri; dan
- Hasyiah I`anathuth Thalibin karya Sidi Bakri Syata.
Sekelumit dari apa yang ditulis oleh Syaikh Muhammad Fadhlullah dalam kitab tersebut mengenai kelahiran Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah sebagai berikut, pada halaman 13 dan 14:-
"Apabila telah sempurna 9 bulan Siti Aminah itu mengandung, maka zahirlah Nabi Muhammad s.a.w. pada subuh hari Isnin, 12 Rabi`ul Awwal Tahun Fil bersamaan dengan 20 April 571 masihi. Maka dinamakan dia Muhammad oleh datuknya 'Abdul Muththalib. Adapun nama Muhammad itu belum pernah didengar pada mereka itu.
Maka jadilah masa di antara diperanakkan Nabi Muhammad s.a.w. dan diperanakkan Nabi Isa a.s. itu 571 tahun, dan di antara Isa dan mengikut Nabi Musa a.s. iaitu 1716 tahun, dan antara Musa dan Ibrahim a.s. 545 tahun, dan antara Ibrahim dan taufan pada masa Nabi Nuh a.s. iaitu 1081 tahun, dan di antara taufan dan Nabi Adam a.s. iaitu 2242 tahun. Jumlah masa di antara diperanakkan Nabi Muhammad dan Nabi Adam iaitu 6155 tahun. Demikianlah kata ulama tarikh yang masyhur. Adapun hakikatnya Allah ta`ala yang terlebih mengetahui."Di penghujung kitab tersebut, Syaikh Muhammad Fadhlullah juga tidak lupa menulis serba sedikit antara mukjizat Junjungan Nabi s.a.w. samada yang biasa kita dengar dan ada juga yang mungkin jarang kita dengar, antaranya adalah:-
Dan lagi mukjizatnya s.a.w. iaitu tiada berbayang. Adalah tubuh Rasulullah s.a.w. itu tiada berbayang jika terkena cahaya matahari atau pelita sebagaimana bayang-bayang manusia.
Dan lagi mukjizatnya s.a.w. iatu baunya harum, tiada berjalan Rasulullah s.a.w. di mana-mana jalan atau masuk ke suatu rumah melainkan tertinggal harumnya itu di situ. Demikian jua melekat harumnya itu pada tangan orang - orang yang bersalam dengan dia s.a.w.
Dan lagi mukjizatnya s.a.w. iaitu menghidupkan yang telah mati. Pada suatu masa Rasulullah s.a.w. mengajak seseorang kepada Islam. Disahut oleh orang itu: "Aku tidak mahu percayakan engkau hingga engkau boleh menghidupkan anakku perempuan yang telah mati itu." Sabda Rasulullah s.a.w.: "Tunjukkanlah aku di mana kuburnya?" Maka ditunjukkan kubur itu kepadanya s.a.w. Maka bersabda Rasulullah s.a.w.: "Hai fulanah", maka menyahut si mati itu: "Saya". Maka menanya pula Rasulullah s.a.w.: "Adakah engkau suka kembali lagi ke dunia?" Sahutnya: "Tidak berkehendak ayyuhai RasulAllah s.a.w. kerana kami bertemu kepada Allah itu terlebih baik bagi kami daripada dua ibubapa kami. Dan kami mendapatkan akhirat itu terlebih baik daripada dunia."Inilah antara yang dicatat oleh Syaikh Muhammad Fadhlullah as-Suhaimi al-Azhari dalam karya beliau tersebut. Mudah-mudahan Allah merahmati senantiasa tuan guru kami, Syaikh Muhammad Fadhlullah as-Suhaimi al-Azhari 'alaihi rahmatul Bari dan memberikan balasan yang sebaik-baiknya dan sebanyak-banyaknya atas segala jasanya kepada umat.
Alhamdulillah. Byk karya ulama yg msh blm tersingkap utk tatapan umum. T kasih atas perkongsian
BalasPadam