Isnin, Januari 07, 2019

Kitab Perubatan Syaikh Ahmad

Sebagaimana yang telah kita ketahui, Syaikh Wan Ahmad al-Fathani adalah seorang ulama yang multidisipliner menguasai berbagai cabang ilmu pengetahuan. Ilmu Thib atau Ilmu Kesihatan adalah salah - satu cabang ilmu yang penting bagi kesempurnaan hidup manusia. Bahkan mempelajari dan menguasai cabang ilmu ini juga merupakan satu tuntutan fardhu kifayah atas umat Islam sebagaimana tuntutan untuk menghafal 30 juz al-Quran. Terdapat kalam hikmah yang dinisbahkan kepada Imam asy-Syafi`i radhiyaAllahu `anhu yang mengisyaratkan bahawa ilmu itu ada dua, ilmu fiqh untuk kesejahteraan agama dan ilmu thib untuk kesejahteraan tubuh badan. Maka, Syaikh Wan Ahmad al-Fathani tidak sahaja mengarang kitab-kitab agama semata-mata, beliau turut meninggalkan karya tulis berupa kitab perubatan yang mengandungi ramuan ubat-ubatan bagi berbagai macam penyakit zahir. Janganlah kita salah faham dalam mengartikan perubatan Islam, jangan sangka yang perubatan Islam itu hanya dengan membaca ayat-ayat syifa, ruqyah dan seumpamanya. Perubatan Islam itu adalah luas dan mencakupi segala ruang yang dibenarkan oleh syariah. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam telah meninggalkan petunjuk untuk berubat dengan berbagai kaedah dan cara, antaranya dengan berbekam, berpuasa dan penggunaan herba dan makanan seperti madu, habbatus sawda`, dzarirah dan banyak lagi. Maka Syaikh Wan Ahmad al-Fathani telah menulis satu kitab khusus dalam ilmu perubatan ini, di mana beliau menerangkan berbagai jenis penyakit zahir, puncanya dan kaedah rawatan serta ramuan-ramuan ubatnya. Kitab tersebut beliau namakan dengan nama 'Arabnya Thayyibul Ihsaan fi Thibbil Insaan dan nama Melayunya Pembukaan Mata Hati Pada Bicara Mengubati. Ianya siap dikarang pada hari Isnin, 3 DzulHijjah, 1312H / 28 Mei 1895 di Makkah al-Mukarramah. Alhamdulillah tsumma alhamdulillah, kitab tersebut telah dirumikan dan diberi notakaki oleh akhina al-fadhil Dr. Mohd Affendi bin Mohd Shafri hafizahullah wa athala `umrahu li naf`il muslimin. Maka bolehlah tuan - puan yang budiman dapatkan di pasaran, in sya Allah bermanfaat.

Syaikh Wan Ahmad al-Fathani dalam menuntut ilmu perubatan ini telah merantau sehingga ke Baitul Maqdis dan berguru antaranya dengan seorang thabib yang berasal dari Kabul, Afghanistan bernama Syaikh Abdul Rahim al-Kabuli. Beliau mempelajari teori perubatan dan kaedah rawatan dari berbagai sumber dan merujuk kepada karya-karya dalam berbagai bahasa termasuklah kitab - kitab perubatan berbahasa Urdu.  Almarhum Ustaz Wan Mohd Shaghir dalam notakaki artikel berjodol "Konsep Pemikiran Shaykh Ahmad al-Fatani Berdasarkan Teks "Taiyibul Ihsan fi Tibb bil Insan", yang dimuatkan dalam Dewan Budaya, Julai 1991 menyatakan, antara lain, sebagai berikut: ".... terdapat catatan di tepi kitab rujukannya, Qanun Cah al-Saghir lil Caghmini Syarih Syarikh al-Aflak, Shaykh Ahmad mula mempelajari ilmu perubatan daripada gurunya Shaykh Abdur Rahim al-Kabuli pada waktu Zuhur, Sabtu 21 Ramadan 1312H (1894M). Sebelum tarikh ini, beliau sudah pun belajar ilmu perubatan di Baitul Maqdis." Syaikh Wan Ahmad berjaya menguasai ilmu perubatan dengan baik sehingga dapat menulis karangan - karangan dan dikenali di merata tempat. Para pengkaji telah menemui beberapa pucuk surat yang dikirim oleh doktor-doktor di Mesir kepada beliau yang berisikan perbincangan mengenai isu - isu perubatan, juga permintaan penelitian beliau terhadap pelbagai jenis ubat baru ketika itu. Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahullah membicarakan ilmu perubatan bukan hanya dalam kitab Thayyibul Ihsaan ini sahaja, tetapi beliau juga membahaskannya dalam karya berbahasa 'Arab dengan jodol Qanun Ibn Sina dan beliau menulis beberapa helaian mengenai perubatan dan ramuan-ramuan ubat dalam karya beliau seperti Hadiqatul Azhar dan Luqtatul 'Ajlan.

Dalam mukadimah kitab Thayyibul Ihsaan, selain menyebut tentang kelebihan dan keutamaan ilmu perubatan, Tok Syaikh Wan Ahmad rahimahullah juga mengemukakan pandangan beliau mengenai ilmu perubatan di alam Melayu. Beliau juga menyarankan agar raja - raja Melayu mengeluarkan perbelanjaan untuk penyelidikan pelbagai spesis tumbuh - tumbuhan yang ada di rantau Melayu, kerana menurut beliau sangat banyak yang boleh dijadikan ubat untuk  berbagai penyakit. Antara lain kata Tok Syaikh Wan Ahmad: (Dan) telah kami harap bahawa membuka Allah akan hati seorang yang mempunyai himmah yang tinggi, maka bersungguh-sungguh ia mencubakan beberapa pohon kayu dan tumbuh - tumbuhan dan lainnya daripada barang yang ada pada bumi Melayu dan memperiksakan pada demikian itu, maka disuratkan beberapa faedahnya dan khasiatnya dan tingkat segala tabiatnya dan kaifiat isti'malnya seperti barang yang memperbuatkan demikian itu oleh hukama Yunani ...........Pada hal kita jenis Melayu awla dengan demikian itu, dari kerana banyak segala ubat - ubat itu pada bumi kita hingga adalah pada kebanyakan daripada ubat-ubat mereka itu diambil dari bumi kita. Dan kita terlebih awla pada memerintahkan diri kita daripada jenis yang lain daripada kita. Maka bersangatanlah sayogia bagi raja - raja Melayu bahawa memalingkan himmah mereka itu kepada mendapatkan barang yang tersebut dengan menyungguh - nyungguh menyuruh dan menggemarkan manusia pada demikian itu, dengan memudahkan jalan bagi demikian itu dan berdiri dengan belanja bagi demikian itu, maka dapat baginya pahala yang jazil dan berkekalan baginya sebutan yang jamil. Manakala pada akhir kitab tersebut, Tok Syaikh Wan Ahmad menulis beberapa petua kesihatan yang sewajarnya diberi perhatian dan diamalkan seolah-olah suatu kewajipan dari sudut penjagaan kesihatan. Maka di antara petua - petua tersebut adalah yang berhubung dengan cara makan ikan, di mana beliau rahimahullah menyatakan sebagai berikut:-

  1. (Dan) tiada pula makan ikan beserta air susu laban (susu masam / yogurt) kerana membawanya kepada mati.
  2. (Dan) tiada sayogia pula makan ikan serta minyak samin (ghee) dan telur kerana bahawasanya mempusakai penyakit falij (lumpuh) dan sakit gigi dan buasir.
  3. (Dan) tiada pula makan ikan serta telur kerana membawa kepada penyakit judzam (kusta) dan baras (belang/vitiligo) dan niqris (sakit sendi / gout).
  4. (Dan) tiada pula makan ikan serta qahwah (kopi).

Mudah-mudahan petua-petua tersebut ada manfaatnya bagi penggemar ikan. Tapi ingatlah bahawa sakit dan penyakit itu datangnya daripada Allah `azza wa jalla, dengan bersebab atau tanpa bersebab. Begitulah juga dengan kesembuhan, ianya datang daripada Allah `azza wa jalla, dengan bersebab atau tanpa bersebab. Kita hambaNya, disuruh bersabar dalam apa jua keadaan, di samping diperintahkan untuk berikhtiar demi kesejahteraan diri, dunia dan akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan