Dalam riwayat yang masyhur, atas ihsan dan rahmat Allah ta`ala, seseorang yang nyawanya masih dikandung badan sehingga ke saat rohnya, ketika hendak meninggalkan jasadnya sampai ke halqum (kerongkongnya), masih punya peluang untuk kembali dan bertaubat kepada Allah jalla wa `ala. Oleh itu, jangan sekali - kali berputus asa daripada rahmat Allah. Bahkan jika seorang anak yang pernah menderhaka kepada ibu atau bapanya atau ibubapanya, tetap masih ada jalan pulang, walaupun setelah kedua orang tua tersebut tiada lagi di dunia. Anak derhaka masih boleh bertaubat kepada Allah dan berbakti kepada kedua orang tuanya tersebut. Antaranya adalah dengan banyak beristighar dan berdoa bagi kedua mereka, banyak beramal shalih dan bersedekah bagi pihak mereka, di samping jangan lupa untuk menziarahi pusara mereka ketika berkesempatan. Anak - anak yang shalih tidak perlu dituntut untuk mendoakan orang tuanya, kerana mendoakan orang tua itu adalah antara syarat bagi keshalihannya, bagaimana mungkin seseorang dianggap anak yang shalih jika sering melupakan orang tuanya. Justru yang perlu dituntut untuk berdoa bagi orang tuanya adalah anak - anak yang derhaka, kerana itulah jalan untuk menebus kesalahannya terhadap orang tuanya. Mudah - mudahan dengan sedemikian, taubatnya jadi benar, lalu dia menjadi orang dan anak yang shalih, yang doanya bermanfaat bagi kedua orang tuanya, maka dengan itu jadilah dia seorang anak yang berbakti kepada orang tuanya.
Syaikh Abdullah Basmeih rahimahullah, tokoh ilmuwan yang telah menghimpunkan antara karya hadis - hadis hukum dengan jodol Mastika Hadis, yang diterbit oleh Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri (BAHEIS dahulunya sebelum bertransformasi menjadi JAKIM sekarang) setelah disemak dan disahkan oleh Mufti Wilayah ketika itu, Syaikh Abdul Muhsin bin Haji Saleh rahimahullah, menulis dalam jilid kedua, halaman 428 - 429, antara lain, sebagai berikut:-
Menziarahi kubur kaum kerabat terutama kubur ibubapa adalah sunnat muakkadah dan besar pahalanya - seperti diterangkan dalam hadis - hadis Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Makin bertambah pahalanya, jika kubur ibubapa diziarahi pada tiap-tiap hari Jumaat dan dibacakan surah Yaasin di sisinya. Kelebihan mengenang ibubapa dengan doa dan dengan menziarahi kuburnya - membawa kebaikan bukan sahaja kepada anak-anaknya yang shalih tetapi juga kepada anak yang derhaka. Dalam sebuah hadis diterangkan: anak derhaka yang telah kematian kedua ibubapanya, kemudian ia (menyesal dan bertaubat) dan sentiasa berdoa untuk mereka, nescaya ia diampuni Allah dan dikira sebagai anak yang taat.
Oleh itu, jangan lupa untuk mendoakan kedua orang tua kita, tanpa batasan bilangan, had dan masa, cuma di waktu - waktu yang punya fadhilat terlebihlah utama. Bagi yang punya orang tua yang masih bernyawa, berbuatlah bakti kepada mereka di sini lagi, jangan menunggu setelah mereka berlepas ke sana. Ingat, jangan menunggu setelah ketiadaan mereka untuk melakukan kebaktian. Bagi yang telah tiada, maka rahmat Allah maha luas, peluang untuk meneruskan kebaktian tetap terbuka selagimana kita masih bernyawa. Mudah - mudahan kita dijadikan anak - anak yang menjadi penyejuk mata orang tuanya, Allahumma aaamiin.