Telah menjadi amalan sebahagian, menziarahi kubur kaum kerabat dan sanak saudara mara mereka pada hari raya Aidil Fitri. Para ulama kita tidak mempermasalahkan perkara ini asalkan ianya dilakukan dalam rangka yang dibenarkan oleh hukum syarak serta terhindar dari perbuatan - perbuatan yang ditegah. Malangnya, terdapat segelintir manusia yang tidak setuju dengan perbuatan tersebut, bahkan menghukumnya sebagai haram kerana bid`ah menurut otak mereka. Amalan menziarahi kubur pada hari raya ini, bukanlah semata-mata amalan masyarakat Melayu. Ianya juga dilakukan oleh umat - umat Islam di tempat - tempat lain seperti di benua Indo-Pak dan sebagainya. Selain, adanya anjuran daripada ketentuan nas yang difahami oleh ulama sebagai menganjurkan ziarah kubur pada hari tersebut, maka faktor tabiat, emosi, fitrah manusia juga faktor kesempatan masa amat mempengaruhi perbuatan mereka menziarahi kubur ayah ibu dan sanak saudara mereka pada hari raya tersebut. Oleh itu, tidak seharusnya dicela akan perbuatan tersebut selagi mana ianya tidak bercanggah dengan hukum syarak yang mulia. Di manakah wujudnya dalil yang sharih mengharamkan ziarah kubur pada hari raya?
Maka tidak perlulah kita ambil pusing dengan fatwa "bid`ah" puak - puak tersebut. Jika tuan - tuan kebetulan balik beraya di kampung, yang mungkin hanya setahun sekali tuan - tuan jengah, terdengar laungan takbir yang syahdu maka hati siapa yang tidak tersentuh, teringatkan mereka-mereka yang dahulunya bersama kita menyambut raya, namun kini telah tiada. Maka hiburkanlah hati tuan - tuan, luangkanlah sedikit masa untuk menziarahi mereka di tanah perkuburan. Sesungguhnya telah datang nas yang menyatakan bahawa ahli-ahli kubur juga suka, gembira dan senang dengan ziarah tuan - tuan sebagaimana suka dan gembiranya sanak - saudara tuan -tuan yang masih hidup menerima ziarah tuan - tuan. Selanjutnya faqir nukilkan nas kitab Tanwirul Qulub karya seorang ulama besar lagi wali mursyid, Syaikh Muhammad Amin al-Kurdi asy-Syafi`i an-Naqsyabandi rahimahullah yang menganjurkan ziarah kubur pada hari raya yang mulia. Syaikh Muhammad Amin al-Kurdi pada halaman 275 kitab tersebut menyatakan, antara lain sebagai berikut:-
Disunnatkan ziarah kubur kaum Muslimin bagi lelaki untuk mengingati kematian dan negeri Akhirat, juga untuk memperbaiki kerosakan hati dan untuk memberi faedah kepada si mati daripada hadiah pahala apa - apa yang dibaca daripada ayat - ayat al-Quran. Hukum sunnatnya ini berdasarkan kepada hadis Imam Muslim: (Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda): "Dahulu aku pernah melarang kamu daripada menziarahi kubur, (namun sekarang) kamu pergilah menziarahinya." Imam al-Baihaqi meriwayatkan bahawa Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Lihatlah kepada kubur-kubur dan ambillah iktibar tentang hari kebangkitan." Terutama untuk diziarahi adalah kubur para nabi, para wali dan orang - orang shalih. Perempuan dimakruhkan untuk menziarahi kubur kerana jiwa mereka halus dan sensitif sehingga mereka mudah tersentuh dan kurang sabar mengawal emosi mereka (di sini tuan - tuan hendaklah fahami dengan betul, makruhnya wanita menziarahi kubur tersebut bukanlah makruh atas ithlaq tetapi makruhnya ada `illahnya. Maka hukumnya adalah bersandar kepada `illah). Hukum makruh atas perempuan menziarahi kubur adalah selagimana tidak berlakukan perkara-perkara yang haram, jika berlaku yang diharamkan maka haramlah hukumnya. Namun, tetap disunnatkan bagi perempuan untuk menziarahi makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan demikian pula kubur sekalian nabi, ulama dan wali (dan ada qawl dalam mazhab kita yang menghubungkan sunnat juga baginya untuk menziarahi kubur kaum kerabatnya). Ziarah kubur sangat dituntut pada hari raya dan pada masa-masa mulai petang hari Khamis sehingga terbit matahari hari Sabtu.....
Tuan - tuan, anjuran menziarahi kubur pada hari raya bukan hanya disuarakan oleh para ulama mazhab kita sahaja. Para ulama Mazhab Hanafi juga mempunyai pandangan yang serupa. Antaranya sebagaimana yang disebut dalam al-Fatawa al-Hindiyyah atau yang dikenali juga sebagai al-Fatawa al-`Alamkiriyyah @ Fatawa `Alamgiri yang menjadi rujukan dan sandaran dalam Mazhab Hanafi. Kitab ini telah disusun oleh sejumlah ulama atas arahan Maharaja Mughal yang shalih Maharaja Muhyiddin Muhammad Aurangzeb Alamgir rahimahullah. Dalam juzuk ke-5, pada halaman 430, dinyatakan, antara lain, sebagai berikut:-
... Dan hari - hari yang afdhal untuk menziarahi kubur ada empat; hari Isnin, hari Khamis, hari Jumaat dan hari Sabtu. Adalah baik / elok / hasan untuk menziarahi kubur setelah shalat Jumaat, pada pagi hari Sabtu sebelum terbit matahari dan pada awal siang hari Khamis, namun ada pendapat qil yang menyatakan bahawa pada akhir siangnya. Demikian juga afdhal ziarah kubur pada malam - malam yang diharapkan keberkatan terutama sekali Lailatun Bara-ah (yakni Malam Nishfu Sya'ban) dan demikian juga ziarah pada waktu - waktu yang diharapkan keberkatan seperti hari - hari sepuluh awal bulan Dzulhijjah, dua hari raya, hari `Asyura dan sekalian musim ibadah, sebagaimana yang disebut dalam al-Gharaaib.....
Teleklah tuan - tuan, bagaimana ulama kita telah menjelaskan antara masa - masa yang baik, yang elok, yang afdhal untuk menziarahi kubur adalah pada hari raya. Maka inilah antara sandaran kita untuk melakukan ziarah pada hari raya. Bagi yang tidak setuju, itu hak kamu dan jika kamu ada hak, kami pun ada hak. Kamu ikutlah ustaz kamu dan biarkan kami mengikut ulama kami. Namun dalam menziarahi kubur, hendaklah dijaga segala hukum - hakam dan adabnya, agar ziarah tersebut menjadi amalan shalih yang mendatangkan pahala serta mendekatkan lagi kita bertaqarrub kepada Allah `azza wa jalla.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan