Surah Yaasin adalah satu surah yang sudah lazim menjadi amalan umat Islam, bukan sahaja di alam Melayu tetapi di seluruh jagat umat ini. Ini adalah satu fakta yang tidak boleh dinafikan, walaupun ada segelintir manusia pelik yang tidak senang melihat umat membacanya. Ulama dahulu mengajak umat beramal walaupun hanya seminggu sekali, kerana mereka memahami situasi dan kedhaifan umat. Ulanyak sekarang lain pula pola fikirnya, mereka mengganyak umat yang beramal sehingga mengakibatkan umat yang dhaif meninggalkan beramal. Nak baca Yaasin malam Jumaat dah kena bid`ah, nak baca al-Kahfi tak mampu, akhirnya balik melengung depan TV atau sambung bersembang. Eloklah umat yang dhaif membaca Yaasin seminggu sekali daripada hanya menunggu orang membacakannya kepada mereka ketika nazak nanti. Jangan disalahgunakan dalil - dalil yang benar untuk menghasilkan kebatilan. Dah elok masjid / surau menjadikan yaasinan setiap malam Jumaat sebagai wirid yang telah berkelangsungan sekian lama, engkau putuskan wiridan tersebut dengan ceramah yang entah apa - apa isi kandungannya, ceramah yang tidak setara dengan satu huruf pun daripada surah Yaasin. Ini kalau ikut geram ese, tak ke sudah ...... Namun balik kepada topik, bersempena dengan malam pertengahan bulan Sya'ban (Nishfu Sya'ban), para ulama kita turut menganjurkan antara lain, pembacaan surah Yaasin lalu diiringi dengan membaca doa Nishfu yang masyhur. Perkara ini telah tuntas dibahaskan dan tidak perlu untuk diungkit kembali. Sesiapa yang ingin meneruskan amalan ulama ini, silakan dan sesiapa yang tidak mahu, maka tidak ada sesiapa yang mewajibkannya.
Sebagaimana yang telah diutarakan, ulama dahulu cerdas dan bijak, mereka menganjurkan sesuatu yang mudah untuk diamalkan orang awam, lalu dipilihnya surah Yaasin yang memang sudah sebati di kalangan awam. Surah Yaasin adalah surah yang ringan untuk dibaca dan mempunyai fadhilat yang besar. Antaranya, surah ini dikenali sebagai satu wasilah untuk memohon dipermudahkan segala urusan, hatta urusan sakaratul maut yang dahsyat, sehingga dianjur oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam untuk dibacakan surah yang mulia ini kepada orang yang sedang menghadapi sakaratul maut (nazak). Surah Yaasin juga memiliki kelebihan di mana sesesiapa yang membaca surah ini sekali, maka seumpama dia membaca seluruh al-Quran itu sepuluh kali, sebagaimana disebut dalam beberapa hadis. Riwayat tersebut, walau apa statusnya, samada shahih atau hasan atau dhaif, menunjukkan sabit warid kelebihan membaca surah Yaasin. Maka tidak hairanlah, surah ini menjadi wirid dan amalan yang sebati dengan masyarakat Islam amnya, tidak hanya dalam masyarakat Melayu sahaja. Syaikh Hamaami Zaadah rahimahullah dalam karya beliau yang masyhur, Tafsir Surah Yaasin, menyatakan, antara lain:- "...Di mana sahaja surah Yaasin ini dibaca atau ditafsir (dikaji dan dipelajari), Allah ta`ala akan mengangkat daripada mereka bala bencana, kemarau, kegawatan ekonomi (kenaikan harga barangan dan inflasi), tha`un, penularan wabak dan penyakit, demi kehormatan (kemuliaan) surah ini...."
Marilah kita menjadikan surah ini sebagai wirid kita, samada harian atau mingguan. Ingat pesanan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, sebaik -baik amalan itu yang berkekalan walaupun sedikit. Sungguh hairan jika ada yang membenci orang yang menjadikan surah ini wiridnya, hatta hanya wirid mingguan. Mungkin ini antara yang menjadi penyebab turunnya berbagai bala bencana atas umat ini. Allahu ... Allah, mudah - mudahan apa yang dinyatakan oleh Syaikh Hamaami rahimahullah tersebut dijadikan kenyataan dan diangkatkan segala bala dan wabak yang sedang melanda umat manusia ketika ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan