Jumaat, April 17, 2020

Qashidah Li `Asyratun

Habib Ahmad bin Muhammad bin 'Alawi al-Muhdhar rahimahullah adalah sosok ulama yang menjadi panutan dan ikutan umat. Beliau mempunyai silsilah keturunan yang bersambung dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Keluarga beliau yang disebut sebagai marga al-Muhdhar terkenal dengan ilmu dan kewaliannya. Beliau adalah ayahanda kepada Habib Muhammad al-Muhdhar Bondowoso yang masyhur di Tanah Jawa. Habib Ahmad dilahirkan di kampung ar-Rosyid, Do`an, Hadramaut, pada tahun 1218H dan wafat 1304 di Quwairah / Guweireh, Hadhramaut. Beliau telah dididik dalam lingkungan keluarga berilmu dan taat beragama. Beliau telah hafal al-Quran sejak berusia 7 tahun lain. Guru - gurunya amat ramai, di antara mereka Habib Shalih bin 'Abdullah al-'Aththas, Habib 'Umar bin Abu Bakar bin 'Ali al-Haddad, Habib 'Abdullah bin 'Aydrus al-Baar, Habib Ahmad bin 'Umar BinSumaith, al-`Allaamah Syaikh 'Abdullah bin Ahmad BaSaudan, al-'Allaamah Syaikh Sa`id bin Muhammad Ba'syin dan Habib Hasan bin Shalih al-Jufri @ Habib Hasan al-Bahar rahimahullah. Beliau juga berkesempatan untuk menimba ilmu dengan para ulama Haramain, di antaranya, Syaikh 'Umar Abdurrasul al-'Aththar, Syaikh Muhammad Shalih ar-Rais az-Zamzami (mufti Syafie Mekah), Syaikh Ahmad ash-Shawi (pengarang Tafsir ash-Shawi) dan Syaikh 'Abdur Rahman al-Kuzbari (ulama hadis terkemuka) dan ramai lagi rahimahullah.

Habib Ahmad al-Muhdhar menghabiskan umurnya untuk mentaati Allah ta`ala dengan melaku amal ibadah, di samping menyebarkan ilmu. Ibadahnya seperti shalat, membaca al-Quran, zikir dan shalawat amat banyak. Diceritakan bahawa ketika Habib Ahmad membaca kisah Rabi`atul Adawiyyah rahimahallah menggali kuburnya sendiri dan mengkhatamkan 7000 kali khatam dalam liang tersebut, maka Habib Ahmad tidak mahu kalah, beliau menggali kuburnya sendiri dan mengkhatamkan di dalamnya 8000 kali khatam. Namun, beliau masih sempat menyisih waktunya untuk menulis, mengarang dan mengajar para santri. Di antara santri beliau, selain anak - anaknya sendiri, adalah Habib Ahmad bin Hasan al-'Aththas, Habib Thahir bin 'Umar al-Haddad, Habib 'Aydrus bin 'Umar al-Habsyi dan ramai lagi rahimahullah

Syair, qashidah, wasiat, zikir, ratib dan shalawat yang beliau susun telah masyhur dan dinukil dalam kitab para ulama. Habib 'Abdullah bin 'Alawi bin Hasan al-'Aththas rahimahullah dalam karya beliau yang menghimpunkan wirid, zikir, shalawat, ratib dan doa yang masyhur di kalangan Saadah Ba`Alawi yang dinamakan sebagai  Sabil al-Muhtadin fi dzikri ad`iyyah ashhab al-yamin, turut memuatkan ratib, zikir, hizib, shalawat dan doa gubahan Habib Ahmad al-Muhdhar. Antara yang tercatat adalah shalawat yang dikarang Habib Ahmad al-Muhdhar mengikut susunan huruf hijaiyyah yang dinamakan al-Bab al-Maftuh lid dukhul wa as-Sullam al-Muwashshil li kulli sul fi ash-shalaati 'ala Asyrafi Marsuul. Himpunan shalawat dengan gaya bahasa yang ringkas, namun tinggi sastera dan dalam pengertian serta maknanya, telah diterjemah dan dicetak dalam Bahasa Melayu / Indonesia oleh Synergy Media dengan jodol Selawat Pelindung diambil daripada terbitan Indonesia dengan jodol Shalawat Sapujagat. Namun sayang seribu kali sayang, Kata Pengantar yang tertulis dalamnya mengandungi rujukan dan jarum Syiah, maka hati - hati bila membaca kata pengantar tersebut. Kata Pengantar ini bukannya tulisan Habib Ahmad al-Muhdhar. Habib Ahmad al-Muhdhar adalah ulama yang berjalan atas jalan para salaf Bani 'Alawi, di mana mereka adalah pengikut Ahli Sunnah wal Jama`ah dan bermazhab Syafie. Bahkan beliau menutup shalawat tersebut dengan mendoakan para Saadah Alawiyyin yang bermazhab Sunni dengan katanya: ....wa `ala Saadatina al-'Alawiyyin al-Husainiyyin as-Sunniyyin.....( dan ke atas para pemuka 'Alawi keturunan Husain yang sunni)....,  sila tuan - tuan baca sendiri. Ambillah perhatian dan hati - hati dengan dakyah Syiah yang bertopengkan ahli bait.

Mengenai qashidah Li `Asyratun, ini adalah antara bait - bait qashidah yang telah disusun oleh Habib Ahmad al-Muhdhar. Bahkan, ianya adalah antara qashidah beliau yang paling banyak dibaca. Beliau rahimahullah turut memuatkan qashidah ini dalam himpunan yang dinamakan an-Nafhatul 'Anbariyyah fi Lailatil Ihda 'Asyariyyah yang biasa dibaca dalam majlis haul atau hadrah memperingati Ummul Mukminin, Sayyidah Khadijah radhiyaAllahu `anha. Imam Ahmad al-Muhdhar mempunyai pertautan yang erat dengan Sayyidah Khadijah al-Kubra radhiyaAllahu `anha. Beliau telah mempelopori majlis peringatan atau haul bagi Sayyidah Khadijah yang biasa diadakan pada setiap tanggal 11 haribulan qamariyyah. Majlis yang biasa disebut sebagai Hadrah Ihda 'Asyariyyah sempena kewafatan Sayyidah Khadijah pada hari yang ke-11 (Sayyidah Khadijah wafat pada 11 haribulan Ramadhan) berkelanjutan sehingga ke hari ini dan tersebar bukan sahaja di Hadhramaut, bahkan di Hejaz, Afrika dan Nusantara. Jika bait Li Khamsatun hanya tawassulan untuk mencegah wabak penyakit, Li 'Asyratun  ini mungkin lebih "angker" lagi dalam sudut pandang puak anti - tawassul (baca: Wahabi), sebab tawassulnya adalah dari kepanasan api neraka bukan setakat kepanasan wabak. Menurut sebahagian asatizah, antaranya Habib Abdurrohman BilFaqih hafizahullah, ketika terjadi penularan wabak, maka kalimah "naaral Jahiim" bolehlah diubah kepada "harral waba`" sebagaimana ijazah yang beliau perolehi. Dalam qashidah Li 'Asyratun, tawassulnya ada 10, iaitu (i) Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam; (ii) Sayyidina 'Ali; (iii) Sayyidina Hasan; (iv) Sayyidina Husain; (v) Sayyidah Fathimah; (vi) Sayyidah Khadijah; (vii) Sayyidah Aisyah; (viii) Sayyidah Maryam; (ix) Sayyidah Asiah (isteri Fir`aun yang menjadi ibu angkat Nabi Musa `alaihis salam), radhiyaAllahu `anhum dan Sayyidina Jibril `alaihis salam. Maka tidak boleh dituduh qashidah ini sebagai amalan Syiah, kerana ternyata tawassulnya juga kepada Sayyidah Aisyah radhiyaAllahu `anha sedangkan Syiah amat memusuhi dan membenci beliau. Confirm Syiah tak baca, yang deme baca versi lain walaupun memiliki persamaan. Versi yang kita amal, kita tak ambik daripada Syiah, kita dapat daripada para ulama kita yang Sunni semuanya.

Qashidah ini juga telah masyhur diamalkan dan dibaca dalam majlis - majlis zikir dan ratib. Para ulama menukilkannya dalam karangan mereka terutama karya - karya yang membahas atau menghimpun zikir dan ratib yang masyhur di kalangan Ba 'Alawi. KH Fathullah Harun rahimahullah menukilkan qashidah ini dengan sedikit perbezaan lafaz dalam karya terjemahan beliau bagi 'Aziizul Manaal yang telah beredar sejak 1967 lagi. Begitu juga Habib Ahmad bin 'Abdul Rahman BaHusein dalam Majmu`ah Mubarakah turut memuatkan qashidah ini. Maka tiada lagi keraguan  bahawa qashidah ini dianjurkan pembacaannya oleh para ulama kita. Mudah - mudahan ada manfaatnya sebagai wasilah meraih rahmat dan pertolongan Allah yang Maha Berkuasa.

********************
Qashidah Li 'Asyratun
(Benua Afrika)

1 ulasan:

  1. MasyaAllah.. terima kasih di atas ilmu yang dikongsikan. Barakallahu fik..

    BalasPadam