Harap tuan - tuan tak terkejut beruk bila mendengar perkataan `azimat. Mungkin selama ini kita hanya didedahkan atau mendengar ceramah - ceramah yang menghukumkan `azimat sebagai haram atau syirik atau bid`ah secara mutlak, sedangkan hukum sebenarnya tidaklah begitu. Para ulama Ahlis Sunnah wal Jama`ah telah membuat perincian mengenai hukum hakam `azimat ini, yakni ada yang dibenarkan dengan beberapa syarat dan ada pula yang dilarang. Jika kita rajin mengaji kitab - kitab turats, kita akan mendapati, biasanya dalam bab hukum menyentuh al-Quran, turut ada disebut, sedikit sebanyak, tentang hukum menyentuh `azimat -`azimat yang ditulis padanya ayat - ayat al-Quran. Bahkan, Syaikh Sulaiman al-Bujairimi rahimahullah dalam hasyiahnya yang masyhur, Tuhfatul Habib `ala Syarhil Khatib, pada juz 1, halaman 371 - 372, menukil daripada Syaikh al-Jawhari rahimahullah akan syarat bagi menulis at-tamimah (tangkal), sesiapa yang berhajat bolehlah rujuk di sana dan kepada para guru yang mahir dalam bab ini. Maka hukum menulis dan menggunakan `azimat, bahkan tangkal sekalipun, menurut para ulama kita, tidaklah diharamkan atas jalan ithlaq, hukum hakamnya perlu kepada perincian.
Berbalik kepada `azimat tha`un, Mawlana Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah menulis dalam Furu`ul Masa-il, juz 1, halaman 174 sebagai berikut:- ....(Dan) setengah daripada yang sudah dicuba padanya, disurat pada kertas akan azimat tha`un, iaitu (Hayyun Shamadun Baaqi, wa lahu kanafun waaqi) - "(Allah) Tuhan yang Maha Hidup, menjadi tumpuan dan sandaran bagi semua, lagi Maha Abadi; Dan milikNyalah segala rahmat pemeliharaan dan penjagaan yang hakiki)" -, kemudian dilekatkan pada pintu rumahnya terpelihara daripada marabahayanya....
Sebenarnya apa yang disebut oleh Mawlana Syaikh Daud rahmatullah `alaih ini adalah nukilan daripada ulama terdahulu. Sebagai contoh, Syaikh Sulaiman al-Jamal rahimahullah menyebut hal ini dalam Hasyiah al-Jamal `ala Syarhi al-Manhaj, jilid 2, halaman 193, sebagai berikut:- ...Dan di antara faedah yang telah diuji (mujarrab) bagi mencegah masuknya wabak tha`un ke dalam rumah bahawa ditulis pada kertas lalu ditempelkan pada pintu rumah tersebut:- "Hayyun Shamadun Baaqi; Wa lahu kanafun waaqi" - asy-Syaikh Sirajuddin al-Bulqini (yakni faedah ini berasal atau dimasyhurkan oleh Syaikh Sirajuddin al-Bulqini rahimahullah) - atau (ditulis dan ditempel pada pintu tadi akan) "al-Baaqi al-Khallaaq", walaupun ditulis terus atas diri pintu tersebut (yakni boleh ditulis kalimah - kalimah tersebut langsung pada pintunya)....
Selain Mawlana Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah, ulama - ulama Nusantara yang datang kemudian turut menukil kaedah ini dalam karangan - karangan mereka. Di antaranya, Syaikh Nik Mat Kecik @ Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani rahimahullah menukilkannya dalam Bahjatul Mardhiyyah dan Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahullah dalam Badaa-i`uz Zuhur, di mana mereka menggabung lafaz (Hayyun Shamadun Baaqi, wa lahu kanafun waaqi) tersebut dengan beberapa zikir lagi yang tujuannya sama. Mudahan - mudahan bermanfaat dan dipelihara sentiasa oleh Allah dari segala bala bencana dan wabak penyakit.
KH Abdullah Ubab bin KH Maimoen Zubair
Tiada ulasan:
Catat Ulasan