Telah masyhur bahawa Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam sabdaan baginda telah mengkhabarkan bahawa berpuasa pada Hari `Arafah menjadi kaffarah bagi dosa dua tahun, iaitu tahun di mana puasa Hari `Arafah tersebut dilakukan (yakni sehingga akhir bulan DzulHijjah tahun tersebut) dan setahun selepas puasa Hari `Arafah tersebut (yakni tahun baharu dihadapannya yang bermula dengan bulan Muharram). Maka di antara ulama, ada yang berkesimpulan bahawa antara kelebihan puasa pada Hari `Arafah adalah orang yang berpuasa padanya akan dipanjangkan umur setahun lagi. Sidi Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi rahimahullah dalam I`anatuth Thaalibin pada halaman 300 jilid 2, menulis, antara lain, sebagai berikut (dengan terjemahan bebas):- .. Pada kelebihannya sebagai kaffarah tahun ini mengisyaratkan bahawa dia tidak akan mati padanya. Ini merupakan berita gembira baginya (yakni khabar gembira bagi orang yang berpuasa `Arafah bahawa dia masih ada harapan untuk dipanjangkan umurnya). Telah menukil hal ini, Imam al-Mudaabaghi (yakni Imam al-'Allaamah Hasan bin `Ali bin Ahmad al-Mudaabaghi yang wafat tahun 1170H) melalui riwayat daripada Sayyidina Ibnu 'Abbas radhiyaAllahu `anhuma, yang ibaratnya seperti berikut: (Faedah) telah berkata Sayyidina Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma: "Ini adalah berita gembira bahawa orang yang telah berpuasa padanya akan hidup pada tahun hadapan. Ketika mana baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam telah menggembirakan orang yang berpuasa tersebut bahawa ia menjadi kaffarahnya (yakni kaffarah bagi tahun - tahun yang dinyatakan tadi), maka ini menunjukkan atas (kekal) hayat orang yang berpuasa tersebut di dalamnya (yakni di dalam tahun - tahun tersebut)".......
Allahu .... Allah, hanya Allah yang mengetahui hakikat sebenarnya dan al-Haq ta`ala jualah berbuat sekehendakNya. Panjang pendek umur boleh dilihat dari berbagai sudut, Imam asy-Syafie radhiyaAllahu `anhu, umur dunianya hanya 54 tahun sahaja, namun keberkatan umur beliau berkekalan sehingga ke hari ini walaupun sudah menjangkau lebih 1000 tahun. Apa yang penting kita mengikhlaskan amalan kita hanya untuk mencari keredhaan Allah subhanahu wa ta`ala dan jika suka dan mohon umur yang panjang, pastikan tujuannya untuk memperbanyakkan pengabdian kepadaNya.
Faqir akhiri coretan ini dengan berkongsi satu faedah daripada seorang ulama besar, al-Habr al-Imam Habib `Abdullah bin 'Abdul Qadir bin Ahmad BilFaqih rahimahumullah, berupa satu doa untuk dibaca selepas Asar pada Hari `Arafah sebanyak 100 kali, dengan harapan Allah menjadikan kita atau memberi saham kepada kita agar tergolong dalam kalangan mereka - mereka yang berwukuf dengan penuh kerendahan diri di padang Arafah. Transliterasi doa tersebut adalah sebagai berikut:- "Allahummaj-`alnaa minal waaqifiina wal mutadharri-`iina fii `Arafaat, innaKa `alaa kulli syai-in Qadiir, (Ya Allah, jadikanlah kami termasuk dalam kalangan mereka -mereka yang berwukuf dan merendah diri di `Arafah. Sesungguhnya Engkau atas segala sesuatu Maha Berkuasa)." Mudah - mudahan dikabulkannya permohonan tersebut, lalu dianugerahkan kita seumpama anugerahNya kepada para hujjaj yang berwukuf dan/atau disampaikanNya kita satu hari nanti menjadi antara hujjaj yang sempat berwukuf di sana. Apa - apa pun terserahlah kepadaNya dan hanya Dialah yang Maha Berkuasa mengabulkan segala permohonan dan harapan. Mudah- mudahan segala amalan dan doa harapan kita diterima Allah ta`ala dengan sempurna penerimaan....Allahumma aamiin.
Perkongsian Habib Ahmad bin Utsman al-`Aydrus
Tiada ulasan:
Catat Ulasan