Jumaat, Julai 09, 2021

Tasbihnya tasbih Abu Muslim

Imam al-Khaulaani atau nama penuhnya Abu Muslim `Abdullah bin Tsuab ad-Darani al-Khaulaani adalah salah seorang tabi`in yang terkemuka. Nisbah al-Khaulaani itu merujuk kepada Khaulaan iaitu satu tempat di Yaman. Imam adz-Dzahabi menjoloki beliau sebagai Sayyid at-Tabi`in (Pemuka Golongan Tabi`in)  dan Zaahidul `Ashri. Beliau berasal dari Yaman dan memeluk Islam ketika hayat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, namun tidak berkesempatan untuk bertemu dengan baginda. Beliau tiba di Madinah al-Munawwarah ketika kekhalifahan Sayyidina Abu Bakar ash-Shiddiq radhiyaAllahu `anhu. Beliau sempat bertemu dengan para pemuka sahabat seperti Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar  radhiyaAllahu `anhuma, bahkan Baginda Umar radhiyaAllahu `anhu memuliakan beliau dengan mengucup kedua keningnya ...... Allahu .... Allah.

Imam al-Khaulaani radhiyaAllahu `anhu terkenal dengan banyak keramatnya. Antara yang masyhur adalah peristiwa di mana beliau dibakar oleh nabi palsu Yaman yang bernama al-Aswad al-`Ansiy al-Kadzdzab. Imam an-Nawawi rahimahullah menukil dalam "Bustanul `Arifin" pada halaman 204 - 205 sebagai berikut:- Dengan sanad al-Hafiz Abu Thahir as-Silafiy daripada Syurahbil bin Muslim bahawasanya al-Aswad bin Qais al-`Ansiy al-Kadzdzab ketika mendakwa dirinya sebagai nabi di Yaman telah mengundang Abu Muslim al-Khaulaani untuk datang kepadanya. Apabila Abu Muslim datang, al-Aswad berkata: "Adakah engkau bersaksi bahawa aku adalah rasul Allah?" Abu Muslim menjawab: "Aku tidak mendengarnya (yakni aku tidak menerima apa yang engkau katakan)." Al-Aswad berkata lagi: "Adakah engkau bersaksi bahawa Muhammad rasul Allah?" Abu Muslim menjawab: "Ya." Al-Aswad bertanya lagi: "Adakah engkau bersaksi bahawa aku rasul Allah?" Abu Muslim menjawab: "Aku tidak mendengarnya." Al-Aswad bertanya lagi: "Adakah engkau bersaksi bahawa Muhammad rasul Allah?" Abu Muslim menjawab: "Ya." Nabi palsu al-Aswad mengulang-ulang soalan - soalan tersebut berberapa kali, dan begitulah juga jawapan daripada Abu Muslim. Setelah kecewa untuk menyakinkan Abu Muslim, al-Aswad al-Kadzdzab memerintahkan agar dinyalakan unggun api yang besar lalu dicampakkanlah Abu Muslim al-Khaulani ke dalamnya. Namun api yang besar tersebut tidak dapat membakar atau memudaratkan Abu Muslim. Melihat kejadian tersebut, penasihat nabi palsu al-Aswad berkata kepadanya: "Buangkan dia (yakni Abu Muslim) dari negerimu kerana jika tidak dia akan merosakkan keyakinan pengikutmu." Lalu Abu Muslim pun dilepaskan keluar dari Yaman dan beliau pun menuju Madinah al-Munawwarah. Dipendekkan cerita, setiba di Madinah, Imam al-Khaulaani telah bertemu dengan Sayyidina 'Umar radhiyaAllahu `anhu yang membawanya bertemu dengan Sayyidina Abu Bakar radhiyaAllahu `anhu. Ketika bertemu dan mendengar kisahnya, Sayyidina Abu Bakar berkata (dalam sesetengah riwayat, antaranya riwayat Imam Ibnu Katsir bahawa yang berkata adalah Sayyidina 'Umar radhiyaAllahu `anhu): "Segala puji bagi Allah yang belum mematikan aku sehingga diperlihatkan kepadaku daripada kalangan umat Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam seseorang yang telah diperlakukan dia seperti apa yang diperlakukan terhadap Nabi Ibrahim `alaihis salam Khalilur Rahman (yakni orang yang tidak terbakar oleh api sebagaimana Nabi Ibrahim tidak terbakar ketika dicampak ke dalam api oleh Namrud)."

Kisah keramat Imam al-Khaulaani ini telah diriwayatkan oleh ramai ulama kita, baik yang terdahulu mau pun  yang kemudian. Imam Abul Qasim, Hibatullah bin al-Hasan bin Manshur ath-Thabari ar-Razi asy-Syafie al-Laalika-i rahimahullah, seorang ulama dan ahli hadis yang wafat tahun 418H meriwayatkan kisah keramat tersebut dalam "Karamatul Awliya`" pada halaman 184, Kisah yang ke-145, manakala   Imam Ibnu Katsir (w. 774H) rahimahullah menukilkannya dalam "al-Bidayah wan Nihayah", pada juz ke-8, halaman 146.

Berbalik kepada jodol entri ini, faqir nukilkan satu lagi keramat yang berlaku kepada Imam Abu Muslim al-Khaulaani sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Katsir rahimahullah dalam kitab yang masyhur, "al-Bidayah wan Nihayah", juz ke-6, halaman 274, sebagai berikut:-  "... Adalah Abu Muslim al-Khaulaani mempunyai seutas tasbih yang beliau gunakan untuk berzikir. Satu ketika beliau tertidur sedangkan tasbih tersebut masih di tangannya. Maka tasbih itu terus berputar sendiri mengelilingi lengannya sambil mengucapkan ucapan: Subhaanaka Ya Mun(m)bitan Nabaat, wa Ya Daa-imats Tsabaat (Mahasuci Engkau wahai Tuhan yang menumbuhkan segala tumbuhan, wahai Tuhan yang Maha Kekal tetap wujud tanpa perubahan)." Imam al-Khaulaani terjaga dan menyaksikan hal itu, lalu beliau memanggil isterinya untuk sama menyaksikan keajaiban tersebut. Ketika isterinya datang, tasbih itu masih mengucapkan zikir tersebut sambil berputar sendiri sehinggalah isteri Imam al-Khaulaani duduk, maka tasbih itu pun berhenti.

Faqir datangkan kisah ini, walaupun sebahagian pentahqiq daripada kubu sebelah, meng"issue"kan riwayat kisahnya, kerana ada perawi kisah ini yang dipertikaikan. Mereka menjadikan periwayatan kisah - kisah atau peristiwa yang berlaku dalam kehidupan seseorang yang bukannya Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam seumpama periwayatan hadis-hadis Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan mengikut disiplin ilmu hadis yang ketat. Sedangkan ini hanyalah kisah cerita keramat yang berlaku kepada seorang wali daripada kalangan awliya` Allah. Cukuplah bagi kita, apabila ada daripada kalangan ulama menukilkannya dalam karya - karya mereka tanpa sebarang komentar, walaupun adakalanya shighah tamridh digunakan. Shahih atau batilnya kisah tersebut tidaklah dapat disamakan hukumnya seperti shahih atau maudhunya sesuatu hadis Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Kisah tasbihnya tasbih Imam Abu Muslim al-Khaulaani telah diriwayatkan oleh Imam Abu Syaikh al-Isfahani @ al-Ashbihani (w.369) rahimahullah dalam kitab "al-`Adzamah" halaman 1730, Imam Ibnu 'Asakir (w.571H) meriwayatkannya dalam "Tarikh Madinah Dimasyq", juz ke-27 halaman 217, Imam as-Sayuthi menukilkannya dalam karya beliau "al-Minhatu fis Subhah" yang dicetak dalam "al-Hawi lil Fatawi", juz ke-2 halaman 4 dan muhaddits kontemporer, almarhum Imam Abil Hasanat Muhammad 'Abdul Hay al-Laknawi, menutup karya beliau tentang penggunaan dan hukum  subhah (yakni utasan tasbih yang makruf), "Hidayatul Abrar fi Subhatil Adzkar", pada halaman 82, dengan kisah ajaib ini.


Sebagaimana yang kita ketahui bahawa segala makhluk ciptaan Allah yang ada di 7 petala langit dan bumi serta segala isinya, semuanya bertasbih memuji Allah subhanahu wa ta`ala. Dalam surah al-Isra` ayat 44, Allah ta`ala berfirman yang kira - kira ertinya: "Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun." Makanya, jangan ingat kita sahaja yang reti bertasbih mengagungkan Allah, hanya sahaja kita tidak faham akan tasbih atau cara makhluk - makhluk tersebut bertasbih. Namun tidak mustahil bagi Allah untuk menyingkapkan hijab sehingga seseorang dapat mendengar atau memahami tasbih makhluk - makhluk tersebut. Jika kita telaah kitab - kitab hadis, kita akan berjumpa dengan berbagai riwayat bahawa di antara mukjizat yang pernah berlaku ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah benda - benda beku (jamadat) seperti makanan, batu kerikil dan seumpamanya pernah terdengar oleh sahabat bertasbih ketika dipegang oleh baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam. Maka tidaklah pelik jika berlaku keramat sedemikian ke atas seorang wali daripada umat baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam, di mana tasbihnya bertasbih dengan ucapan: Subhaanaka, Ya Mun(m)bitan Nabaat, wa Ya Daa-imats Tsabaat. Allah jualah yang Maha Mengetahui segalanya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan