Tan Sri Professor Syed Muhammad Naquib bin Ali bin Abdullah bin Muhsin al-'Aththas, cukup ternama di kalangan para ilmuwan, terutama para peminat falsafah dan ahlinya. Beliau adalah keturunan Habib Abdullah bin Muhsin @ Habib Keramat Empang yang terkenal dengan ilmu dan kewaliannya. Buku - buku karangan Prof. Syed Naquib, disamping penuh dengan ilmu pengetahuan, juga ditulis dengan gaya bahasa yang cukup indah dan mengasyikkan. Dalam mukadimah bagi himpunan tulisan beliau berjodol Risalah Untuk Kaum Muslimin, beliau memulakan dengan kata - kata pujian yang indah bagi Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Kata-katanya sebagai berikut: ...... Dan shalawat yang tiada berputusan serta salam yang tiada berhabisan kepada abdi dan rasulNya junjungan kita Muhammad, pemilik panji kepujian yang mengikrarkan hakikat namanya sebagai mu'jizat nyata yang terus berlaku; yang
Meskipun zahir bentuk bashari,
Batinnya bangsa terlalu safi,
Kerana peri haknya ruhani
Pernah berkata lisannya murni:
Sebagai nabi aku terkandung
Dalam rahasia di Balai Agung,
Padahal Adam masih terapung
Antara air dan tanah lempung.
Meskipun rupaku anak Adam,
Darjatku asal terlebih kiram.
Tatkala Adam belum teringat,
Tatkala Kalam belum bersurat
Dan Papantulis belum tercatat
Sudah terpandang oleh kunhi Zat
Seri wajahku di dalam mirat.
Sinaran sani cahaya kamalat,
Pancaran murni asma dan sifat,
Rumusan seni segala makhlukat
Yang zahir pada cermin hakikat --
Dalam diriku semua terlibat.
yang awal dicipta dan akhir menjelma, sehingga kedatangannya seperti yang datang dari Jauh ditunggu - tunggu; imam segala nabi dan khatimnya semua, laksana permata jawhar bercahayakan air asali menghiasi gelang para anbiya, laksana mohor Raja Agung yang pertama - mula menerap kalimah tawhid pada kalbu - diri Insan; yang terbit bagai bulan purnama cahayanya indah mengusir kegelitaan malam Jahiliah; yang katanya sungguh dan benar dan caranya betul belaka; tauladan terbaik bagi anak Adam dan rahmat Ilahi bagi sekalian alam....
Indah susun kata, lagi benar apa yang dinyata. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, ruhani pertama menerima ada, asal bagi segala ada, baginda sinaran sani cahaya kamalat, pancaran murni asma dan sifat, rumusan seni segala makhlukat. Allahumma shalli wa sallim `alaih. Mudah - mudahan ada manfaatnya dan limpahan rahmat belas kasihNya bagi sang penulis juga pembaca.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan