Ada di kalangan awliya` yang mempunyai pengalaman - pengalaman tersendiri berkait dengan tasbih yang digunakan untuk berzikir. Di antara pengalaman tersebut adalah mimpi - mimpi benar (rukyatun shodiqah) bertemu dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang ada kaitan dengan tasbih. Di antaranya seperti yang dicatat dalam kitab Tadkiirun Naas pada halaman 162 sebagai berikut:- Dan telah berkata Habib Ahmad bin Hasan al-'Aththas radhiyaAllahu `anhu:- "Sesungguhnya bagiku sanad yang hampir (sanadan qariban) kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam pemberian tasbih (yakni untuk digunakan berzikir). Satu ketika, aku bermusafir bersama rombongan dari Hudaidah. Dalam perjalanan, kami ditimpa kesulitan yang bersangatan. Ketika aku berbaring tidur, aku melihat Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam datang kepadaku, lalu baginda mengambil tasbih yang ada bersamaku dengan tangan baginda yang mulia, mengangkatnya dan meletakkannya di tanganku seraya menyuruh membaca: "Astaghfirullaha li dzan(m)bi (Aku memohon keampunan Allah bagi dosaku)" berulang - ulang kali. Aku pun terjaga, lalu kuulang - ulangkan zikir tersebut, maka terhasillah kelepasan dari kesulitan yang menimpa.
Tasbih adalah wasilah untuk berzikir, maka hukumnya adalah mengikut hukum maksud dan tujuan penggunaannya. Lazimnya seseorang yang sedang memegang atau membawa tasbih akan teringat untuk menggunakannya berzikir kepada Allah. Maka secara tidak langsung ia menolong seseorang untuk ingat dan berzikir kepada Allah. Menurut sebahagian ulama, harus dan sah ditanggung atas makna tasbih itu, ungkapan as-subhah / as-sibhah pada hadits marfu` yang diriwayatkan Imam ad-Dailami rahimahullah dalam Musnad al-Firdaus, di mana dikatakan bahawa Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam sebagai bersabda:
"Sebaik - baik mudzakkir (yakni pengingat untuk berzikir) adalah as-subhah (tasbih)".
Bagi sesetengah pula, terutama yang tidak suka atau anti - tasbih, mereka mempunyai pandangan dan pemahaman yang berbeza, bahkan ada yang memaudhu`kan hadis tersebut. Itu hak mereka dan ini pula hak kami. Tiadalah kami menjadikan hujah diri kami menggunakan tasbih untuk berzikir, tapi kami hanya mencontohkannya daripada para guru dan masyaikh kami yang menggunakannya tanpa mempermasalahkannya.
Namun, perlu juga disebut di sini bahawa ada masa atau ketika, di mana seseorang tidak digalakkan atau makruh untuk memutar - mutar tasbihnya berzikir. Umpama ketika guru sedang memberi pelajaran atau kuliah, maka murid dan pendengar hendaklah fokus kepada pelajaran, bukan menggerak - gerakkan tasbihnya berzikir. Apatah lagi jika yang disampaikan itu ilmu - ilmu yang fardhu `ain atau fardhu kifayah atau ilmu - ilmu yang bermanfaat. Hal ini disebut juga dalam Tadzkiirun Naas dan diceritakan oleh Shahibul Anfas Habib `Umar bin `Abdur Rahman al-`Aththas rahimahullah (penyusun Ratib al-Aththas dan guru Imam al-Haddad) bahawa guru beliau Syaikh Husain bin Syaikh Abu Bakar bin Salim rahimahumullah ketika melihat anak - anaknya / murid - muridnya menggerak - gerakkan tasbih ketika belajar, beliau berkata: "Lepas / Simpan dahulu tasbih, baginya ada masa lain untuk menggunakannya." Yakni sewaktu belajar atau mendengar kuliah ilmu, tidak perlulah memutar - mutar tasbih, tumpukan dahulu perhatian kepada ilmu dahulu. Ini perlu diberikan perhatian, kerana ada yang seolah - olah "meremehkan" kuliah - kuliah pengajian dengan memutar - mutarkan tasbihnya untuk berzikir dan mengabaikan kuliah tersebut. Bahkan, ada yang memutar-mutar tasbih berzikir, sedangkan khatib sedang berkhutbah. Lainlah jika dia tidak faham bahasa si khatib kerana khatib berkhutbah dalam Bahasa Tamil dan dia tidak memahaminya. Bawalah tasbih bersama di mana sahaja kita berada, jika handphone sentiasa di bawa bersama ke mana - mana kita pergi, maka begitulah juga dengan tasbih, agar sentiasa kita diingatkan untuk berzikir dan bershalawat. Mudah-mudahan jari - jemari kita yang memegang dan menggerak - gerakkan biji - biji tasbih berzikir dan bijian - bijian serta tali temali tasbih turut menjadi saksi bagi kita. Mudah -mudahan dapat diambil faedahnya dan bermanfaat hendaknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan