Jumaat, November 26, 2021

"Painkiller" - Hadiah Khadhir

Imam Abdul Wahhab asy-Sya`raani qaddasaAllahu sirrahul `aziz menukilkan dalam kitab beliau, Thabaqaatul Kubra, juz 1, halaman 70 sekelumit mengenai seorang ulama yang zahid, wali Allah dan tokoh sufi yang terbilang. Beliau adalah Syaikh Abul Husain Ahmad bin Abil Hawaari  radhiyaAllahu ta`ala `anhu wa rahimahu. Syaikh Ahmad bin Abil Hawaari adalah seorang ulama sufi lagi wali di Damsyik. Beliau bersahabat dengan sejumlah masyaikh di antaranya Syaikh Abu Sulaiman ad-Darani dan Imam Sufyan ibnu `Uyainah radhiyaAllahu `anhuma. Beliau wafat pada tahun 230H. Imam Junaid al-Baghdadi memuji Ibnu Abil Hawaawi dan menjoloki beliau sebagai "Raihanatusy Syaam (Wangian Kota Syam)". Beliau yang terkenal zahid pernah berkata: 
"Dunia ini adalah tempat pembuangan sampah kotoran dan tempat perhimpunan anjing - anjing. Dan yang lebih rendah daripada anjing adalah orang yang bergantung dengannya serta saling berkelahi sesamanya untuk merebut dunia. Sesungguhnya anjing hanya mengambil dari dunia ini sekadar keperluannya dan berpaling dari selebihnya, sedangkan orang yang kasih akan dunia tidak meninggalkan satu apa pun daripadanya, bahkan ketika keinginan dunianya sudah pun tercapai, masih sahaja dia mencari - cari lagi tambahannya (yakni tak kenal puas)." 
Namun perlulah difaham, bahawa dunia yang dicela tersebut adalah dunia yang tidak dijadikan amal akhirat. Habuan dunia yang cuma digunakan untuk berlazat - lazat, bermewah - mewah dan bermegah - megah, yang membawa kepada kesombongan, kelalaian dan dosa. Juga dunia yang dicari tanpa mempedulikan hukum Allah, tanpa mempedulikan halal - haram. Inilah dunia yang dikeji dan dikutuk, sebagaimana dinyatakan dalam banyak hadis, antaranya hadis Imam at-Tirmidzi rahimahullah bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: " Dunia ini terkutuk dan terkutuklah segala isinya, kecuali dzikrullah (yakni termasuklah segala amal ibadah, samada sifatnya khusus maupun ibadah - ibadah umum) dan apa - apa yang mengarah kepadanya (yakni yang mengarah kepada kepatuhan dan ketaatan kepada Allah), orang alim (yang mengamalkan ilmunya) atau orang yang menuntut ilmu (dengan benar dan ikhlas)". Imam Ibnu Rajab al-Hanbali rahimahullah menjelaskan bahawa maksud dunia dan segala isinya terlaknat adalah ketika mana ia menjadi sebab bagi seseorang jauh daripada Allah kerana disibukkan olehnya sehingga lupakan Allah dan negeri Akhirat yang kekal abadi. Makanya, seseorang yang sedang melayari kehidupan duniawi ini hendaklah sentiasa berpandu dengan kompas ilmu yang bermanfaat, yang mengarahkan kepada jalan ketakwaan, makrifat dan amal ibadah. Mencari dunia yang halal untuk dijadikan wasilah bagi amal akhirat tidaklah tercela, bahkan ianya terpuji, kerana dihukum mengikut tujuan atau maksudnya untuk dijadikan amal akhirat, bertepatan dengan kaedah al-wasail hukmul maqashid. Untuk keterangan lanjut silalah tuan puan mengaji dan mengkaji kitab - kitab tashawwuf seperti Hidayatus Salikin, Bidayatul Hidayah, Ihya` Ulumiddin  dan seumpamanya.

Syaikh Ahmad bin Abil Hawaari adalah antara wali Allah yang pernah bertemu dengan Nabi Khadhir `alaihis salam. Bukan sahaja bertemu, bahkan beliau diberikan satu amalan untuk menjampi sebarang kesakitan. Imam asy-Sya'raani rahimahullah menukilkan bahawa Syaikh Ahmad bin Abil Hawaari menceritakan sebagai berikut:- 
Aku telah diajar oleh Nabi al-Khadhir `alaihis salam satu ruqyah (jampi) bagi mengubati penyakit. Baginda bersabda: "Apabila engkau ditimpa kesakitan, letakkan tanganmu di atas tempat yang sakit tersebut dan bacalah: " Dan Kami turunkan (al-Quran) itu dengan sebenar - benarnya dan al-Quran itu telah turun dengan (membawa) kebenaran." (Surah al-Isra`: 105). Maka tidaklah aku membacanya atas sesuatu kesakitan, melainkan dihilangkannya ketika itu juga.
Begitulah kisah Syaikh Ibnu Abil Hawaari sebagaimana ditulis oleh Imam asy-Sya'raani. Habib Abu Bakar Aththas al-Habsyi dalam Tadzkiirun Naas pada halaman 330 pula menceritakan bahawa al-Quthub Habib Ahmad bin Hasan al-'Aththas rahimahullah telah berpesan untuk membaca ayat di atas tadi sebanyak 70 kali untuk segala penyakit. Mudah - mudahan bermanfaat hendaknya lagi ikhlas semata - mata kerana Allah jalla wa `ala.


Rabu, November 24, 2021

Ustaz H Abubakar Ya'qub

Tokoh ini kurang mendapat perhatian, sedangkan jasa beliau terhadap perkembangan dakwah dan ilmu, boleh dikatakan banyak. Beberapa buku karangan beliau telah sekian lama dijadikan panduan masyarakat kita dalam beramal dan beragama. Walaupun, sesetengah karangan beliau tersebut perlu ditinjau kembali, terutama dalam bab hukum - hakam, untuk menilai dan memperincikan kedudukan segala aqwal yang beliau utarakan di dalamnya, kerana beliau tidak memperincikan, hanya menyatakan qawl yang beliau pegangi sahaja, tanpa mengira samada ianya muktamad atau ashah atau muqabil atau sekadar qil dalam mazhab. Ini mungkin kerana sasaran buku - buku tersebut adalah masyarakat awam yang ketika itu dahagakan ilmu - ilmu praktis untuk diamalkan, juga agar mereka yang baru belajar tidak dibosankan dengan huraian yang berjela - jela. Tokoh ini adalah almarhum Ustaz Haji Abu Bakar Ya'qub @ H. Abubakar Ja'cub. Buku - buku beliau sering kita temui di toko - toko buku, namun kita tidak pun tahu sedikit mengenai latarbelakang pengarangnya. Bahkan, bukan sahaja kita di Malaysia, di negara asal beliau juga begitu, sehingga pada 2019 diadakan Seminar Dekonstruksi Sastra: Haji Abu Bakar Ja'cub Ulama Penyair Terlupakan Dari Medan di Museum Sejarah Alquran, Sumatera Utara. Beliau dilahirkan pada 22 Julai 1915 di Medan, Sumatera. Mulai menggarap pendidikan formal di sekolah Belanda dan di Maktab Islamiyah Tapanuli. Di Maktab Islamiyah Tapanuli beliau berguru dengan ramai guru, antaranya Haji Usman Imam dan Haji Badaruddin. Selain pengajian formal tersebut, beliau ketika itu turut belajar kitab jawi secara khusus dengan Haji Usman Imam.

Pada tahun 1936, beliau berangkat ke Mekah untuk menunaikan haji. Beliau menetap setahun di sana dan sempat meneguk ilmu ulama di sana. Beliau belajar khat, nahu, fiqh dan lain - lain dengan Syaikh Mahmud Syihabuddin, belajar tajwid dan qiraat dengan Syaikh Ahmad al-Hijazi dan berjaya menguasai qiraah 3 imam iaitu Hafs, Warasy dan Qalun. Di samping itu, beliau juga belajar dengan beberapa ulama lagi seperti Syaikh Ali al-Maliki dan Syaikh Mahmud Bukhari. Beliau bukan sahaja menghadiri pengajian formal halaqah para ulama di Masjidil Haram, bahkan beliau sanggup pergi ke rumah tuan guru demi mencari ilmu.

Ustaz H Abubakar terkenal sebagai seorang yang rajin, cerdas dan pintar, sebelum berangkat ke Mekah pun beliau sudah mula diberi tanggungjawab untuk mengajar. Antara tahun 1927 - 1930, beliau sudah menjadi guru pembantu untuk mengajar di Langgar Syaikh Moehammad Yacoeb, Sungai Rengas, Medan dan antara tahun 1931 - 1936, beliau sudah mula mengajar di Maktab Islamiyah Tapanuli pada sebelah petang. Sekembalinya beliau dari Mekah, beliau terus mengisi program - program ilmu di berbagai majlis pengajian. Pada 6 April, 1946, beliau dilantik oleh Madjlis Sjar`ijah NRI (baca: Majlis Syar`iyyah Negara Republik Indonesia) menjadi khatib dan imam di Masjid Raya Medan. Pada 29 Januari, 1947, Ustaz Haji Abubakar bertugas di Jabatan Agama NRI Daerah Kota Medan. Selain mengajar, beliau juga aktif menulis dan beroganisasi. Karya - karya tulis beliau terlalu banyak untuk disenaraikan di sini termasuklah karya - karya beliau yang berbentuk syair. Beliau mula menulis sekitar tahun 1950 dengan karya sulongnya berjodol Kursus Kilat Beladjar Sembahjang dan buku ini telah mendapat sambutan masyarakat sehingga diulangcetak sebanyak 18 kali.

Di antara buku beliau yang turut masyhur dan sampai sekarang masih senang dicari dan beredar di pasaran adalah buku yang berjodol Jenis - Jenis Sembahyang Sunat. Buku ini amat membantu faqir di permulaan perjalanan dahulu, dan faqir sesungguhnya percaya ianya juga banyak membantu mereka - mereka yang hendak mempelajari amaliyah shalat, samada shalat fardhu, sunnat, khauf, qashar - jamak dan jenazah. Dan sebagaimana yang dinyatakan tadi, beberapa aspek berkaitan hukum - hakam yang terkandung di dalam buku ini perlu kepada perincian kerana terdapat pendapat yang dinyatakan tidak mencerminkan qawl yang muktamad atau kuat dalam mazhab kita. Buku ini turut memuatkan beberapa shalat sunnat khusus untuk masa - masa tertentu, yang menurut pendapat jumhur dan kuat dalam mazhab tidak ada, seperti Sembahyang Nisfu Syaban dan Sembahyang Asyura. Ini sekadar contoh beberapa aspek yang perlu diperincikan ketentuan hukumnya, bukan untuk diubah - ubah apa yang telah ditulis atau disalah - salahkan, kerana masih wujud ikhtilaf padanya walaupun lemah dan ada perbahasan ulama mengenainya, hanya untuk diperjelaskan, agar tahap keilmuan dapat dipertingkatkan dengan kita mengetahui status atau kedudukan satu - satu pendapat atau qawl tersebut. Sesungguhnya orang yang bermazhab itu seharusnya memiliki pandangan yang luas dan hati yang lapang ketika melihat berbagai pendapat dan aqwal para ulama muktabar. Orang yang bermazhab itu tidak mudah untuk memenangkan pendapat sendiri dengan menyalahkan pendapat yang lain. Orang yang bermazhab seharusnya jangan sekali - kali fanatik seperti orang yang anti mazhab yang merasakan bahawa kebenaran yang pasti, mutlak dan satu  - satunya adalah pendapat yang dipegangnya sahaja. Inilah ketentuan dan panduan, bila kita berinteraksi dengan perkara - perkara ikhtilaf yang dimuktabarkan dalam bab fiqh, dihadapi dengan toleransi dan tasamuh bukan dengan kejian dan caci maki. Namun, tetap tegas atas amanah ilmu, memuktamadkan yang muktamad dan mendhaifkan yang dhaif, sesuai dengan manhaj dan kaedah yang digunapakai dalam mazhab.

Ustaz Haji Abubakar rahimahullah meninggal dunia pada 14 Oktober, 1982 dan dimakamkan di Tanah Wakaf Perkuburan Mandailing, Medan. Mudah -mudahan Allah mengampuni segala dosa kesilapan beliau dan menempatkan beliau bersama dengan shalihin dan mukminin di Jannatu `Adnin ....Allahumma aamiin.... al-Fatihah.

Isnin, November 22, 2021

Dzikrul Jalaalah 2

Habib Abu Bakar Gresik rahimahullah, ulama dan waliyullah yang disebut sebagai salah satu pakunya Tanah Jawa, sering menganjur dan mengijazah dua amalan zikir, pertama Shalawat Qamaril Wujud dan kedua, Dzikrul Jalaalah. Begitulah pula dikhabarkan bahawa Quthubul Habib Abdul Qadir bin Ahmad Bilfaqih dan anakanda beliau Habib Abdullah bin Abdul Qadir Bilfaqih, juga kerap mengijazahkan dan menyebar kedua amalan ini. Para Habaib lain juga begitu, bahkan pertama kali bersua dengan almarhum Habib Syaikh al-Jufri, Dzikrul Jalaalah inilah yang pertama-tama beliau ijazahkan. Dzikirul Jalaalah, begitulah antara nama yang diberi kepada rangkaian amalan yang dimulai dengan kalimah tauhid ini, adalah satu amalan yang diharapkan dengannya seseorang dipelihara imannya dan diselamatkan dia daripada godaan syaitan. Faqir belum mempunyai maklumat akan asal usul amalan zikir ini. Sekadar yang faqir tahu, ada satu amalan zikir yang hampir sama dengan Dzikrul Jalaalah disebut oleh ulama bersandarkan kepada kisah mimpi seorang qadhi di Baghdad yang bernama Syaikh Abdullah al-Qadhi rahimahullah.

Di antara ulama yang memuatkan kisah mimpi Syaikh Abdullah al-Qadhi al-Baghdadi adalah Syaikh Abu Abdullah Sayyidi Muhammad al-Munla at-Tunisi al-Hanafi dalam Syarah ash-Shalaah ash-Shughra pada halaman 89 -90. Sidi Muhammad al-Munla menceritakan kisah yang dinukilkan daripada Syaikh Abu Abdullah Muhammad al-'Iyyaasyi yang memperolehinya daripada tulisan Syaikh Abul Hasan Sidi Ali al-Bathari yang memperolehinya dalam beberapa catatan bahawa al-Qadhi Abdullah yang menetap di Baghdad berkata:- Aku telah bermimpikan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam di mana baginda berkeadaan kulitnya kekuningan (yakni mungkin maksudnya pucat atau suram atau tidak ceria kerana bersedih). Lalu aku bertanya kepada baginda: "Kenapa aku melihat tuanku begini?" Baginda menjawab: "Telah mati daripada umatku seratus ribu tujuh ratus (100700) orang dan hanya 2 orang yang matinya atas iman (yakni mudah-mudahan maksudnya iman yang sempurna), manakala bakinya mati atas selain keimanan (yakni mudah-mudahan maksudnya keimanan yang tidak sempurna dan bukannya tanpa keimanan). Maka aku bertanya: "Apakah yang dapat dilakukan para pendosa daripada umatmu sehingga mereka dapat mati atas iman?" Baginda menyatakan: "Ambil daripadaku akan lembaran ini, sesiapa yang membacanya dan menukilkannya dari satu negeri ke satu negeri, dan dari satu rumah ke satu rumah, dia akan mati atas iman. Sesiapa yang mendengarnya, namun tidak mahu menukilkannya, maka aku berlepas diri daripadanya (yakni mungkin yang maksud baginda adalah sebagai satu ancaman bagi orang yang memandang remeh kepada ajaran dan kalimah tawhid, maka sesiapa yang berlepas diri daripada kalimah tawhid, maka Junjungan akan berlepas diri daripadanya, Allahu a`lam). Ketika aku terjaga, aku mendapati ada satu lembaran yang tertulis padanya: ( La ilaha illa Allah, al-Mawjuudu fi kulli zaman. La ilaha illa Allah, al-Ma'buudu fi kulli makaan. La ilaha illa Allah, al-Ma'ruufu bil ihsaan. La ilaha illa Allah, kulla yawmin Huwa fi syaan. La ilaha illah Allah, nas-alukal imaan wal amaan, wa na`udzubika min zawaali ni'matiKa, wa min syarrisy syaithaanir rajiim. Ya Qadiimal Ihsaan, Ya Ghafuur, Ya Ghaffar, Ya Rahmaan, Ya Rahiim, irhamnaa birahmatiKa, Ya Arhamar Raahimiin, Ya Rabbal `Aalamiin. ShallaAllahu `ala Sayyidina Muhammad wa aalihi wa shahbihi wa sallama tasliima.)"

Selanjutnya dinyatakan juga dalam kitab tersebut bahawa Syaikh al-Mallali juga ada menyebutkan kisah mimpi ini dalam salah satu kitab beliau dengan sedikit perbezaan lafaz. Setakat carian faqir yang dhaif, kisah mimpi tersebut ada dicatat oleh Syaikh Abu Abdillah Muhammad bin Ibrahim bin Umar bin Ali al-Mallali at-Tilmisani rahimahullah, murid Imam Muhammad bin Yusuf as-Sanusi rahimahullah, dalam kitab beliau "al-Mawaahibul Qudsiyyah fil Manaaqibi as-Sanuusiyyah". Beliau menceritakan kisah Syaikh Abdullah yang menjadi qadhi di Baghdad yang bermimpikan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Dalam mimpi tersebut, beliau melihat Junjungan dalam keadaan bersedih, lalu ditanyakanlah baginda mengenai kesedihan baginda tersebut. Junjungan menyatakan bahawa baginda bersedih kerana seratus ribu tujuh puluh (100070) orang dari umatnya yang mati, hanya 2 orang sahaja yang membawa iman sedangkan yang lain tanpa iman (mudah - mudahan sahaja yang dimaksudkan adalah tanpa iman yang sempurna dan bukannya langsung tidak beriman). Dipendekkan cerita, Syaikh Abdullah al-Qadhi memohon baginda memberikan kepadanya satu amalan yang boleh menjadi sebab mati dalam keadaan membawa iman. Maka sebagaimana yang dinyatakan terdahulu, baginda telah memberikan dalam mimpi tersebut akan satu lembaran yang mengandungi zikir yang hampir serupa lafaznya dengan Dzikrul Jalaalah tersebut.

Inilah sekadar yang faqir sempat jumpa dalam karangan ulama. Mudah - mudahan ada manfaatnya. Para ulama kita telah memberi banyak panduan, maka terpulanglah kepada masing - masing untuk berikhtiar dengan sebaiknya agar mati nanti membawa iman yang berkualiti lagi sempurna. Jalan sudah terbentang di hadapan, silalah tuan - tuan mulakan perjalanan. Yang bertangguh biasanya akan ketinggalan. Namun semuanya atas kehendak Dzat yang wajib kita berhusnudz dzan. Ya Allahu biha, Ya Allahu biha, Ya Allahu bi husnil khaatimah wal qabuul.
Klip Dzikrul Jalaalah 

Selasa, November 16, 2021

50 Kali / Kali 50 Shalawat

Membaca shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam mempunyai ganjaran yang besar lagi banyak. Imam al-Hafiz as-Sakhawi rahimahullah dalam karangan beliau al-Qawlul Badi` menyenaraikan dalam Bab Kedua, 52 ganjaran untuk orang yang bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ganjaran yang ke-52 yang beliau sebut adalah orang yang bershalawat ke atas Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallami akan dapat bersalaman dengan baginda. Pada halaman 282 beliau menukilkan sebagai berikut:- Ibnu Basykuwal meriwayatkan daripada Abul Mutharrif `Abdur Rahman bin Isa yang menyatakan bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Sesiapa yang bershalawat ke atasku pada setiap hari 50 kali, aku akan bersalam dengannya pada Hari Kiamat." Abul Faraj `Abdus menyebut satu riwayat bahawa Abul Mutharrif telah ditanya mengenai kaifiat membaca shalawat tersebut. Beliau menjawab: "Jika diucapkan: Allahumma shalli `ala Muhammad khamsiina marrah (Ya Allah, limpahkan shalawat ke atas Muhammad sebanyak 50 kali), in sya Allah sudah memadai, namun jika diulang (yakni sehingga cukup bilangannya) maka lebih baik."

Faqir kurang periksa mengenai status riwayat Imam Ibnu Basykuwal tersebut, samada shahih atau dhaif atau apa. Imam Ibnu Basykuwal rahimahullah atau nama penuhnya Khalaf bin `Abdul Malik bin Mas`ud bin Basykuwal al-Khazraji al-Anshari al-Qurthubi al-Andalusi. Beliau dilahirkan di Cordova (Qurthubah) pada tahun 494H / 1101M dan wafat pada tahun 578H / 1183. Seorang ulama, qadhi, ahli hadis dan sejarawan Andalus (Sepanyol). Hadis ini beliau riwayatkan dalam kitabnya al-Qurbah ila Rabbil `Aalamiin bish shalaati `ala Muhammad Sayyidin Mursalin, pada halaman 91 beliau meriwayatkan sebagai berikut:- 

Telah mengkhabarkan kepada kami Abul Hasan `Abdur Rahman bin `Abdullah al-`Adl daripada Abu Muhammad Qasim bin Muhammad  yang menyatakan Abul Faraj `Abdus bin Muhammad telah memberitahu bahawa Abul Mutharrif `Abdur Rahman bin `Isa, iaitu Ibnu Midraj berkata: "Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: " Sesiapa yang bershalawat ke atasku pada setiap hari 50 kali, aku akan bersalam dengannya pada Hari Kiamat." Abul Faraj berkata: "Aku bertanya kepadanya, bagaimana kaifiatnya." Lalu beliau berkata: "Jika diucapkan shalawat ke atas baginda sebagai: "Allahumma shalli `ala Muhammad wa azwajihi wa dzurriyyatihi", lalu dibanyakkan mengucapnya, itu adalah baik, in sya Allah. Jika diucap: " Allahumma shalli `ala Muhammad khamsiina marrah" (Ya Allah, limpahkan shalawat ke atas Muhammad sebanyak 50 kali), diberi juga ganjarannya ( yakni memadai untuk mendapat ganjaran tersebut ), in sya Allah."

Begitulah riwayatnya dalam al-Qurbah dan Imam as-Sakhawi telah menukilkannya tanpa sebarang komen. Ini petanda bahawa hadis tersebut bukanlah hadis palsu atau batil tanpa sebarang dasar. Selanjutnya, menarik untuk diberi perhatian akan dua kaifiat membaca shalawat tersebut. Pertama, dibacakan lafaz shalawat selengkapnya menurut ketentuan bilangannya. Kedua, memadai dengan menjadikannya shalawat dengan shighah jaami` (lafaz yang menghimpun) iaitu dengan hanya menyebut jumlah bilangan atau gandaan yang dikehendaki di hujung shalawat yang dibaca sekali. Ulama telah menyebut mengenai zikir jaami` ini dalam karangan mereka dan pada bab tersebut selain hadis shighah tasbih jaami ....(SubhanaAllahi wa bi hamdihi `adada khalqihi wa ridha nafsihi wa zinata `arsyihi wa midada kalimatih)... yang masyhur, kadang - kadang hadis shalawat ini juga ada disentuh sebagai menguatkan hujah harusnya zikir jaami`. Antara berbuat sedemikian adalah Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, Imam Ibnu `Illan ash-Shiddiqi dalam Futuhatur Rabbaniyyah, Syaikh Sulaiman al-Jamal dalam Hasyiahnya dan Mufti Hadhramaut, Habib `Abdur Rahman al-Masyhur mengutipnya dalam Bughyatul Mustarsyidin. Ini menguatkan lagi bahawa hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Basykuwal ini mempunyai nilai di sisi para ulama kita. Mengenai zikir atau shalawat dengan lafaz - lafaz jaami` telah masyhur di sisi ulama kita. Contohnya, Imam al-Haddad rahimahullah juga ada mengajar dan mengamalkan berbagai kaifiat bacaan shalawat jaami`, antaranya dengan ungkapan: "Allahumma shalli (wa sallim) `ala Sayyidina Muhammad wa `ala aali Sayyidina Muhammad, `adada kulli dzarrah, alfa marrah", dengan harapan satu shalawat tersebut dinilai ganjarannya mengikut jumlah bilangan segala zarah dan didarab lagi dengan 1000 kali ganda. Allahu ... Allah, namun semuanya bergantung dengan ihsan dan kabul Allah semata. Allah jualah yang berkuasa untuk memberikan apa jua balasan mengikut kehendak dan kemahuanNya hatta tanpa hitungan dan batas pada jumlah dan hitungan waktu.



Selanjutnya, ganjaran nanti di Mahsyar dapat bersalam - salaman dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bagi orang yang banyak bershalawat kerap disebut dan diceritakan oleh para guru kita. Seseorang yang dapat memandang wajah Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa salam di Hari Kiamat, apatah lagi dapat bersalaman pula dengan baginda, pasti akan mendapat bahagian daripada syafaat baginda. Sementelahan, atas sifat ihsannya, Baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallahi telah memperuntukkan syafaat baginda bagi pelaku dosa besar daripada kalangan umatnya. Oleh itu, wahai para pendosa, janganlah kamu berputus asa untuk memperolehi syafaat daripada Junjungan. Namun, jangan pula kamu kira syafaat baginda itu hanya satu bentuk sahaja iaitu mutlak memasukkan kamu terus ke syurga. Ingat rupa bentuk syafaat Junjungan itu berbagai. Maka jangan pula berani atau memandang enteng berbuat dosa kerana berangan - angan dengan syafaat baginda, nanti mungkin syafaat yang bakal diberi hanya untuk meringankan azab neraka atau memendekkan tempoh di sana, na`udzubillah min `azabil qabri wa minan naar. Apa - apa pun, semuanya dengan izin dan kehendak Allah semata dan Allah Maha Bijaksana, Maha Adil, Maha Membalas, Maha Mengetahui dan Dia berbuat sekehendakNya tanpa soal. Mudah - mudahan kita mendapat syafaat istimewa daripada Baginda Nabi, syafaat memasukkan kita ke syurga tanpa hisab seperti syafaat yang didapatkan oleh Sayyidina Abu Muhsin `Ukasyah bin Mihsan radhiyaAllahu `anhu atau masuk syurga tanpa didahului merasa pedihnya azab. Moga Allah perkenankan. Persiapkan segala bekalan yang baik - baik untuk menghadapi hari - hari sukar di Padang Mahsyar, bershalawatlah, samada dengan cara rajin atau cara malas, selain kuantiti, kualiti pun hendaklah diambilkira. Hidayah dan taufiqNya bagi kita sentiasa.... Allahumma aamiin.

Klip Ceramah Guru Ijai

Selasa, November 09, 2021

Hidayatus Salikin - Ustaz Fahmi

Hidayatus Salikin adalah sebuah karya agung yang disadur oleh Syaikh Abdus Shamad al-Falimbani daripada pengajaran guru - guru beliau dan beberapa kitab tashawwuf terutamanya dari Bidayatul Hidayah bagi Imam Hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali radhiyaAllahu `anhu. Kitab ini telah disempurnakan karangannya oleh Syaikh Abdus Shamad pada Selasa, 5 Muharram 1192H, di Kota Makkah al-Musyarrafah. Kitab ini juga merupakan kitab jawi pertama ditashih dan dicetak oleh Tok Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahullah. Sejak itu, kitab ini semakin tersebar dan dijadikan teks pengajian di pondok - pondok, madrasah, masjid dan surau di tempat kita dan di rantau - rantau dunia Melayu. Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahullah dalam bait - bait yang beliau tulis ketika mentashihkannya memuji kitab ini dengan katanya:-

Hai saudara yang menuntuti makrifah * Dan kelebihan yang tinggi di akhirat;

Tuntut olehmu kan ilmu tasawwuf kerna * Ilmunya boleh mengangkat darjat;

Sekalian ilmu lain itu jasad * Ia nyawanya yang berikan manfaat;

Serta akan ilmunya kamu itu amal * Maka jikalau tiada rugi amat;

Baca kamu akan Hidayatus Salikin * Yang melepas akan kamu dari sesat;

Kitab amat banyak padanya faedah * Serta ibaratkan nyata lagi dekat;

Ya Rabbana, bagi muallifnya beri * Rahmat bagi kami berikan berkat.

Maka ramailah daripada tuan - tuan guru kita rahimahumullahu ta`ala jami`an menjadikan kitab ini sebagai kitab wirid mereka, yakni selepas dibaca dan diajar, maka diulang lagi sehingga lumat. Sempena memperingati pemergian Tuan Guru Syaikh Abu Ali al-Banjari Ustaz Fahmi Zamzam rahimahullah, maka antara khidmat dan jasa besar almarhum Syaikh Abu Ali al-Banjari Ahmad Fahmi Zamzam adalah memberikan nafas baru kepada kitab klasik ini, sehingga menjadikannya mudah untuk dibaca dan dikaji oleh generasi baru. Ustaz Fahmi Zamzam rahimahullah kerap kali menghimbau agar masyarakat mengaji kitab ini dan mengamalkan isi kandungannya. Beliau juga pernah menyatakan bahawa tidak sedikit orang yang mengaji dan mengamalkan isi kitab Hidayatus Salikin, menjadi orang shalih bahkan menjadi wali Allah. Mudah - mudahan Allah memberikan setinggi - tinggi ganjaran balasan berupa rahmat berkekalan ke atas beliau dan menempatkan beliau bersama dengan kekasihNya, Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam..... al-Fatihah.

Klip almarhum Ustaz Fahmi semoga rahmat Allah berkekalan atasnya, berkat Syaikh Samman, berkat Syaikh Arsyad, berkat Syaikh Shamad, dengan jah Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam.

Jumaat, November 05, 2021

Barzanji - Habib `Alwi

Habib `Alwi bin Thahir al-Haddad rahimahullah ulama yang terkenal dengan keilmuannya. Beliau antara ulama yang terkenal di peringkat antarabangsa kerana sepanjang hayat beliau telah merantau ke banyak tempat hatta di Afrika untuk menyebarkan ilmu dan dakwah. Beliau pernah dilantik menjadi mufti negeri oleh Sultan Johor sebanyak dua kali sebagai mufti ketiga dan keenam bagi Negeri Johor. Mudah - mudahan Allah mencucurkan rahmat yang tiada hentinya ke atas beliau serta menempatkan beliau bersama shalihin.

Selain giat berdakwah dan mengajar, Habib `Alwi bin Thahir rahimahullah turut menyempatkan masa untuk menulis dan mengarang. Bahkan beliau memiliki karya yang banyak dan fatwa - fatwa beliau pun ada yang sudah dibukukan. Antara yang menghimpun fatwa - fatwa beliau adalah pihak Jabatan Agama Islam Johor yang diterbitkan dalam 2 jilid dengan jodol "Fatwa - Fatwa Mufti Kerajaan Johor. Dalam himpunan fatwa tersebut, beliau rahimahullah ada menyentuh sedikit sebanyak mengenai Mawlid al-Barzanji dan faqir kongsikan di sini kerana masih ada yang melecehkan karangan Sidi Ja'far al-Barzanji rahimahullah, Mufti Madinah al-Munawwarah, guru dan khatib di Masjid Nabawi. Mawlid beliau telah menempa nama yang harum semerbak dan masyhur di seantero dunia, ulama dan awam membacanya untuk mencari keberkatan dan kecintaan kepada Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam serta menghayati ketinggian martabat, sirah kehidupan dan perjuangan baginda. Namun sangat dikesali akan sikap segelintir dan sesetengah "ilmuwan" yang gagal atau pura - pura gagal untuk memahami makna dan ibarat kitab Mawlid al-Barzanji tersebut. Ada yang katanya "alim" namun awal ibarat kalam pengarangnya yang menyebut:- "Abtadi-ul imla`a bismidz Dzatil `Aliyyah", pun sudah tidak difahami, bahkan disalahfahami, entahlah samada memang betul - betul tak faham atau sengaja buat - buat tak faham, sebagai satu pelecehan atau penghinaan terhadap pengarang dan pembaca Mawlid tersebut. Ada lagi yang katanya "professor", tapi gagal faham makna ibarat:- " ....an-Nuril mawshufi bit taqaddumi wal awwaliyyah", sehingga tergamak menuduh Imam Barzanji sesat kerana mengatakan Nur Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam itu qadim seperti Allah ta`ala, yakni wujud tanpa ada permulaan. Allahu ... Allah, bila masanya Imam Barzanji kata Nur Muhammad itu qadim, kamu yang salahfaham dan kesalahfahaman mu itu yang sesat dan menyesatkan. 

Dalam jilid ke-2 himpunan fatwa tersebut, pada halaman 251, Habib Alwi bin Thahir rahimahullah menyatakan, antara lain, sebagai berikut:-
 "....Dan berkenaan Mawlid al-Barzanji, bukanlah wajib dan bukan sunnat. Tetapi wajib atas tiap - tiap muslim mengetahui sesuatu daripada tarikh perjalanan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, samada daripada kitab Mawlid al-Barzanji atau kitab - kitab lainnya. Dan Mawlid Barzanji itu dimustahabkan (disukai) kerana padanya menyebutkan sirah dan perjalanan dan sifat - sifat Nabi kita shallaAllahu `alaihi wa sallam.
Maka tidaklah sia - sia sesiapa yang membaca Mawlid al-Barzanji, asalkan niatnya betul dan murni. Mudah-mudahan dengannya kita diberi kefahaman terhadap sirah dan ketinggian martabat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam serta dianugerahkan ma'rifatur rasul dan peningkatan mahabbatur rasul, mencintai baginda dengan sebenar - benarnya, sehingga dapat bersama, berhimpun dan mendampingi baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam di syurga tertinggi .... Allahumma aaamiin.

PM ke-8 Baca Rawi I

Isnin, November 01, 2021

Ratibul Haddad - Tokku Melaka

Alam Melayu tidak pernah kurang daripada tokoh - tokoh ulama, awliya` dan shalihin, namun ramai yang tidak terkenal dan dikenali. Yang tahu, tahu; Yang mencari tahu, akan mendapat tahu; Yang tak mahu tahu, akan terus tak tahu. Kemasyhuran di sisi manusia, bukan matlamat mereka, hanya redha Allah yang menjadi dambaan mereka. Tuan Sayyid Embun atau lebih terkenal dengan gelaran Tokku Melaka rahimahullah merupakan ulama titihan daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Beliau adalah Sayyid Ahmad bin Muhammad @ Tokku Tuan Pahang bin Husain bin Musthafa bin Syaikh bin Musthafa bin `Ali Zainal `Abidin bin `Abdullah bin Syaikh bin `Abdullah al-`Aydrus ( `Aydrus al-Akbar) bin Syaikh Abu Bakar as-Sakran dan Syaikh Abu Bakar as-Sakran adalah wali besar yang tiada asing nasabnya terus bersambung kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Tokku Paloh atau nama sebenarnya Sayyid `Abdul Rahman al-`Aydrus rahimahullah sudah cukup tersohor, bahkan jika disebut sahaja Terengganu, maka nama ulama yang pertama muncul di kepala kita adalah beliau. Ayah mertua beliau adalah Tokku Melaka ini. Tokku Melaka juga meninggalkan beberapa karya tulis, antaranya:- al-Fawaaid, Hidayatul `Awaam, Targhibul `Ibaad, Targhibur Rijaal fi kasbil halaal dan Ta'riful Khallan fi Tajwidil Quran. Tokku Melaka tutup usia pada 30 Shafar 1315H dan dimakamkan di Chabang Tiga, Kuala Terengganu. Mudahan - mudahan rahmat Allah terus mengalir kepada beliau sehingga ke Hari Pembalasan..... al-Fatihah.

Tokku Melaka rahimahullah memiliki dua karya yang menyentuh Ratibul Haddad. Karangan khusus beliau mengenai ratib tersebut dinamakan Targhibul `Ibaad fi qiraati Ratib al-Haddad yang masih berbentuk manuskrip tulisan tangan dalam 104 halaman. Isi kandungannya berkisar tentang pengertian, kelebihan dan cara mengamalkan Ratibul Haddad agar para pembaca ratib tersebut tahu sedikit sebanyak mengenai kelebihan dan erti segala zikir yang terkandung dalam ratib tersebut. Kitab ini disempurnakan karangannya pada 7 DzulHijjah, 1301H. Sebelumnya, Tokku Melaka telah memuatkan bacaan Ratibul Haddad dan Wirdul Lathif di akhir kitab beliau, al-Fawaaid tarjamah Kitab ash-Shalah wal `Awaaid yang selesai penulisannya pada 27 Shafar 1260H.

Di dalam karangan beliau yang berjodol al-Fawaid tersebut, beliau mengakhirinya dengan memuatkan bacaan lengkap Ratibul Haddad dan Wirdul Lathif. Pada halaman 55 kitab tersebut, beliau menyatakan, antara lain, sebagai berikut:- 
....Terlintas pula atas hati faqir bahawa hendak disuratkan kemudian daripada ini akan Ratib al-Haddad nafa`anaAllahu bihi serta wiridnya yang kecil kemudian daripadanya kerana faqir mendengar adalah padanya kelebihan yang amat besar lagi amat banyak di dalam dunia dan akhirat, lagi memberi manfaat bagi orang yang mengekalkan atas keduanya itu di dalam dunia dan akhirat. (Seperti barang yang) telah berkata oleh yang empunya ratib ini, iaitu habib yang `alim lagi `allaamah lagi quthub yang besar, iaitu Habib `Abdullah bin `Alawi bin Muhammad al-Haddad nafa`aAllahu bihil muslimin, katanya: "Barangsiapa yang mengekalkan ia atas membaca ratib kami ini, nescaya dikurniakan dia mati atas sebaik - baik mati." Dan lagi dipeliharakan dia daripada pencuri dan terbakar dan tenggelam di laut. Dan adalah membaca akan dia serta berjemaah itu terlebih afdhal daripada seorang. (Maka apa - apa) faedah yang terlebih daripada mati atas iman dan terpelihara daripada pencuri dan terbakar dan karam dan lagi banyaklah segala faedahnya, setengah daripadanya dipeliharakan negeri yang dibawa ratib itu daripada kejahatan seteru, dan setengah, dipelihara akan orang yang membawa ratib daripada sengat oleh ular dan kala dan sebagainya, dan jika disengat akan dia tiada memberi mudarat ia akan dia seperti barang yang mengkhabarkan yang demikian itu oleh segala orang yang mengamalkan dia, daripada segala orang yang musafir di laut dan di darat. Lainnya daripada segala faedahnya, maka tiadalah faqir memanjangkan dia di sini. Maka barangsiapa yang hendak mengetahui akan sekalian yang demikian itu, maka hendaklah dilihanya pada kitab manaqibnya dan pada syarah ratib itu. Maka seyogianya janganlah ditinggalnya orang yang hendak kemenangan di dalam dunia dan akhirat. (Dan adalah ratib ini) dibaca kemudian daripada sembahyang Isya` , tiap - tiap malam dan tiap - tiap bulan melainkan pada bulan puasa, maka iaitu dibaca kemudian daripada sembahyang Maghrib. Dan jika dibaca pula kemudian daripada sembahyang Subuh, iaitu terlebih baik dan terlebih sempurna daripadanya.....
Semoga bermanfaat dan dapat istiqamah dalam beramal.