Habib Abu Bakar Gresik rahimahullah, ulama dan waliyullah yang disebut sebagai salah satu pakunya Tanah Jawa, sering menganjur dan mengijazah dua amalan zikir, pertama Shalawat Qamaril Wujud dan kedua, Dzikrul Jalaalah. Begitulah pula dikhabarkan bahawa Quthubul Habib Abdul Qadir bin Ahmad Bilfaqih dan anakanda beliau Habib Abdullah bin Abdul Qadir Bilfaqih, juga kerap mengijazahkan dan menyebar kedua amalan ini. Para Habaib lain juga begitu, bahkan pertama kali bersua dengan almarhum Habib Syaikh al-Jufri, Dzikrul Jalaalah inilah yang pertama-tama beliau ijazahkan. Dzikirul Jalaalah, begitulah antara nama yang diberi kepada rangkaian amalan yang dimulai dengan kalimah tauhid ini, adalah satu amalan yang diharapkan dengannya seseorang dipelihara imannya dan diselamatkan dia daripada godaan syaitan. Faqir belum mempunyai maklumat akan asal usul amalan zikir ini. Sekadar yang faqir tahu, ada satu amalan zikir yang hampir sama dengan Dzikrul Jalaalah disebut oleh ulama bersandarkan kepada kisah mimpi seorang qadhi di Baghdad yang bernama Syaikh Abdullah al-Qadhi rahimahullah.
Selanjutnya dinyatakan juga dalam kitab tersebut bahawa Syaikh al-Mallali juga ada menyebutkan kisah mimpi ini dalam salah satu kitab beliau dengan sedikit perbezaan lafaz. Setakat carian faqir yang dhaif, kisah mimpi tersebut ada dicatat oleh Syaikh Abu Abdillah Muhammad bin Ibrahim bin Umar bin Ali al-Mallali at-Tilmisani rahimahullah, murid Imam Muhammad bin Yusuf as-Sanusi rahimahullah, dalam kitab beliau "al-Mawaahibul Qudsiyyah fil Manaaqibi as-Sanuusiyyah". Beliau menceritakan kisah Syaikh Abdullah yang menjadi qadhi di Baghdad yang bermimpikan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Dalam mimpi tersebut, beliau melihat Junjungan dalam keadaan bersedih, lalu ditanyakanlah baginda mengenai kesedihan baginda tersebut. Junjungan menyatakan bahawa baginda bersedih kerana seratus ribu tujuh puluh (100070) orang dari umatnya yang mati, hanya 2 orang sahaja yang membawa iman sedangkan yang lain tanpa iman (mudah - mudahan sahaja yang dimaksudkan adalah tanpa iman yang sempurna dan bukannya langsung tidak beriman). Dipendekkan cerita, Syaikh Abdullah al-Qadhi memohon baginda memberikan kepadanya satu amalan yang boleh menjadi sebab mati dalam keadaan membawa iman. Maka sebagaimana yang dinyatakan terdahulu, baginda telah memberikan dalam mimpi tersebut akan satu lembaran yang mengandungi zikir yang hampir serupa lafaznya dengan Dzikrul Jalaalah tersebut.
Inilah sekadar yang faqir sempat jumpa dalam karangan ulama. Mudah - mudahan ada manfaatnya. Para ulama kita telah memberi banyak panduan, maka terpulanglah kepada masing - masing untuk berikhtiar dengan sebaiknya agar mati nanti membawa iman yang berkualiti lagi sempurna. Jalan sudah terbentang di hadapan, silalah tuan - tuan mulakan perjalanan. Yang bertangguh biasanya akan ketinggalan. Namun semuanya atas kehendak Dzat yang wajib kita berhusnudz dzan. Ya Allahu biha, Ya Allahu biha, Ya Allahu bi husnil khaatimah wal qabuul.
Klip Dzikrul Jalaalah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan