Selasa, Jun 07, 2022

Abu Thalib Mukmin - TG Hj Hadi ?

Sebagaimana yang pernah faqir nyatakan terdahulu, ulama kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah berbeza pendapat mengenai keislaman Abu Thalib. Jumhur ulama kita, termasuk kalangan habaib, berpendapat bahawa beliau tidak menerima Islam sehingga menghembuskan nafasnya. Mereka tidak menafikan kecintaan Abu Thalib dan pengorbanan yang telah beliau berikan kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, yang menjadi masalah, antaranya, adalah menjelang kewafatannya, Abu Thalib telah menolak ajakan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam untuk bersyahadah. Dari kerana itu, mereka menyatakan bahawa Abu Thalib meninggal dalam keadaan tidak bersyahadah atau tidak menerima Islam. Namun, segelintir lagi ulama kita, seperti Sidi Ahmad Zaini Dahlan rahimahullah berpendapat sebaliknya. Sidi Mufti rahimahullah mempertahankan pandangan beliau dengan keras sehingga menulis satu risalah khusus untuk mendatangkan dalil - dalil bagi pandangan tersebut. Bahkan dikhabarkan pernah berlaku polemik antara beliau dengan Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki rahimahullah, seorang ulama besar bermazhab Syafie juga, pengarang antaranya kitab ar-Riyaadhul Badii`ah. Di antara punca meruncingnya polemik antara mereka adalah ketika amir (gabenor) Mekah hendak membina kubah atas kubur Abu Thalib, Sidi Ahmad Zaini Dahlan menyokong pembinaan tersebut kerana menurut beliau Abu Thalib adalah seorang mukmin, sebaliknya Syaikh Muhammad Hasbullah al-Makki menentangnya kerana beliau berpegang bahawa Abu Thalib bukanlah seorang Islam. Mudah - mudahan Allah mengampuni kesalahan dan kesilapan para ulama kita serta menempatkan mereka bersama Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam di Jannatul Firdaus. Kisah polemik antara kedua beliau ini disebut secara ringkas, antaranya, dalam karya sejarawan Arab Saudi, almarhum Ustaz Husain Muhammad Bafaqih, yang berjodol Dzaakiratur Riwaaq pada halaman 226. 

Maka, ketahuilah bahawa masalah Islam atau tidaknya Abu Thalib, bukanlah perkara asas dalam agama. Kita tidak akan ditanya mengenai keimanan Abu Thalib, keimanan kita sendiri yang akan ditanya. Di situ juga ada khilaf perbezaan pendapat di kalangan para ulama kita yang muktabar. Terpulanglah kepada masing - masing untuk mengikut pandangan tersebut, samada pendapat jumhur atau sebaliknya. Akhirul kalam, sekadar berkongsi klip video TG Haji Hadi hafizahullah mengenai perkara ini dan nampaknya dalam klip ini beliau cenderung dengan pendapat minoriti, bahawa Abu Thalib adalah seorang mukmin yang menerima kerasulan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Dan TG Haji Hadi berlaku amanah dalam ilmu dengan mendatangkan pendapat jumhur terlebih dahulu walaupun beliau tidak sependapat. Walaupun ini pendapat segelintir ulama kita, namun tetap ianya adalah pendapat ulama Ahlis Sunnah wa Jama`ah juga, maka janganlah dengan sebab ini dituduh pula mereka - mereka ini sebagai Syiah atau tasyaiyu`.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan