Sidi Ahmad ar-Rifa`ie radhiyaAllahu `anhu adalah salah seorang wali Quthub yang termasyhur. Imam adz-Dzahabi dalam karangan beliau, Siyarul A'laam an-Nubala`, pada juz ke-21, halaman 77, menyebut nama penuh beliau dengan gelaran - gelaran mulia seperti al-Imam, al-Qudwah, al-`Aabid, az-Zaahid, Syaikhul `Aarifiin (Gurunya Para Wali), Abul `Abbas, Ahmad bin Abil Hasan `Ali bin Ahmad bin Yahya bin Haazim bin `Ali bin Rifaa`ah ar Rifaa`ie al-Maghribi. Tidak dapat disangkal lagi Sidi Ahmad ar-Rifa`ie sebagai salah satu tokoh agung dalam dunia tashawwuf, bahkan beliau menjadi pengasas bagi Thariqat ar-Rifa`iyyah yang diamalkan ramai Muslimin hatta di bumi Nusantara kita ini.
Dalam kitab tersebut, Imam adz-Dzahabi rahimahullah menukil kisah - kisah yang menarik untuk menggambar betapa kasih sayang Sidi Rifa`ie kepada sesama makhluk ciptaan Tuhan, hatta kepada yang namanya haiwan. Dikisahkan pada halaman 78. bahawa satu ketika, seekor kucing tertidur atas lengan jubah beliau. Apabila masuk waktu shalat, Maka Sidi Ahmad ar-Rifa`ie pun hendak mengambil jubah tersebut untuk pergi menunaikan shalat. Namun, beliau mendapati kucing tersebut masih lagi tidur di atas lengan jubahnya. Kasihan melihat kucing tersebut tidur, Sidi Rifa`ie tidak tega untuk membangunkannya, lalu beliau menetas lengan jubahnya untuk mengambil jubah tersebut dan membiarkan kucing itu terus tidur. Setelah beberapa ketika, kucing tersebut jaga dan meninggalkan lengan baju yang dijadikan alas tidurnya. Maka, Sidi Rifa`ie mengambil lengan baju tersebut dan menjahitnya semula ke jubahnya. Beliau menyatakan bahawa tiada sesuatu pun berubah, yakni jubahnya masih tetap dapat dipakai seperti sebelumnya. Juga diceritakan bahawa pernah ketika beliau sedang berwudhu, datang seekor nyamuk lalu hinggap di tangan beliau. Sidi Rifa`ie membiarkan sahaja nyamuk tersebut tanpa menghalau atau memukulnya. Setelah nyamuk itu terbang pergi, beliau menyambung semula wudhunya. Allahu .... Allah, begitulah gambaran sifat belas kasih beliau.
Kisah Sidi Rifa`ie dengan kucing tersebut ada dinukilkan oleh Tok Syaikh Wan Ahmad al-Fathani rahimahullah dalam karya beliau Hadiiqatul Azhaar war Rayaahin pada halaman 127 sebagai berikut: ....." Dan tidur seketika di atas tangan bajunya oleh kucing dan masuk waktu sembahyang, maka diguntingkan tangan bajunya dan tiada ia kejutkan dia. Dan tatkala pulang ia daripada sembahyangnya, dapat ia kucing itu sudah bangun, maka menghubung ia dan menjahit ia akan tangan bajunya....."
Di sini kita dapat melihat betapa kasihan belas Sidi Ahmad ar-Rifaie hatta terhadap seekor haiwan. Tetapi jangan pula lupa, Sidi Ahmad juga seorang faqih yang mengikut mazhab asy-Syafie dan amat menitik berat dan menjaga hukum syarak. Di antara tegahan pada syarak adalah tidak berbuat idha`atul maal yakni mensia-siakan harta tanpa sebarang faedah, apatah lagi untuk melakukan maksiat atau melakukan pembaziran. Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam pernah bersabda: " Sesungguhnya Allah membenci bagi kamu tiga perkara, (i) bercakap yang tiada berfaedah (cekcok atau bertengkar yang tiada manfaat), (ii) mensia-siakan harta dan (iii) banyak meminta - minta (mengemis)." Makanya Sidi Rifa`ie radhiyaAllahu `anhu menjahit semula lengan jubahnya itu agar dapat dipakai kembali seperti sediakala. Jika kucing kita tidur atas baju atau pakaian kita, kejutkan atau alihkanlah sahaja elok - elok, jangan disepak terajang sudah. Jangan nak memandai - mandai gunting lengan baju atau pakaian tersebut, konon - konon nak tiru Sidi Rifa`ie, kerana endingnya membawa kepada mensia-siakan harta yang boleh jadi haram hukumnya. Jangan perasan nak ikut Sidi Ahmad ar-Rifa`ie yang faqih lagi sufi lagi wali yang arifbillah. ..Allahu ... Allah. Ukurlah baju di badan sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan