Isnin, September 26, 2022

Mawlid - Bustanul Arifin

Bulan Rabi`ul Awwal menjelang tiba, maka pasti menambahkan lagi ingatan kita kepada kekasih Allah, makhluk yang paling mulia dan teragung, Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Mudah - mudahan bertambah shalawat dan kecintaan kita kepada manusia yang paling kasih dan paling prihatin dengan nasib serta keberuntungan kita di akhirat nanti. Bersempena ketibaan bulan yang dimuliakan Allah dengan dizahirkan Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dalamnya, maka faqir mulakan dengan menukil bicara berkaitan mawlid.

Tuan Guru Syaikh Haji Abu Bakar bin Haji Muhammad Yasin al-Firaqi (nisbah kepada negeri Perak, tanah kelahiran beliau) al-Azhari rahimahullah adalah seorang ulama berasal dari Perak. Beliau mendapat pendidikan agama formal di Universiti al-Azhar sebelum tercetusnya Perang Dunia ke-2. Sekembalinya ke tanahair, beliau menjadi mudir Madrasah al-`Ulum asy-Syariah di Bagan Datok. Beliau telah dilantik sebagai mufti Pahang yang ke-4, berkhidmat antara tahun 1951 - 1976. Tuan Guru Shahibus Samahah telah menghasilkan beberapa karangan, antaranya 5 jilid kitab kisah dan sirah para nabi alaihimush shalatu was salam yang diberi jodol Bustanul `Arifin.

Shahibus Samahah, walaupun tidak bersetuju dengan beberapa perkara yang dilakukan manusia ketika mengadakan sambutan Mawlid yang menyalahi syarak seperti pergaulan bebas lelaki perempuan, perarakan yang tak keruan, pembaziran serta perbuatan yang melampau - lampau dan seumpamanya, namun beliau  menyatakan dengan tegas bahawa menyambut atau mengadakan sambutan mawlid tersebut bukanlah satu bid`ah tetapi ianya termasuk dalam sunnatan hasanatan ("sunnah" yang elok baik). Di antara pernyataan beliau rahimahullah, pada halaman 154, juz ke-2, antaranya sebagai berikut: "...Dan pada zaman dahulu adalah ahli Mekah, sebagaimana yang disebutkan oleh setengah - setengah ahli tarikh, mereka itu mengambil berkat dengan ziarah tempat peranakkan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam itu pada tiap - tiap kali hari diperanakkan Nabi Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam itu. Ini adalah mengadakan perayaan hari diperanakkan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam itu bukanlah daripada bid`ah sebagaimana yang dikata oleh setengah mereka itu, bahkan ia sunnah yang baik yang telah diperbuat oleh orang - orang khalaf mengikut jalan orang - orang salaf yang shalih....."

Mudah - mudahan dengan adanya sambutan - sambutan mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, kita dapat menghidupkan jiwa kita untuk mengingati dan menjunjung serta menuruti akan teladan dan ajaran yang telah baginda wariskan kepada kita sebagai sebab untuk memperolehi keselamatan dan kejayaan yang hakiki di akhirat nanti. Janganlah hendaknya gemerlapan duniawi menyebabkan kita silau sehingga tak terlihat kegemilangan ukhrawi yang kekal abadi. Shallu `alan Nabiyyi Muhammadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan