Rabu, Mac 22, 2023

Taat & Bakti Kepada IbuBapa

Dalam Islam, kita diajar untuk mengutamakan melakukan kebaikan dan kebaktian serta menjaga pergaulan kepada ibu berbanding bapa. Ini tidak bermakna yang kita mengabaikan atau tidak berbakti kepada bapa, hanya yang lebih didahulukan adalah ibu, tanpa mengurangkan kebaktian kepada bapa. Masyhur riwayat mengenai perkara ini sehingga Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam menyuruhnya dengan ganda tiga berbanding bapa. Imam Bukhari dan Imam Muslim (asy-Syaikhan) meriwayatkan bahawa seorang lelaki (Mu`awwiyah bin Haidah) telah datang berjumpa dengan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam seraya bertanya: "Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling utama untuk aku dampingi sebaik - baiknya ( bi husni shahabati)?" Junjungan menjawab: "Ibumu." Dia bertanya lagi: "Kemudian siapa?" Junjungan menjawab: Ibumu." Dia bertanya lagi: "Kemudian siapa?" Junjungan menjawab: "Ibumu." Dia bertanya lagi: "Kemudian siapa?" Junjungan menjawab: "Kemudian bapamu." Di dalam Adabul Mufrad, Imam Bukhari meriwayatkannya dengan sedikit perbezaan kalimah iaitu "man abarru" yakni "siapakah orang yang paling utama untuk saya curahkan kebaktian." 

Ketahuilah berbakti dengan ibu dan bapa itu lebih utama dan lebih afdhal daripada melakukan haji, umrah dan jihad yang sunnat, sebagaimana disebut oleh Imam al-Haddad dalam
an-Nashaa-ih. Imam Abu Ya'la dan Imam ath-Thabrani meriwayatkan dalam ash-Shaghir dan al-Awsath, dengan sanad yang hasan, bahawa seorang lelaki telah datang menemui Junjungan Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam dan bertanya: "Aku ingin untuk berjihad tapi aku tidak mampu melakukannya." Baginda bertanya kepadanya: "Apakah salah seorang daripada dua orang tuamu masih ada?" Dia menjawab: "Ibuku." Baginda bersabda: "Menghadaplah (yakni bertaqarrublah) kepada Allah dengan berbakti kepadanya (yakni kepada ibumu), apabila engkau melakukan yang sedemikian, maka engkau termasuk orang yang melakukan haji dan umrah serta seorang mujahid yang melakukan berjihad."

Sebahagian ulama menyebut bahawa Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam mengutamakan ibu untuk kebaktian si anak sebanyak tiga (3) kali sebelum bapa, mungkin hikmahnya, kerana ada tiga perkara yang hanya mampu dilakukan oleh seorang ibu dan mustahil seorang bapa dapat melakukannya, iaitu
hamil, melahir dan menyusukan si anak. Maka wajarlah kebaktian terhadap si ibu mendahului si bapa. Imam al-Haddad menulis dalam an-Nashaa-ih ad-Diniyyah menulis sebagai berikut: "Ketahuilah, bahawa berbakti kepada ibu hendaklah digandakan berbanding berbakti kepada bapa, sebagaimana yang warid dalam hadis. Hal ini boleh jadi lantaran kerana ibulah yang telah merasai penat lelah dan susah payah mengandung si anak, kemudian merasakan kesukaran dan kesakitan melahirkannya, lalu menyusukannya, merawatnya dan mendidiknya dengan penuh kesukaan dan kasih sayang..... 

Ada sesetengah orang memahami hadis - hadis tadi sebagai pernyataan bahawa perintah si ibu mengatasi perintah si bapa sehingga perintah si ibu perlu ditaati dahulu berbanding perintah si bapa. Sebenarnya hadis - hadis tersebut tidak pun menyentuh tentang ketaatan kepada perintah orang tua dengan jelas. Perkara mentaati perintah - perintah makhluk perlu kepada perincian dengan melihat kepada rupa bentuk perintah tersebut dan kemaslahatannya kepada diri, pihak - pihak yang terbabit dan juga lain - lain pihak ketiga yang terkesan dengan perlaksanaan perintah tersebut. Mentaati perintah sebarang makhluk Allah bukanlah sesuatu yang mutlak dan ianya tidak semudah menghulurkan kebaktian kepada mereka. Namun tidak dinafikan ada ulama yang cuba mengaitkan hadis tersebut dengan ketaatan kepada perintah kerana mereka melihatnya sebagai satu bentuk kebaktian. Misalnya apa yang dinukil oleh Imam Badruddin al-`Ayni dalam
`Umdatul Qari, pada juz 22, yang menyatakan sebagai berikut: "Dan hadis ini menjadi dalil agar kasihkan ibu dan berbelas ihsan kepadanya hendaklah mengatasi kasihkan bapa kerana baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam mengulanginya tiga kali, di mana bapa hanya disebut pada kali keempat sahaja........Hadis Abu Hurairah ini menjadi dalil agar mentaati ibu didahulukan dan ianya adalah hujjah bagi membantah pihak yang tidak sependapat, sehingga al-Muhasibi mendakwa keutamaan ibu atas bapa dari segi berbuat kebaktian dan ketaatan adalah ijmak ulama. Dikatakan bahawa ketika al-Hasan ditanya: "Apakah kebaktian kepada dua orang tua?" Beliau menjawab: "Engkau belanjakan bagi kedua mereka apa yang engkau miliki dan engkau mentaati kedua mereka dalam apa yang engkau diperintahkan selagi ianya bukan perkara maksiat." 

Walau apa pun yang disebut oleh Imam Badruddin al-`Ayni tadi, bukanlah satu keputusan yang muktamad. Tetap ada ruang yang terbuka untuk berbeza pendapat kerana yang disepakati tanpa ada khilaf adalah urusan kasih sayang, kasihan belas dan kebaktian. Apa yang dinukilkan daripada al-Hasan juga tidak membantu kerana beliau tetap membicarakan tentang mentaati perintah mereka berdua. Maka hadis - hadis tersebut tidak menggugurkan kedudukan bapa sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab kepada ahli - ahli keluarganya. Oleh itu, janganlah dijadikan hadis - hadis ini sebagai modal untuk mensabitkan secara mutlak bahawa mentaati perintah ibu itu wajib didahului berbanding perintah bapa. Tidak begitu wahai saudara - saudari. Akhirul kalam, faqir nukilkan tulisan Ustaz Ali bin Hasan BaHarun dalam karya beliau
Fawaaid al-Mukhtarah, catatan yang beliau kutip daripada ajaran guru beliau, Habib Zain bin Ibrahim BinSumaith, menyatakan sebagai berikut:- Ibu lebih berhak untuk didahulukan daripada bapa dalam mendapat khidmat bakti si anak seperti pemberian nafkah dan hadiah. Manakala bapa lebih berhak untuk ditaati. Maka didahulukan perintah bapa atas perintah ibu sebagaimana didahulukan pembayaran zakat fitrah (yakni anak yang menanggung nafkah ibubapanya yang faqir hendaklah mendahulukan bayaran fitrah ayahnya sebelum ibunya)..... Namun, tetap sahaja dalam urusan mentaati perintah makhluk ini ada tafshil perinciannya dan tidaklah sifatnya mutlak mesti ditaati hatta perintah bapa sekalipun. 

Apa - apa pun berbakti kepada ibubapa itu adalah satu kewajipan, manakala mendurhakai mereka adalah termasuk dalam dosa besar. Sempena menjelang ketibaan bulan Ramadhan, faqir peringatkan kepada diri dan sekalian yang membaca akan hadis yang sahih diriwayatkan oleh Imam al-Hakim sebagai berikut:- Ka`ab bin `Ujrah berkata bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda:- "Berkumpullah kalian di sisi mimbar." Maka kami pun berkumpul, lalu baginda menaiki anak tangga pertama mimbar tersebut dan berkata: "Aamiin." Bila baginda naik ke anak tangga kedua, baginda berkata: "Aamiin." Begitulah juga ketika baginda menaiki anak tangga ketiga, baginda pun berkata: "Aamiin." Setelah baginda turun dari mimbar, kami bertanya kepada baginda: "Wahai Rasulullah, kami telah mendengar daripadamu pada hari ini sesuatu yang belum pernah kami dengar sebelumnya (yakni tentang sebutan aamiin yang tiga kali ketika menaiki anak tangga mimbar).Baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam menjelaskan: "Bahawasanya Jibril muncul di hadapanku ketika aku menaiki anak tangga yang pertama dan berkata: "Kecelakaan bagi sesiapa yang mendapatkan bulan Ramadhan, namun dia tidak memperolehi keampunan Allah bagi dirinya," aku pun berkata: "Aamiin." Ketika aku naik anak tangga kedua, Jibril berkata: "Kecelakaan bagi sesiapa yang ketika namamu disebut di sisinya, dia tidak bershalawat kepadamu," aku pun berkata: "Aamiin". Ketika aku naik ke anak tangga ketiga, Jibril berkata: "Kecelakaan bagi sesiapa yang mendapati kedua ibubapanya telah tua atau salah seorang daripada mereka, namun mereka berdua tidak menjadi sebab untuknya memasuki syurga (yakni dia gagal berbakti kepada mereka sehingga tidak memperolehi ganjaran syurga), maka aku pun berkata: "Aamiin". Mudah - mudahan tiga perkara yang disebut dalam hadis ini dapat kita jadikan amalan dan panduan, pertama: menjaga kesucian dan kehormatan bulan Ramadhan, kedua: shalawat ke atas Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam dan ketiga: berbakti kepada dua orang tua. Jangan sampai kita termasuk dalam golongan yang didoakan kecelakaan oleh Penghulu malaikat, Sayyidina Jibril `alaihis salam yang diaminkan oleh Penghulu sekalian makhluk, Sayyidina Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam. Selamat Beribadah, Selamat Berbakti, Selamat Berpuasa dan Ramadhan Kareem.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan