Isnin, September 04, 2023

`Ataaqah Kubra - Tuhfatul Murid

Dalam tradisi ulama kita, ada berbagai amalan yang dinamakan sebagai `ataaqah (pemerdekaan) iaitu zikir - zikir yang diamalkan dengan harapan agar ianya menjadi wasilah bagi mendapatkan pengampunan, kebebasan dan pemerdekaan Allah dari api neraka. Namun, yang terkenal dan termasyhur adalah `ataaqah dengan membaca kalimah tawhid (tahlil) sebanyak 70,000 kali yang dinamakan sebagai `Ataaqah Shughra dan `ataaqah dengan membaca Suratul Ikhlas sebanyak 100,000 kali yang dinamakan sebagai `Ataaqah Kubra. Faqir tidak berminat untuk membahas ikhtilaf ulama mengenai amalan - amalan ini. Bila kita tahu bahawa wujudnya ikhtilaf dan tsabit sebahagian ulama mengamalkannya bahkan menganjurkannya, maka terpulanglah bagi kita untuk memilih samada untuk mengamalkannya atau tidak. 

Di antara ulama yang menyebut tentang amalan ini adalah Syaikhul Islam Ibrahim al-Baijuri rahimahullah. Dalam karangan beliau yang masyhur dalam Ilmu Tawhid, Tuhfatul Murid yang merupakan hasyiah beliau atas nazam Jawharatut Tawhid karya Imam al-Laqqani rahimahullah, pada halaman 104 beliau menyatakan, antara lain, sebagai berikut:-

...Adapun dosa - dosa yang berkait dengan hak - hak sesama manusia, maka tidak dapat tidak untuk menebusnya adalah dengan al-muqashah (diqishash / ambil balas) dengan mengambil pahala kebajikan pelaku kezaliman untuk diberikan kepada orang yang dia zalimi. Apabila tidak ada lagi pahala kebajikan pelaku kezaliman untuk diberikan kepada orang yang dia zalimi, maka diambillah dosa kesalahan orang yang dizalimi untuk ditanggung oleh si pelaku kezaliman. Akan tetapi telah diriwayatkan oleh al-Bazzar daripada Anas bin Malik secara marfu`: "Sesiapa yang membaca `Qul Huwa Allahu Ahad' (yakni Suratul Ikhlas) 100,000 kali, maka dia telah menebus dirinya daripada Allah, lalu menyerulah satu penyeru (yakni malaikat) bagi pihak Allah di (segenap penjuru) langit dan bumi (dengan seruan): "Ketahuilah bahawa sifulan adalah `atiqullah (yakni orang yang dimerdekakan Allah), maka sesiapa yang mempunyai hak tuntutan terhadapnya hendaklah dia mengambil hak tersebut daripada Allah `azza wa jalla." Melihat secara zahir (yakni melihat kepada zahir riwayat tersebut semata-mata) yang sedemikian tadi (yakni ganjaran membaca 100,000 kali Suratul Ikhlas) menjadi kaffarah (penebus) bagi (sebahagian) dosa - dosa besar juga. Dan inilah amalan yang dinamakan sebagai al-`Ataaqatul Kubra (pemerdekaan yang agung).....

Ulama kita juga tidak sepakat mengenai `ataaqah kubra sebagai kaffarah bagi dosa - dosa besar atau sebahagian daripadanya. Ada yang berpandangan seperti yang diutarakan oleh Sidi Baijuri rahimahullah, namun tidak kurang pula yang berpendapat sebaliknya. Untuk mengakhiri entri ini, faqir tutup dengan mendatangkan fatwa Syaikh `Athiyyah Shaqr rahimahullah mengenai persoalan "`al-`ataaqah lil mayyit" yang difatwakan pada bulan Mei, 1997 yang telah dibukukan dalam himpunan fatwa Darul Ifta` al-Mishriyyah, juga boleh dibaca dalam berbagai laman fatwa. Dalam fatwa tersebut, dinyatakan, antara lain, sebagai berikut:- ...Telah diriwayatkan oleh al-Bazzar dengan sanad yang dhaif bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: " Sesiapa yang membaca Qul Huwa Allahu Ahad 100,000 kali, maka dia telah menebus dirinya daripada Allah. Maka menyeru satu penyeru (yakni malaikat) bagi pihak Allah ta`ala di langit dan di bumi: "Ketahuilah bahawa sifulan adalah `atiqullah (orang yang dimerdekakan Allah)." Imam ash-Shawi dalam hasyiah beliau bagi Tafsir al-Jalalain menyatakan bahawa inilah `ataaqah (pemerdekaan) dari api neraka asalkan dia tidak menanggung hak - hak yang berkaitan dengan manusia (huququl `ibaad) atau ada baginya tanggungan hak manusia namun dia lemah atau tidak mampu untuk menyelesaikannya (yakni bukan dia sengaja tidak mahu menyelesaikan atau melangsaikan hak manusia yang dia tanggung). Adapun orang yang sengaja tidak mahu menyelesaikan tuntutan atau tanggungannya atas hak - hak manusia, sedangkan dia mampu melakukannya, maka dia seperti orang yang mempersendakan Tuhannya (yakni jika hanya mengandalkan `ataaqah kubra semata-mata untuk menggugurkan hak manusia tersebut, tanpa berusaha mencari penyelesaian bagi melunaskan hak - hak manusia yang dipikulnya seperti dengan mengembalikan hak orang yang telah diambilnya atau meminta kemaafan atau meminta halal dan seumpamanya). Syaikh al-Hifni menukilkan daripada Syaikh al-`Iyaasy dalam Mishbahul Zhalam, j.2, halaman 161, bahawa sesiapa yang membaca 100,000 kali Surah al-Ikhlas, ia menjadi kaffarah bagi dosa - dosa kecil dan dosa - dosa besar. Ini adalah pendapat yang tidak dapat dijadikan sandaran berbanding pendapat yang menyatakan bahawa dosa - dosa besar tidak ada kaffarah baginya selain bertaubat nashuha di mana antara syarat taubat nashuha adalah menunaikan / melunaskan / melangsaikan / menyelesaikan hak - hak hamba  (yakni hak manusia lain yang ditanggungnya). Berdasarkan kepada hadis tadi, yang boleh beramal dengannya dalam bab fadhail al-a'maal, sekelompok ulama mutaakhir daripada Mazhab Maliki berpendapat mustahab (elok / bagus) untuk mengamalkan `Ataaqah ash-Shamadiyyah (yakni `Ataaqah Kubra dengan membaca 100,000 kali Surah al-Ikhlas). Perkara ini telah disebut oleh al-Muhaddits Abdullah Shiddiq al-Ghumari dalam kitabnya Fadhail al-Quran....

Begitulah sedikit tentang `Ataaqah Kubra atau `Ataaqah ash-Shamadiyyah. Mudah - mudahan dapat kita lazimkan membaca sebanyak - banyaknya Surah al-Ikhlas dan semoga ianya menjadi bekalan yang berharga bagi kita di sana nanti dan menjadi sebab meraih rahmat dan keredhaan Allah sehingga kita menjadi `atiqullah yang mendapat kebebasan dari neraka yang amat dahsyat..Allahumma aamiin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan