Rabu, Disember 20, 2023

Jangan Bosan Berdoa

Kekejaman regim Zionist masih berlaku. Di kalangan umat, ada yang sudah mulai bosan untuk menadah tangan memohon kepada Allah al-Muntaqim bagi membantu penduduk Gaza dan Palestine yang dizalimi. Ada yang bertanya - tanya, "Bilakah lagi datangnya pertolongan Allah dan kemenangan?" Bahkan, ada ulama rasmi yang, kalau tidak silap, "mengarahkan" agar Qunut Nazilah dihentikan dahulu atas pemahaman beliau terhadap nas hadis Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Faqir tidak mahu menyalahkan mana - mana pihak, baik yang mahu terus melakukan Qunut Nazilah atau yang mahu berhenti dahulu. Faqir yakin bahawa pihak yang berhenti melakukan Qunut Nazilah dalam shalat fardhu yang lima atau setidak - tidaknya dalam Shalat Jumaat, masih tetap mendoakan keselamatan dan kebajikan bagi saudara - saudara kita di Gaza dan Palestine, samada di dalam atau di luar shalat. Berhenti atau terus melakukan Qunut Nazilah, bukanlah satu masalah, seberat - berat hukum Qunut Nazilah itu hanya sunat yang jika ditinggalkan tidak mencacatkan shalat bahkan tidak perlu ditampung dengan sujud sahwi. Yang terpenting adalah kita teruskan berdoa, memohon dan mengharap, jangan sesekali bosan apatah lagi berputus asa dek lambatnya keinginan atau hajat kita dikabulkan Allah.

Imam Ibnu `Athailah dalam kitab al-Hikam yang masyhur, pada hikmah yang ke-6, mengingatkan kita bahawa jangan sesekali kita berputus asa daripada berdoa memohon segala hajat kita kepada Allah walaupun permintaan atau keinginan kita tersebut belum kunjung tiba. Kata Ibnu Athaillah: "Janganlah kerana Allah lambat menghulurkan pemberianNya kepadamu, sedangkan engkau sungguh - sungguh berdoa, menjadikan engkau berputus asa (berdoa). Allah telah menjamin bagimu pengabulan (namun) sesuai dengan apa yang Dia pilih untukmu dan bukannya mengikut apa yang engkau pilih untuk dirimu (kerana Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik); Juga (dikabulkannya) pada masa yang Dia kehendaki bukan masa yang engkau mahu." Inilah kabul yang terbaik kerana Allah yang Maha Mengetahui tahu apa yang terbaik bagi hambaNya yang tulus bertakwa dan beribadah kepadanya. Maka selaku orang yang mengaku dirinya hamba Allah, dia mestilah sentiasa bersangka baik denganNya.

Inilah yang dipesankan oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam riwayat yang shahih, di mana baginda bersabda: "Doa seseorang daripada kamu akan dimustajabkan Allah selagi dia tidak tergesa - gesa atau terburu - buru, di mana dia berkata: "Aku telah (puas) berdoa, namun belum diperkenankan bagiku." Maka jangan putus asa berdoa, terus tetap dan istiqamahlah dalam berdoa. Ulama menyebut bahawa doa Nabi Musa yang diaminkan oleh Nabi Harun `alaihimas salam agar kezaliman Fir`aun dibalas Allah, tertunai setelah 40 tahun selepas baginda berdua berdoa, dengan ditenggelamkan atau dilemaskan Fir`aun dan tenteranya di Laut Merah. Siapa kita dan siapa Musa dan Harun? Cepat atau lambat tidak penting, yang penting kabul yakni penerimaan daripada Allah. Diberi hidayah dan taufik untuk dapat berdoa itu sudah luarbiasa anugerahnya. Apa tidaknya, doa itu saripatinya ibadah dan berdoa itu pernyataan bahawa kita ini hamba yang lemah yang sentiada fakir dan berhajat kepada anugerah Zat yang Maha Kaya.

Terkabul atau kemustajaban sesuatu doa itu, jangan hanya dilihat kepada cepat atau lambat semata - mata. Jangan ingat jika hajat seseorang itu cepat tertunai, maka Allah mesti kasih dan redha kepada si pemohon. Adakalanya sesuatu permohonan itu ditunaikan dengan segera kerana Allah jalla sya'nuhu "menyampah" mendengar suara dan doa orang tersebut, lalu ditunaikan dengan cepat agar dia berhenti berdoa. Syaikh Muhammad bin Abdullah al-Jardani rahimahullah dalam kitabnya, al-Jawahirul Lu'lu-iyyah, pada halaman 107, menukilkan satu riwayat daripada Imam al-Baihaqi bahawa Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Bahawasanya Jibril ditugaskan Allah untuk menunaikan hajat - hajat para hamba Allah. Maka ketika seorang mukmin berdoa, Allah berfirman: "Wahai Jibril, tahan dulu hajat hambaKu, sesungguhnya Aku mengasihinya dan suka mendengar suaranya." Ketika ada seorang kafir berdoa (dalam satu riwayat: seorang fajir / fasik ), Dia (Allah) berfirman: "Wahai Jibril, (segera) tunaikan hajat hambaKu, sesungguhnya Aku benci kepadaNya dan benci mendengar suaranya." Allahu .... Allah. Oleh itu, tetaplah istiqamah berdoa kerana ia adalah ibadah yang paling mulia, sehingga disabdakan juga oleh baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam dalam riwayat yang hasan bahawa: "Tidak ada sesuatu (ibadah) yang paling mulia di sisi Allah selain berdoa."


Tiada ulasan:

Catat Ulasan