Qiyam atau dalam istilah tok - tok guru tua kita, "berdiri betul", adalah salah satu rukun shalat. Tok guru tak kata berdiri sahaja, tapi berdiri betul dengan kedua tapak kaki direnggangkan sedikit, yakni berdiri yang normal, tidak membongkok, tidak terkangkang dan tidak pula terjepit. Berhubung dengan jarak antara dua tapak kaki, bagi lelaki, maka yang sunatnya adalah dijarakkan dan tidak dirapatkan. Para ulama mencontohkan keadaan menjarakkan tapak kaki ketika berdiri tadi kepada 4 pandangan:- (i) direnggangkan kedua-dua tapak kaki dengan jarak sejengkal; (ii) direnggangkan dengan jarak empat (4) jari atau segenggam; (iii) dihimpunkan dua riwayat tadi dengan menjadikan jarak tumit ke tumit pada kadar empat (4) jari dan ibu jari ke ibu jari dalam kadar sejengkal; dan (iv) dijarakkan tanpa ada kadar yang tertentu asalkan jangan keterlaluan sampai terkangkang atau terlalu rapat sehingga terjepit. Para ulama juga menyatakan bahawa jika jarak antara kedua tapak kaki tersebut terlalu renggang atau terlalu rapat, jika tanpa uzur, maka dihukumkan makruh. Inilah hukumnya bagi orang laki - laki.
Dalam entri ini, faqir hanya ingin menarik perhatian kepada kaifiat yang ke-iii tersebut. Ini adalah kerana semenjak dua menjak ini ada yang ingin menang sendiri dan menyalah-nyalahkan amalan atau kaifiat yang telah lama diajarkan ulama zaman berzaman. Dalam anggapan mereka cara tersebut salah kerana anak - anak jari tidak diarahkan menghadap kiblat. Menurut mereka, kesemua anak jari kaki hendaklah lurus tegak menghadap kiblat. Maka mereka memaksa - maksa diri untuk meluruskan kedua - dua tapak kaki sehingga mendatangkan ketidakselesaan pada betis dan berdirinya nampak janggal (peylok), dibuat - buat dan tidak normal lagi.
Pengalaman pribadi faqir sejak awal mula diajar shalat, kedudukan tapak kaki ketika berdiri betul, yang diajar oleh tok - tok guru, dengan mengambilkira segala nas dan menghimpunkannya, adalah ibu jari kaki kanan dijarakkan kira - kira sejengkal dari ibu jari kaki kiri, manakala tumit kanan dijarakkan kira - kira empat (4) jari dari tumit kiri. Dan inilah keadaan biasa ketika mana seseorang berdiri. Dalam shalat, kedudukan anak - anak jari kaki dalam keadaan sedemikian juga tidaklah keluar dari menghadap kiblat kerana bukanlah maksud menghadap kiblat itu semua kepala anak - anak jari kita mesti lurus menghadap arah kiblat.
Rata - rata beginilah rupa bentuk kedudukan dua tapak kaki yang diajarkan oleh para ulama kita. Jika kita rujuk buku - buku pedoman atau panduan sembahyang yang biasa digunakan dahulu, baik karya almarhum Ustaz Syed Ahmad Semait atau almarhum Ustaz Ahmad Sonhadji, maka kedudukan tapak kaki adalah sebagaimana lakaran yang diambil dari buku Mari Sembahyang (Laki - Laki) yang disusun oleh almarhum Ustaz Haji Ahmad Sonhadji dari cetakan terawal dan cetakan - cetakan berikutnya. Juga dikekalkan lakarannya dalam buku beliau yang lebih terperinci mengenai sembahyang yang diberi jodol Bimbingan Solat Yang Sempurna. Dalam lakaran tersebut kedudukan tapak kaki adalah sejengkal antara ibu jari dan segenggam (4 jari) antara tumit. Kaifiat inilah yang telah diperturunkan oleh ustaz - ustaz dan tuan - tuan guru kita di rantau ini.
Hal ini faqir utarakan berpandukan bukan sahaja daripada tunjuk ajar tuan - tuan guru, juga dari apa yang didengar dan dilihat daripada amalan ulama, ustaz dan masyarakat awam di berbagai tempat belahan dunia. Makanya, ulama kelahiran Jember, 1955, pengasuh Pondok Pesantren Nurul Islam, tokoh Nahdlatul Ulama, KH Muhyiddin Abdusshomad hafizahullah mencatat dalam karangan beliau Shalatlah Seperti Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam, pada halaman 46 sebagai berikut:- ...Tata cara berdiri adalah kedua kaki diluruskan. Antara ujung keduanya direnggangkan kira - kira sejengkal dan kedua tumitnya kira - kira empat jari......
Semoga dengan entri yang tidak seberapa ini, terbuka dada kita untuk sentiasa berlapang dadalah, tanpa perlu membenarkan pendapat sendiri semata - mata sehingga meremehkan atau menyalah-nyalahkan pandangan orang lain. Selagi mana berdirinya betul, maka memadailah rukunnya dan sahlah shalatnya, tanpa merasa diri terlebih sunnah berbanding yang lain. Semoga hidayah dan taufiq Allah sentiasa dikurniakan kepada kita sehingga perjalanan kita menuju syurga menjadi mudah dan gampang.
KH Idrus Ramli menyebut kaifiat berdiri
Tiada ulasan:
Catat Ulasan