Pernah gempar dan kembali gempar, olah pengikut ajaran sesat akibat kejahilan dan ketaksuban kepada seorang "abuya". Akibatnya menodai kehormatan dan keharuman nama seorang ulama terbilang Nusantara suatu ketika dahulu. Itulah fitnah yang ditimbulkan oleh pertubuhan al-Arqam yang kemudiannya diberi jenama baru sebagai Rufaqa dan akhirnya sebagai Global Ikhwan @ GISB. Namun, dalam keghairahan kita membanteras ajaran sesat, kita perlu juga berhati - hati agar jangan sampai kita melakukan kezaliman terhadap yang tidak terlibat sehingga kita menghukum secara blanket atau pukul rata sehingga kita menjadi orang yang zalim. Apatah lagi jika yang dizalimi itu ulama yang benar dan amalannya. Maka berhati - hatilah.
Barang diingat bahawa yang difatwakan sesat dan diharamkan oleh pihak berkuasa agama di negara kita adalah Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam dengan iktikad mereka yang ganjil mengenai beberapa isu seperti kemahdian penyusun aurad tersebut, kebanitamiman "abuya" mereka, yaqazah versi mereka dan seumpamanya. Faqir sesungguhnya percaya bahawa pegangan mereka ini telah menyeleweng dari jalan yang diajar oleh Sayyidi Syaikh Muhammad as-Suhaimi @ Kiyai Agung. Maka, janganlah kita menghukum secara pukul rata bahawa Aurad Muhammadiah itu sesat tanpa usul periksa, kerana bukan semua pengamal Aurad Muhammadiah itu pengikut ajaran "abuya".
Sepanjang hayat beliau, Syaikh Suhaimi tidak pernah mengaku bahawa dirinya Imam Mahdi yang ditunggu - tunggu dan aurad yang beliau amalkan tersebut tidak lain melainkan, zikir - zikir seperti dua kalimah syahadah sebagai zikir, lalu ditambah zikrus shalihin dengan menyebut para sahabat yang empat dengan gelar kehormatan mereka, surah al-Ikhlas, beberapa ayat al-Quran seperti Tasbih Nabi Yunus `alaihis salam dan shalawat yang dinisbahkan kepada Sultanul Awliya Syaikh Syamsuddin al-Hanafi qaddasaAllahu sirrah. Faqir tidak pasti berapa usia Aurad Muhammadiah yang disusun oleh Kiyai Agung tersebut, namun yang pasti ianya telah melebihi 100 tahun. Walaupun tidak sehebat bilangan pengamal thariqat - thariqat lain, tetap ianya mempunyai ratusan bahkan ribuan pengamal dari mula awal ianya disusun sehinggalah sekarang. Sepanjang perhatian faqir, pengamal - pengamal Aurad Muhammadiah, selain pengikut Arqam @ Rufaqa @ Global Ikhwan, tidak suka menunjuk - nunjuk amalan mereka, mereka mengamalkannya secara pribadi untuk mencari berkah dan redha Ilahi, tanpa perlu publisiti apatah lagi dakwa - dakwi.
Sebagaimana yang berlaku dalam sesetengah amalan seperti thariqat atau ratib atau aurad, khalifah atau pengamal yang berotoriti atau berkelayakan, ada yang membuat inovasi dengan menambah zikir lain ke dalam zikir atau aurad atau ratib asal gurunya. Seperti dalam Ratibul Aththas, 3 ayat akhir Surah al-Hasyr yang dibaca pada awal ratib dan ayat akhir Surah al-Baqarah di hujung ratib itu merupakan tambahan daripada Habib Ali bin Hasan al-Aththas Shahibul Masyhad dan bukannya daripada Habib Umar bin Abdul Rahman al-Aththas Shahibur Ratib. Maka sedemikianlah juga dengan Aurad Muhammadiah, sebahagian pengamalnya selepas Kiyai Agung, telah menambah pada zikrus shalihin dengan memasukkan kalimah 'Muhammadunil Mahdiy" yakni Imam al-Mahdi sebagai khalifahnya Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan yang dimaksudkan adalah Imam al-Mahdi sebenar yang bakal zahir di akhir zaman yang belum kita ketahui individunya. Setakat perhatian faqir, penambahan ini telah menimbulkan isu sehingga pengamal Aurad Muhammadiah selepas Kiyai Agung, menjadi berpecah sebagai berikut:
- Pengamal yang masih dengan amalan Aurad Muhammadiah yang asal tanpa sebarang penambahan.
- Pengamal yang mengamalkannya dengan penambahan tersebut, tanpa sebarang iktiqad dan penentuan Syaikh Suhaimi sebagai Imam Mahdi. Iktiqad mereka mengenai al-Mahdi adalah selari dengan apa yang diajar dalam ajaran Ahlus Sunnah wal Jama`ah.
- Pengamal yang mengamalkannya dengan penambahan tersebut dan percaya Syaikh Suhaimi sebagai Imam Mahdi; dan
- Pengamal yang mengamalkannya dengan penambahan tersebut, percaya Syaikh Suhaimi sebagai Imam Mahdi dan memaksa kepercayaan tersebut kepada orang lain.
Fenomena ajaran - ajaran sesat yang bertopengkan thariqat bukanlah perkara baru, ianya pernah berlaku, berlaku juga kini dan akan terus berlaku. Ada yang "nyaruk" atau menyamar dengan bertopengkan thariqat - thariqat yang haq seperti Thariqat Naqsyabandiah Khalidiah atau Ahmadiah atau Khalwatiah dan seumpamanya untuk menyesatkan umat. Maka tidak adil hanya kerana nama thariqat yang haq itu dihijack oleh para juhala` dan "guru" atau "syaikh" atau "abuya" yang ada tujuan duniawi, maka kita menghukum thariqat - thariqat tersebut sebagai sesat secara pukal. Oleh itu, berhati - hati dalam memvonis dan jangan melakukannya secara blanket, berlaku adillah sentiasa. Sentiasa persiapkan diri kita dengan ilmu terutama sekali ilmu - ilmu fardhu `ain sebagaimana yang diajarkan oleh para ulama kita yang muktabar, agar kita tidak mudah tersasar dan terpengaruh dengan ajaran - ajaran sesat walau apa pun rupa bentuknya, samada berserban gaya thariqat atau berseluar cingkrang gaya wahabi terlebih sunnah atau bertakbir gaya jihadi terlebih salaf. Akhir kata, faqir nyatakan bahawa tulisan ini hanyalah berdasarkan observasi faqir dan untuk keterangan lanjut, tuan - tuan carilah sendiri dengan menemui pengamal dan zuriat mereka terutama sekali zuriat Syaikh Suhaimi yang masih ada. Apa yang penting, sentiasa berhati - hati dan jangan tiada beban batu digalas.
terima kasih atas ulasan, saya secara peribadi manfaat laman tuan Abu Muhammad. isu arqam, saya tak nak lah merumitkan keadaan. akan tetapi Abuya sudah lama meninggal. dan apa jua ijtihad beliau mengenai Imam Mahdi, biarlah menjadi sejarah. yg penting ialah memurnikan kembali kefahaman mengenai Awrad Muhammadiyah. apa yg saya menilai, apa yg berlaku sewaktu Arqam, adalah berbeza dng GISB.
BalasPadamapa2 khilaf dilakukan tidak menepati yg dibentangkan oleh majlis fatwA, semoga Allah mengampuninya.
semoga kita juga jng terperangkap dalam ketaksuban melulu. dan kembali pada nasab keluarga pengamal.
terima kasih atas penjelasan tuan Abu Muhammad. laman ini bnyk manfaat jika dibaca dan diteliti kandungannya.
BalasPadammengenai isu Abuya yg sudah meninggal, rasanya biar lah isu arqam dikuburkan sekali. gerakan GISB pasa saya sangat berbeza dng Arqam dan pelaku oleh individu yg berbeza.
Saya, secara peribadi, berkata sebagai muriid Ash-Shaykh As-Sayyid Al-Ustadz Muhammad Taha As-Suhaimi رحمه الله dan pengamal Aurad Muhammadiah (yang bukan dari dahulu pengikut Al-Arqam).
BalasPadamKenyataan mengenai amalan Aurad Muhammadiah yang dikaitkan dengan Jama'ah Al-Arqam (seperti tertera dari kitab Almarhum Ust Mokhtar) sebenarnya adalah kenyataan yang tidak tepat langsung, "setengah masak" dan menunjukkan pihak penuduh tidak kemas merujuk kepada sumber yang didakwa (keluarga pengasas Aurad Muhammadiah) atau sekurang-kurangnya, pada penjelasan yang dari pihak yang dikaitkan.
Keyakinan kami ialah Jama'ah Al-Arqam atau kumpulan/syarikat baru yang mendakwa mereka sebagai pengamal Aurad Muhammadiah TIADA LANGSUNG HUBUNGAN SAH dengan Aurad Muhammadiah.
Semua tuduhan yang disebutkan oleh pihak jabatan agama atau penuduh telah selesai dijawab oleh guru kami As-Sayyid Ash-Shaykh Al-Ustadz Muhammad Taha As-Suhaimi رحمه الله (cucunda As-Sayyid Ash-Shaykh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi قدس الله سره) puluhan tahun dahulu bila tengkarah ini dimulakan oleh arwah ketua Al-Arqam dalam kitab-kitab tulisan Al-Ustadz Muhammad Taha, yang berjudul "Tiada Tengkarah Mengenai Aurad Muhammadiah" & "Jawapan Bagi Tuduhan Terhadap Sejarah Hidup Sheikh Muhammad As-Suhaimi Dan Aurad Muhammadiah".
Karangan bagi menjelaskan tuduhan-tuduhan tersebut telah diterima baik oleh pihak Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura, serta mengeluarkan fatwa berkaitan Aurad Muhammadiah "..tiada nampak apa-apa kesalahan."
Begitu juga Mufti Brunei Darussalam, Ash-Shaykh Dato' Seri Utama Dr Al-Ustadz Awang Hj Ismail bin Omar Abdul Aziz رحمه الله telah mempertahankan Aurad Muhammadiah dalam kitabnya yang berjudul "Tasawwuf Dan Thariqah Menurut Pandangan Ahli Sunnah Wal Jama'ah".
Semua penjelasan dari Mashaykh رضي الله عنهم yang kami sebutkan diatas menjawabnya dengan dalil-dalil yang kuat dan kukuh.
Elok sangat agar pihak yang menuduh tidak terkeliru dan tergopoh-gapah, dan pada waktu yang sama menguatkan lagi pihak yang memang membenci amalan Tasawwuf & Thariqah.
Allah wa Rasuluhu wa Ahlul 'Ilmi 'alam.