Untaian nazam yang dikenali sebagai Nazam Silsilah atau Nazam Munajah / Munajat atau Ubat Hati, gubahan asal berbahasa Arab dalam 33 bait karangan Syaikh Ismail bin Abdullah al-Minangkabawi al-Khalidi. Beliau rahimahullah adalah ulama besar asal Minangkabau dan wafat di Mekah. Beliau dikatakan sebagai penyebar pertama sekaligus mursyid Thariqat Naqsyabandiah Khalidiyyah di belahan bumi Melayu ini. Tidak dapat dipungkiri bahawa beliau adalah "min kibari ulama al-Jawi" (salah seorang daripada ulama besar Nusantara Tanah Jawi). Syaikh Ahmad bin Muhammad Sa`id Linggi, rahimahullah, mufti pertama Negeri Sembilan dan syaikh mursyid Thariqah Ahmadiyyah Idrisiyyah, dalam Kanzul Mu`id halaman 14 mencatat sebagai berikut:- ".....al-`Alim al-Fadhil al-Hummam al-Kamil, Shahibul Wilayah wal Karamah, asy-Syaikh Ismail al-Khalidi, yang mempunya kitab Kifayatul Ghulam dan murid mereka yang sangat alim lagi mempunyai beberapa karangan memanfaat akan manusia iaitu asy-Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani rahimahumullahu ta`ala aamiin.".
Syaikh Ismail mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam dakwah dan penyebaran agama, juga suluk perjalanan Thariqah Naqsyabandiyyah di Nusantara. Syaikh Ismail berguru dengan ramai ulama antaranya dengan Mawlana Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah. Beliau mewariskan beberapa karya tulis, sebahagian telah dicetak dan masih berada di pasaran. Karyanya juga masih ada yang dijadikan teks rujukan dan pengajian. Antara yang termasyhur daripada karangan beliau adalah kitab fiqh dasar, Kifayatul Ghulam dan kitab tawhid pengajian Sifat 20 pegangan `Asyaairah Maturidiyyah yang berjodol al-Muqaddimatul Kubra.
Berbalik kepada Nazam Munajat @ Ubat Hati, sebagai penutup, faqir nukilkan terjemahan Bahasa Melayu nazam tersebut. Nazam yang dinamakan sebagai "Ubat Hati" berisikan tawassul dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan para awliya` dalam silsilah Thariqat Naqsyabandiyyah al-Khaalidiyyah. Ianya dikarang oleh Syaikh Ismail al-Khalidi dalam tahun 1270H dalam Bahasa Arab, kemudian diterjemah dalam Bahasa Aceh oleh Syaikh Teungku Muda Muhammad Waly al-Khalidi pada tahun 1370H dan akhirnya diterjemah dengan sedikit penambahan oleh KH Teungku Muhibbuddin Waly al-Khalidi pada hari Khamis tanggal 23 Rabi`ul Akhir 1415H. Mudah-mudahan ada keberkatan yang diperolehi darinya buat kita dan sekalian umat Islam.
Terjemahan Munajat "Ubat Hati"
بسم الله الرحمن الرحيم
Mohon kami kepadaMu, wahai Allah
Dengan berkat rahsia Dzat, wahai Ghautsah
Dengan Jibril lagi berkat Nabi yang benar
Penghulu `alam sekalian Abu Bakar
Dengan berkat Salman Farisi yang mulia
Berkat Qasim berkat Ja'far yang arif raya
Berkat Abu Yazid raja para awliya`
Thaifur nama Abul Hasan masyhur raya
Berkat Abu `Ali wali di Farmadi
Berkat Yusuf Hamdan bangsa tolong madadi
Abdul Khaliq bangsa Ghajduwan baik benar
Arif bangsa Riyukiri masyhur tenar
Berkat Mahmud sudah itu berkat `Ali
Berkat Muhammad Samasi bangsa lagi wali
Berkat Kulal murid beliau Bahauddin
Imam dalam thariqat ini dengan yakin
Ala-iddin menantunya bagi puterinya
Berkat Ya'kub indah sangat pribadinya
`Ubaidillah syaikh yang banyak rahsia Tuhan
Ahrar masyhur di thariqat laqab gelaran
Syaikh yang zahid nama Muhammad wahai ikhwan
Dunia akhirat lantas Darwisy kemudian
Khawajakiy sesudah itu Syaikh Muhammad
Pemimpin kita mujaddid raya Syaikh Ahmad
Berkat Ma'sum kemudian Saifuddin
Sesudah itu Nur Muhammad syaikh yang yakin
Jani Janaan matahari terang sekali
Berkat qutub Syaikh `Abdullah megah tinggi
Maulana Khalid imam kita megah tenar
Berkat khalifah lagi saleh mulia benar
Syaikh `Abdullah turunan sayyid yang mulia
Quthubul Wujud jarang banding di dunia
Berkat mursyid lagi kamil di negeri Makkah
Cara rahsia irsyadnya itu lalu megah
Habis umur waktu duduk muraqabah
Sedang menunggu pemberian dari Allah
Beliau sedang menghadap Ka'bah yang mulia
Hampir Subuh hari `Arafah masyhur raya
Subuh Jum`at haji akbar beliau pindah
Dari dunia fana ini ke rahmatullah
Habis umur di rumahnya Jabal Qubais
Dimuliakan oleh Tuhan serta taqdis
Roh beliau sucikanlah wahai Rabbi
Terangkanlah kuburnya bernilai tinggi
Dengan berkat Syaikh Ismail guru kami
Yang menuntun thariqat ini kepada kami
Saudaranya yang mulia lapang dada
Sulaiman Qarimy mursyid megah dengan nyata
Dua khalifah dari dua mursyid tadi
Abu Bakar dengan `Umar mengikuti
Kemudian jadi khalifah `Utsman dan `Ali
Setiap mursyid mendapat izin megah jali
Dengan berkat Syaikh mulia yang terpuji
Itulah mursyid Sulaiman Zuhdi sabar tinggi
Quthubul Irsyad yang masyhur wahai rakan
Utsman Fauzi `alim `abid kepada Tuhan
Syaikh yang `arif dibangsakan kepada Shamad
Yusuf Zahid terkenal fana dalam Ahad
Mursyid kami yang terkenal wahai akhi
Beliau masyhur di negeri Kampar Abdul Ghani
Syaikh yang kamil lagi halim `inayah Rabbi
Faham yang halus mursyid kami Muhammad Wali
Angkatkanlah martabat beliau wahai Rahman
Tetapkanlah syurga tinggi kediaman
Dua khalifah yang diangkat dua maulana
Muhibbuddin Waly Idrus dua purnama
Sesudah itu `Adnan dengan Qamaruddin
Abuya wafat setelah diangkat jadi mursyidin
Syaikh Jailani Abdul Hamid kemudian
Tidak lama sudah itu Teungku Hasan
Wasiat isyarah dilakukan buah hati
Mursyid kami Kiyai Muhibbuddin Waly
Sesudah itu Teungku Jamaluddin Waly
Jadi mursyid serta Teuku Usman Fauzy
Telah sepakat atas ini semua mursyid
Doktor Muhibbuddin Waly hanya tanfidz
Gunung hakikat begitu tinggi naikkan kami
Laksana Kau tuntun kami ke thariqat ini
Minuman cinta begitu bersih minumkan kami
Agar hampir yang sempurna berikan kami
Martabat ihsan naikkan kami dengan kurnia
Matikan kami dalam iman semuanya
Martabat ihsan naikkan kami dengan kurnia
Khususkan kami mendapat sukses dalam syurga
Berikan rahmat serta salam selama-lama
Atas Nabi turunan Hasyim Ahmad nama
Atas sahabat dan pengikut keluarga
Shalawat salam tiada putus selamanya
Ismail Khalidy nama nazhim munajah ini
Hitungilah tarikh nazham huruf ini
Penterjemah Bahasa Aceh nazham ini
Syaikh murabbi harap ikhlas Tuhan beri
Nama beliau Syaikh Haji Muhammad Waly
Mohon penuh dari Allah rahsia tinggi
Penterjemah ke Bahasa Melayu tinggi
Professor kami Doktor Muhibbuddin Waly
Kedua beliau husnul khitam hai saudara
Disampaikan oleh Allah cita-cita
و صلى الله على سيدنا محمد و على آله و صحبه اجمعين
و الحمد لله رب العالمين
آمين
Bacaan Nazam Ubat Hati oleh Buya Muhibbuddin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan