Habib Alwi bin Ali al-Jufri rahimahullah dilahirkan di Gresik, Jawa Timur dan merupakan antara santri Mawlana Kiyai Khalil Bangkalan rahimahullah. Beliau terkenal sebagai ulama yang kharismatik di Situbondo dan giat berdakwah ke segenap pelosok sehingga ke Sumatera, Madura dan Kalimantan. Dalam perjalanan dakwahnya, beliau telah mendirikan sekurang - kurang 27 buah masjid dan beberapa pesantren di pelbagai daerah seperti Situbondo, Bondowoso, Madura, Solo, Jambi dan Palembang. Beliau juga dikenali sebagai seorang ahli ibadah yang sangat mendalam cinta kasihnya kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam sehingga direzekikan Allah untuk bermimpikan baginda.
Dalam satu mimpi yang terjadi di Palembang pada malam Isnin, 27 Rabi`ul Akhir, 1383H, Habib Alwi telah bermimpi bertemu dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Dalam mimpi tersebut, baginda mengajar satu shalawat yang ringkas, lalu bersabda: "Sesiapa yang ingin agar dia disampaikan Allah menziarahi al-Haramain dengan mudah, hendaklah dia membanyakkan shalawat ini: [Ya Allah, limpahkan shalawat serta salam ke atas Junjungan kami Nabi Muhammad, shalawat yang dengan keberkatannya aku dapat menziarahi kota suciMu (Mekah) dan kota sucinya (Madinah)], sekurang - kurang 25 kali setiap waktu (shalat fardhu), sebagai satu ijazah bagimu dan bagi sesiapa yang berhajat daripada kalangan umat Islam." Ketika terjaga, Habib Alwi telah menceritakanmimpinya tersebut kepada al-`arif billah KH Abdul Hamid Pasuruan rahimahullah yang langsung menulisnya. Sejak itu, shalawat ini mulai tersebar terutama sekali di kalangan para santri dan dikenali sebagai Shalawat Haji atau Shalawat Ziarah. Dengan shalawat tersebut juga, Habib Alwi al-Jufri sering digelar sebagai Shahibus Shalawat Haji @ Shalawat al-Haj.
Diceritakan bahawa sesiapa yang istiqamah mengamalkan shalawat ini, dia akan direzekikan dapat berziarah ke Baitullah untuk haji atau umrah serta dapat berziarah ke makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. KH Husein Ilyas Mojokerto, pengasuh Pondok Pesantren al-Misbar, Mojokerto, menyatakan bahawa beliau direzekikan berziarah ke al-Haramain, samada dalam rangka haji maupun umrah, sebanyak 55 kali, walaupun beliau tidak terhitung dalam kalangan orang - orang kaya, semuanya semata - mata berkat mengamalkan shalawat ini. Bahkan, beliau menyatakan sesiapa yang istiqamah melazimi shalawat ini sekurang - kurangnya 3 kali selepas setiap shalat fardhu nescaya Mekah Madinah baginya dekat, yakni dipermudahkan dia untuk pergi ke sana.
Dikisahkan lagi oleh cucu Habib Alwi, iaitu Habib Muhammad Taufiq bin Mustafa bin Alwi al-Jufri hafizahullah, pengasuh Pondok Nurul Huda, Peleyan, Kapongan, Situbondo, bahawa Habib Alwi berpesan kepada KH Hamid Pasuruan untuk mengamalkan shalawat ini kerana orang yang istiqamah mengamalkannya akan disampaikan hajatnya untuk bertawaf di Ka'batullah, hatta sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhur, samada secara jasmani atau secara rohani. Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa dan Maha Berleluasa melakukan sekehendakNya, atas kita amal atas Allah ijabah. Mudah - mudahan ada manfaatnya dan semoga dikabulkan hajat kita sekalian untuk pergi menunaikan haji dan umrah juga berkunjung ke Masjid an-Nabawi berziarah kepada Junjungan shallaAllahu `alaihi wa sallam.
KH Husein Ilyas Mojokerto
Habib Muhd Taufiq al-Jufri




_edit_150160058583857.png)