Ikhwah, kalian sememangnya sudah tahu kelebihan dan keutamaan Ayatul Kursiy, tapi biar kunukilkan sedikit buat ingatan dan moga menjadi penambah semangat untuk mengamalkannya. Mutiara ini kupetik dari kitab "al-Qirthas" karangan al-'Allaamah al-Habib 'Ali bin Hasan al-'Aththas.
- Sebahagian ulama berkata: "Sesungguhnya Ayatul Kursiy itu sebanding ganjarannya dengan sepertiga al-Quran, iaitu ia terdiri dari 50 kalimah, dan setiap kalimah mengandungi 50 keberkatan. Ianya diturunkan di malam hari."
- Muhammad bin al-Hanafiyyah berkata: "Ketika Ayatul Kursiy diturunkan, tersungkur menyembah bumi segala berhala yang ada di dunia, dan berguguran mahkota yang dipakaikan di kepala berhala-berhala tersebut; segala syaithan lari ketakutan dan saling berpukulan sesama mereka."
- Diriwayatkan daripada al-Hakim al-Turmudzi daripda Nauf al-Bukaali bahawasanya dia berkata: "Ayatul Kursiy itu disebut dalam kitab Taurat sebagai 'Waliyyatul Allah (Kekuasaan/Penjagaan Allah)' dan orang yang membacanya dikenali sebagai orang yang mulia dalam kerajaan langit. Dan adalah Sayyidina 'Abdur Rahman bin 'Auf apabila memasuki rumahnya membaca Ayatul Kursiy pada keempat-empat penjuru rumahnya."
- Sayyidina Anas meriwayatkan sebuah hadits secara marfu' bahawasanya Junjungan Nabi s.a.w. bersabda: " Allah telah mewahyukan kepada Nabi Musa a.s.: "Sesiapa yang melazimi atas pembacaan Ayatul Kursiy setiap lepas sholat, Aku kurniakan kepadanya hati-hati orang yang syukur, pahala (amalan) para nabi dan amalan-amalan para shiddiqin."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan