Ahad, Oktober 09, 2005

Hikayat Lelaki Fasiq Dengan Bulan Ramadhan

Ikhwah, rentetan dari posting yang lepas, biar kunuqilkan sebuah cerita yang disebut oleh Syaikh Zainuddin bin 'Abdul 'Aziz al-Malibari dalam kitabnya "Irsyadul 'Ibad Ila Sabilir Rasyad" mukasurat 48:-
  • Diceritakan oleh sebahagian ahli ilmu bahawasanya ada seorang lelaki bernama Muhammad yang merupakan seorang yang sering mengabaikan sholatnya. Tetapi apabila menjelang bulan Ramadhan dia menghiaskan dirinya dengan pakaian bagus dan memakai wangi-wangian, serta dia berpuasa dan menunaikan sholat, bahkan mengqadha segala sholat yang ditinggalkannya. Apabila dia ditanya mengenai perlakuannya ini, maka dia menjawab: "Ini adalah bulan taubat, bulan rahmat dan bulan berkat, aku berharap Allah mengampuniku dengan kelebihanNya", lalu dia pun mati (dalam keadaan bertaubat tersebut). Maka aku (yakni ahli ilmu tadi) telah melihatnya dalam mimpi dan aku bertanya kepadanya : "Apa yang telah diperbuat Allah bagimu ?" Dia menjawab: "Allah telah mengampuniku kerana kehormatan bulan Ramadhan."

Moga-moga kita dan sekalian umat Islam mendapat keampunan Allah.

Ikhwah sekalian, jangan pula ada yang sengaja mengikut amalan pemuda Muhammad ini dengan hanya beramal dalam bulan Ramadhan sahaja. Nasibnya baik kerana Allah melimpahkan karuniaNya dengan mematikan dia setelah taubatnya diterima. Tapi kita sendiri belum tahu samada amalan kita diterima atau tidak. Kisah ini kunuqilkan di sini hanya untuk membangkitkan semangat agar kita mengetahui dan menjaga kehormatan bulan Ramadhan ini dengan sebaik mungkin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan