Ikhwah, dalam kitab fiqh dinyatakan bahawa orang yang sholat qadha boleh berimamkan orang yang sholat sunnat, asalkan kaifiat sholatnya sama walaupun bilangannya tidak sama. Ianya dihukumkan sebagai khilaful awla atau khilafus sunnah, oleh itu ianya tidak sampai ke darjat makruh. Maka, insya-Allah masih mendapat pahala jemaah. Oleh itu, untuk mengamal qawl yang asah dalam mazhab hendaklah ikhwah yang pernah meninggalkan sholat fardhu dengan sengaja tanpa uzur (INGAT: kejahilan bukan satu keuzuran) melakukan sholat qadha berimamkan dengan orang yang sholat tarawih, qadha apa pun boleh, kalau tak mahu orang tahu qadha subuh sahajalah dan bolehlah baca qunut pendek tanpa mengangkat tangan. Tapi ingat hanya niat qadha sahaja jangan disertakan niat tarawih bersama, nanti tak sah pulak sholat. Insya-Allah kalian dapat fadilat berjemaah dan fadilat menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan beribadat, sebagaimana dinyatakan oleh Almarhum Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, mantan Mufti Kerajaan Negeri Sarawak, dalam jawapannya kepada masalah 22 dalam buku "40 Kemusykilan Agama" antara lain:-
- ..."orang yang mengqadakan sembahyang fardu di belakang orang-orang yang sembahyang tarawih dalam bulan Ramadan itu dia mendapat fadilat atau kelebihan berjemaah dan pahala menghidupkan syiar Ramadan maka yang demikian memanglah benar kerana beribadat dalam bulan Ramadan dengan apa jua ibadatnya nescaya kita diberi pahala yang lebih istimewa daripada bulan-bulan atau masa-masa yang lainnya...
Jadi ikhwah sekalian, jangan pula menunggu bulan Ramadhan untuk membayar qadha fardhu, kerana asas hukumnya ialah SHOLAT FARDHU YANG DITINGGAL DENGAN SENGAJA WAJIB DIQADHA ATAS BERSEGERA. Kepada ikhwah yang hendak sholat tarawih juga walaupun hutang berkoyan-koyan belum langsai, maka terpulanglah kepadanya untuk mencari aqwal dari mazhab-mazhab lain yang membolehkannya atau berpegang kepada qil dalam mazhab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan