Rabu, Disember 21, 2005

Syaikh Ahmad al-Fathoni - Murid Sayyidi Ahmad

KENANGKAN SYAIKH WAN AHMAD ULAMA GEMILANG

Kenangkanlah sumbangan Tok Wan Ahmad
Ulama gemilang penyuluh zaman
Penulis cemerlang pembawa harapan
Perintis perjuangan anak bangsa dan watan
Penyambung faham dari rantaian ulama silam
Serta bersedia bagi berdepan perubahan mendatang

Tok Wan Ahmad milik seluruh ummah bangsa ini
Nasab bapanya keturunan besar dari Patani
Serta ibunya berasal dari Pasir Mas Kelantani
Nama dan jasanya terlalu indah bagi dikenangi

Tok Wan Ahmad dalam usianya sesingkat itu
Menabur jasa buat para penuntut serta guru
Mewaris tulisan dan cara fikir yang jitu
Menumbuhkan semangat serta kegigihan yang baru
Mencambahkan ulama dan pentadbir bangsa Melayu

Tok Wan Ahmad mudanya penuntut Azhar dan Makkah
Hebat berpuisi serta syair dia bermadah
Sehingga cantiknya bahasa dan bidalan digubah
Mempunyai sarat erti penuh hikmah
Kebenaran disampainya dengan bahasa yang tersangat indah

Tok Wan Ahmad ke Istanbul berjumpa Abdul Hamid Sultan Uthmani
Membawa harapan bangsa agar kitab Melayu dapat dicetaki
Maksudnya termakbul dan disambut Sultan dengan penuh ikrami
Tok Wan juga menziarahi Beirut menemui Syaikh Yusuf an-Nabhani
Ulama kerohanian pembela mazhab dan pencinta Ahla al-Baiti
Kemudian ke Qahirah berjumpa Muhammad Abduh syaikh al-Azhari
Pemikir cara baru perintis perubahan bagi sebahagian ummah ini

Tok Wan Ahmad hampir 100 tahun telah pergi
Jasa dan pusakanya belum sempat habis kita gali
Kerdilnya bangsa sekiranya tokoh agung ini terus dilupai
Kerana sibuk dengan kemajuan dan bahas duniawi
Sehingga warisan agung bangsa tiada mahu kita fahami

Marilah kita jernihkan hati dan perasaan
Kita menumpang tuah tokoh ini yang penuh keberkatan
Kita akur anjurannya agar dilaksanakan kemuafakatan
Kita dabikkan perasaan yang agama akan kita dirikan
Kita azamkan putus bagi maksiat kita tumbangkan
Fahaman ulama silam akan terus kita sambungkan
Agar Melayu kita akan menjadi bangsa gemilang

Marilah kita turuti saranan Tok Wan Ahmad
Kita jadikan bumi ini perbendaharaan ilmu, perladungan kepandaian
Kita gunakan kemudahan sezaman untuk menegak agama anutan
Agar Melayu ini bertambah kemajuan di dalam taatnya kepada Tuhan
Agar Melayu ini akan berdaulat berumbikan faham keagamaan
Agar Melayu ini punyai nilai diri dan bukan sekadar buih lautan

Tok Wan Ahmad berada pada gerbang zaman
Selayaknya kita jadikan dia imam ikutan
Bagi berdepan dengan zaman yang penuh cabaran
Nilai agama dan maruah bangsa sedang dikoyakkan
Oleh anasir-anasir yang benci kepada kebajikan

Ingatlah pesan Tok Wan Ahmad
Tegakkan agama, teguhkan bangsa, binalah tanah air tercinta
Sebagai watan Islami yang berdaulat merdeka
Sehingga kita menjadi Melayu berakal budi,
hebat berfikir, indah budaya
Memiliki keberkesanan cara siyasahnya,
bijak mendalam faham ilmunya
Umpama pohon bertunjang teguh di bumi,
dahannya menyentuh awan yang tinggi
Serta mengeluarkan buahannya apabila sampai detiknya nanti

Tok Wan Ahmad
Hari ini kami berhimpun bagi mendapat sedikit fahaman
Dari warisan Tok Wan yang nilainya gilang cemerlang
Semoga kami semuanya mendapat restu taufik dari Tuhan
Rahmat-Nya tercurah dengan penuh keberkatan
Wahai Tuhan, anugerahilah kami kekuatan bagi mendapat pengertian
Serta bagi kami amalkan pusaka berharga tinggalan Tok Wan

Amin
Bi jahi Sayyidil-Mursalin
Wa alihi wa sahbihi ajmain
Ya Rabbal-'Alamin

  • Puisi oleh 'Abdullah Zaidi bin Hassan, Himpunan Pencakna Budaya Kelantan

Ikhwah, sekelumit berhubung orang besar dari Fathoni Darus Salam ini. Ulama terbilang menjadi penyambung sanad ilmu Junjungan s.a.w. kepada ulama kita di Nusantara ini. Cukuplah kemuliaan Syaikh Wan Ahmad, muridnya Tok Kenali al-Kelantani. Antara gurunya ialah Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan. Di sinilah bahayanya tuduhan puak Wahhabi yang Sayyidi Ahmad Zaini Dahlan itu tukang fitnah. Rosak dan cederalah nasab keilmuan ulama kita, punahlah agama rosaklah bangsa. Timbul bangsa yang ego dan biadap, bertuhankan akal sendiri semata bertopengkan naqal. Adakah ini yang kita mahu. Allahu... Allah. Aku akhiri dengan puisi jugaklah, betul tak betul wazan dan timbangannya hentamlah, janji faham.

Wahai Sunniyun Syafi`iyyun,
Bangun kamu dari tidur
Pertahankan ulama yang jadi sandaran
Kalau ulama membiar anjing menyalak bukit
Itu kerana tawadhunya mereka
Tapi jangan pula kita
Anjing segera dihalau pergi
Kerna silap-silap penyakit anjing gila kan berleluasa
Setidak-tidaknya jika dibiarkan kenak bersertu pulak kita
Ulama kita pantang dicaci,
Pantang dinista, pantang dikeji
Kerna ulama itu bapak kita
Bapak pada ilmu kita
Nak komen, nak tegur, biar berpada
Jangan penumbuk sampai ke muka
Nanti bertabur gigi merata
(p/s -Jangan Marah, Puisi Samseng)
  • Hadiah al-Fatihah buat Syaikh Ahmad dan Sayyidi Ahmad Zaini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan