Khamis, Mac 08, 2007

100 Hajat

Aku sekadar ingin mengingatkan diri dan sesiapa yang sudi agar sentiasa bersholawat atas Junjungan Nabi s.a.w. Sholawat yang diucapkan dengan penuh kerinduan kepada sebaik-baik ciptaan Tuhan dan kekasihNya. Sholawat yang diharap menarik keredhaan Ilahi dan syafaat Nabi s.a.w. Sholawat yang kelebihannya buat diri kita tak dapat diperi-peri. Antaranya sebagaimana dinyatakan bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:
"Sesiapa yang bersholawat ke atasku pada setiap hari 100 kali, nescaya ditunaikan Allah baginya 100 hajat, 70 daripada hajat akhiratnya dan 30 hajat dunianya."
Aku hanya berkesempatan melihat komentar Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam "ad-Durrul Mandhud" berhubung hadits ini, di mana beliau rahimahUllah menyatakan bahawa hadits tersebut dikeluarkan oleh Ibnu Mundah dan Abu Musa al-Madini menyatakan bahawa ianya adalah hadits ghorib hasan.

Oleh itu ikhwah sekalian
Baik lelaki maupun perempuan
Setiap waktu dan ketika berilah perhatian
Dengan tulus ikhlas dan penuh kerinduan
Lidah kalian basahkan dengan sholawat Junjungan
Dengarlah madah ulama budiman

إذا كنت في ضيق و هم و فاقة
و أمسيت مكروبا و اصبحت في حرج
فصل على المختار من آل هاشم
كثيرا فإن الله يأتيك بالفرج

idza kunta fi dhiiqin wa hammin wa faaqati
wa amsaita makruuban wa ashbahta fi haraji
fa sholli 'alal Mukhtaari min aali Haasyimi
katsiran fa innAllaha ya`tiika bil faraji

Jika engkau dalam kesempitan, kedukaan dan kesusahan
Petang menderita kesedihan
Pagi menanggung kesengsaraan
Bersholawatlah atas nabi keturunan Hasyim rasul pilihan
Dengan sebanyak-banyak bilangan
Nescaya Allah kan mendatangkan bagimu segala kelapangan

اللهم صل على النبي الهاشمي
سيدنا محمد و على آله و صحبه و سلم تسليما

Tiada ulasan:

Catat Ulasan