Ahad, Mac 25, 2007

Sekarang Wahai 'Umar

Cinta dan kasih kepada Junjungan Nabi s.a.w. adalah kewajipan bagi setiap umatnya. Tidak ada keimanan bagi orang jika tidak punya rasa cinta kepada Junjungan s.a.w., juga tidak sempurna keimanan seseorang jika cinta dan kasihnya kepada Junjungan Nabi s.a.w. tidak melebihi kasihnya kepada yang lain. Junjungan Nabi s.a.w. adalah manusia yang paling utama untuk dicintai, dikasihi, dituruti dan dijadikan contoh demi meraih keredhaan Allah untuk kebahagiaan dunia dan akhirat.

Imam al-Bukhari dalam shohihnya meriwayatkan bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-

لا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حتى أكونَ أَحَبَّ إليهِ مِنْ والِدِهِ وَوَلَدهِ والنَّاس أَجْمَعين
Tidak (sempurna) iman seseorang daripada kamu sehinggalah aku yang paling dicintainya melebihi ayahnya, anaknya dan manusia lain sekaliannya.
Juga disebut dalam sebahagian riwayat bahawa Junjungan s.a.w. bersabda:

والذي نفسي بيده لا يؤمن أحدكم حتى أكون أحب إِليه
من نفسه وماله وولده والناس أجمعين

Demi Tuhan yang diriku dalam kekuasaanNya, tidak (sempurna) iman seseorang daripada kamu sehinggalah aku yang paling dikasihinya melebihi kasihnya kepada dirinya sendiri, harta bendanya, anaknya dan manusia sekaliannya.
Imam ath-Thobarani dan Imam al-Baihaqi pula telah meriwayatkan bahawa Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:

لا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حتى أكونَ أَحَبَّ إليهِ من نفسه
و اهلي احب اليه من اهله و عترتي احب اليه من عترته
و ذريتي احب اليه من ذريته

Tidak (sempurna) iman seseorang daripada kamu sehinggalah aku yang paling dikasihinya melebihi dirinya sendiri; Keluargaku dikasihinya melebihi keluarganya; Keturunanku dikasihinya melebihi keturunannya; Dan zuriatku dikasihinya melebihi zuriatnya.
Inilah juga yang diisyaratkan Allah dalam firmanNya yang mulia:-

النَّبِيُّ أَوْلَى بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنْفُسِهِمْ
Nabi lebih utama bagi orang-orang yang beriman daripada mereka sendiri.
Pernah berlaku satu dialog antara Junjungan Nabi s.a.w. dengan sahabatnya Sayyidina 'Umar r.a. seperti berikut:


أن عمر رضي الله عنه قال: يارسول الله، والله لأنت أحب إِلي من كل شيء إلا من نفسي
فقال صلى الله عليه وسلم «لا ياعمر حتى أكون أحب إِليك من نفسك»
فقال: يارسول الله، والله لأنت أحب إِلي من كل شيء حتى من نفسي،
فقال صلى الله عليه وسلم :الآن ياعمر

Bahawasanya Sayyidina 'Umar r.a. telah berkata kepada Junjungan Nabi s.a.w.: "Wahai Rasulullah, demi Allah engkaulah yang paling aku cintai daripada segala sesuatu selain diriku sendiri." Maka Junjungan Nabi s.a.w. menjawab: "Tidak wahai 'Umar, sehingga aku yang paling dicintai olehmu melebihi dirimu (yakni belum sempurna keimanan dan kecintaan kepada Junjungan s.a.w. sehingga dia mencintai baginda melebihi cintanya kepada dirinya)." Sayyidina 'Umar r.a. terus berkata: "Wahai Rasulullah, demi Allah engkaulah yang paling kucintai daripada segala sesuatu hatta diriku sendiri." Junjungan s.a.w. menjawab: "Sekarang, wahai 'Umar (yakni sekarang setelah kecintaanmu terhadapku melebihi segala sesuatu termasuk dirimu sendiri barulah sempurna keimanan dan kecintaanmu itu)."
Lalu kita bagaimana ? Setinggi manakah kecintaan kita kepada Junjungan s.a.w.? Bila agaknya keimanan kita hendak disempurnakan? Terpulanglah kepada masing-masing untuk menjawab dan mengukurnya sendiri. Mudah-mudahan tahun ini, kecintaan kita kepada Junjungan semakin meningkat dengan cinta yang benar yang dibuktikan dengan kesungguhan kita mengikuti segala sunnah dengan rasa mahabbah yang sempurna. Akhir kata, ingatlah kalam hukama` yang menyatakan:-

من علامة حب الله حب حبيبه

Antara tanda cintakan Allah adalah cintakan kekasihNya

************************************




Tiada ulasan:

Catat Ulasan