Tiba lagi bulan Allah, bulan yang berkah, bulan haram yang sendirian. Bulan berlakunya isra` dan mi'raj Junjungan Nabi SAW. Marilah kita mempertingkatkan amalan sholeh kita, amalan yang menjadi sebab bagi kita memperolehi rahmat Ilahi, amalan yang menjadi teman yang menyenangkan dalam kubur nanti, sebelum disenangkan dengan kesenangan abadi dalam syurga yang penuh kenikmatan. Bercakap tentang kubur, maka ianya adalah manzilah pertama bagi setiap insan setelah meninggalkan dunia yang fana menuju ke negeri baqa'. Apabila kita mati, maka dalam kubur tiada sapa yang sudi untuk bersama. Hanya amalan kita sahaja yang sudi, sedangkan yang lain, baik berupa harta, anak-isteri semuanya kembali, setelah tanah menutupi jenazah kita. Tinggallah kita seorang diri, mengharapkan rahmat ihsan kasihan belas Yang Maha Esa. Allahu ... Allah. Mari perhati syair yang dinukil oleh Syaikh Ibnu Hajar al-`Asqalaani asy-Syafi`i rahimahUllah dalam karya beliau "al-Isti'daad li yawmil ma`aad" berbunyi:-
Wahai insan yang dunia jadi kesibukannyaTelah tertipu ia oleh panjang angannya
Atau yang sentiasa dibuai kelalaianya
Hingga ajal datang mendekatinya
Sungguh mati itu tiba-tiba datang mengejutkannya
Dan kubur itu peti segala amalannya
Bersabarlah atas segala kepayahan dunia
Tiada mati melainkan dengan ajalnya
Hujjatul Islam Imam Abu Hamid al-Ghazali rahimahUllah dalam karya beliau "Mukaasyafatul Quluub" membawa sebuah cerita yang berhubung kait dengan amal sholeh dan bulan Rajab. Ini hanyalah sebuah kisah, terpulanglah untuk percaya atau tidak, sesiapa yang percaya mudah-mudahan dapat dijadikan iktibar juga panduan serta jadi pemangkin untuk menambahkan lagi amalan dalam bulan yang mulia ini. Sesiapa yang tidak percaya, maka terpulanglah, tiada siapa yang hendak memaksanya untuk percaya. Hujjatul Islam al-Ghazali menukilkan dalam bab ke-100 kitab tersebut, kisah seperti berikut:-
Diceritakan bahawa ada seorang wanita di Baitul Muqaddis (tepatnya Baitul Maqdis @ Baitul Muqaddas) yang menjadikan 12,000 kali Suratul Ikhlash sebagai wiridnya setiap hari di bulan Rajab. Dalam bulan ini, dia mengenakan pakaian dari shuf (yakni sebagai tambahan dan pernyataan sifat zuhudnya). Tatkala dia sakit, dia berwasiat kepada anaknya agar dia dikafankan dengan kain shufnya tersebut. Namun ketika dia mati, dia telah dikafankan dengan kain yang elok. Maka anaknya bermimpi ibunya berkata: "Aku tidak redha kepadamu kerana engkau tidak melaksanakan wasiatku." Terjagalah anaknya itu dengan perasaan cemas, lalu dia mengambil kain shuf ibunya agar dapat dikebumikan bersama ibunya. Maka dia pun menggali kubur ibunya dan tidaklah dia tidak bertemu dengan jenazah ibunya itu, hairanlah anak tersebut lalu dia mendengar satu seruan yang berbunyi: "Tidakkah engkau tahu bahawa orang yang mentaati Kami dalam bulan Rajab tidak Kami tinggalkan sendirian seorang diri. (yakni ditinggal sendirian dalam lubang kubur)".Allahu ... Allah, bagaimanakah keadaan kita nanti dalam kubur? Sendirian ? Bertemankan kala dan ular? Allahu.. Allah. Mudah-mudahan kuburan kita nanti menjadi taman syurga dan bukannya jurang api neraka.
************************************
اللهم بارك لنا في رجب و شعبان و بلغنا رمضان
اللهم بارك لنا في رجب و شعبان و بلغنا رمضان
Ust,
BalasPadamboleh tulis sedikit berkenaan 'solat pengiring' yakni solat sunat yg dilalukan (amalan org tua di kampung) oleh yg hidup atas niat utk mengiring simati dalam kubur