Khamis, Jun 25, 2009

Zakat Untuk Ahlil Bait

Menurut Mazhab Syafi`i, para saadah yang mulia yang mempunyai titihan yang bersambung kepada Junjungan Nabi s.a.w. tidak diboleh menerima pembahagian daripada sedekah yang wajib, samada ianya berupa zakat atau selainnya seperti sedekah nazar (yang umum), kafarah, dam dan sebagainya. Jika zakat atau yang seumpamanya diberikan kepada mereka, maka tidaklah sah zakat tersebut dan pengeluarnya kena menunaikan kembali zakatnya. Dalam bab ini (yakni bab zakat) yang dimaksudkan dengan Ahlul Bait adalah Bani Hasyim dan Bani Muthalib. Maka keturunan dari dua kabilah yang mulia ini diharamkan menerima bahagian daripada zakat dan sedekah yang wajib. Inilah qawl yang muktamad dalam mazhab kita. Walau bagaimanapun, ada pendapat kedua dalam mazhab kita yang dipegang oleh para imam terkemuka, yang membenarkan pemberian zakat kepada Ahlul Bait yang layak (yakni yang termasuk dalam salah-satu asnaf yang delapan). Tidak kurang daripada 27 orang ulama besar daripada mazhab kita yang mendokong pendapat yang kedua ini.

Untuk penjelasan lanjut, kita rujuk kitab "Bughyatul Mustarsyidin" karya Habib 'Abdur Rahman al-Masyhur, mufti Hadhramaut, di mana beliau rahimahUllah, pada halaman 106 - 107 menulis:-

Telah ittifaq (sepakat) jumhur ulama asy-Syafi`iyyah untuk menegah pemberian zakat dan seumpamanya segala pemberian yang bersifat wajib seperti nazar dan kafarah, kepada ahli keluarga Junjungan Nabi SAW (ahlil bait), walaupun mereka tidak mendapat hak mereka daripada khumusul khumus. Dan demikianlah pula hukumnya bagi para mawali mereka menurut qawl yang ashoh. Walaubagaimanapun, ramai ulama terdahulu dan yang datang kemudian telah memilih untuk menghukumkan jawaz / jaiz (yakni mubah atau harus) memberi zakat kepada mereka ketika putus daripada mereka hak mereka daripada khumusul khumus. Di antara ulama yang berpendapat sedemikian adalah al-Ishthikhari, al-Harawi, Ibnu Yahya, Ibnu Abi Hurairah, al-Fakhrur Razi beramal dan berfatwa dengannya, Qadhi Husain, Ibnu Syukail, Ibnu Ziyad, an-Naasyiri dan Ibnu Muthir. Telah berkata al-Asykhar: "Mereka-mereka ini (yakni para ulama yang tersebut tadi) adalah imam-imam besar yang fatwa mereka mempunyai kekuatan, oleh itu adalah harus untuk bertaklid kepada mereka dengan taklid yang sah dengan syaratnya kerana darurat dan lepaslah tanggungan ketika itu (yakni lepaslah tanggungan kewajipan mengeluarkan zakat apabila ianya diberi kepada mereka kerana ketika itu dihukumkan sah zakat yang dikeluarkan kepada mereka), akan tetapi pendapat ini hanyalah untuk amalan pribadi dan bukan untuk dijadikan fatwa umum atau dijadikan hukum dengannya.

Dan telah menyalahi akan fatwa tersebut al-`Allaamah Sayyid 'Abdullah bin 'Umar bin Abu Bakar BinYahya yang berpendapat bahawa: " Tidak harus memberikan (zakat dan seumpamanya) kepada mereka (yakni ahlil bait) secara mutlak, dan sesiapa yang mengharuskannya, maka dia telah keluar daripada mazhab yang empat (yakni keluar daripada qawl muktamad yang dipegang oleh keempat-empat mazhab), maka tidak harus untuk dipegang kerana terdapatnya ijma` di sisi mereka (yakni di sisi ulama mazhab yang empat) untuk menegah pemberian zakat kepada mereka (yakni ahlil bait)".

Faedah: Telah berkata Imam al-Kurdi: "Dan seperti hukum zakat yang tidak dibenarkan diberi kepada dzawil qurba (kaum-kerabat Junjungan Nabi SAW yakni dalam mazhab kita mereka adalah Bani Hasyim dan Bani Muthalib) adalah segala pemberian yang wajib seperti nazar, kafarah, dam haji, korban wajib dan bahagian yang wajib diberikan kepada fakir dalam korban yang sunat (yakni bahagian yang wajib disedekahkan kepada fakir). Dan difahami daripada kata beliau "seperti nazar" itu adalah nazar yang mutlak dan yang muqayyad seperti nazar bagi golongan fakir dari kalangan umat Islam. Adapun nazar yang tertentu bagi seseorang atau satu kabilah daripada mereka (yakni daripada segala kabilah dzawil qurba) maka sahlah nazar tersebut (yakni jika seseorang bernazar untuk memberi sesuatu kepada seorang habib atau bernazar untuk memberi sesuatu kepada keluarga al-Haddad umpamanya, maka nazar tersebut adalah sah dan bolehlah diberikan kepadanya).
Begitulah hukumnya pemberian zakat kepada keluarga mulia Junjungan Nabi SAW. Adapun sedekah-sedekah biasa maka tidaklah menjadi kesalahan untuk diberi kepada ahlil bait dan tidak pula menjadi kesalahan untuk mereka menerimannya. Hanya sedekah yang wajib seperti yang diperkatakan di atas sahaja yang mempunyai tegahan. Maka janganlah terkeliru mengenai dua perkara ini, iaitu antara sedekah wajib dengan sedekah sunnat. Berbalik kepada sedekah yang wajib, jika kita mengeluarkan zakat kepada ahlil bait, maka hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu kepadanya sebab mungkin dia bersikap warak dan tidak mahu menerimanya kerana mengambil jalan ihtiyath dengan berpegang kepada qawl mu'tamad dalam mazhab. Seperkara lagi yang patut diberikan perhatian terutama bagi sesiapa yang memegang tampuk pemerintahan adalah hukum-hakam mengenai khumus. Diharap para ulama dapat membantu memperjelaskan konsep khumus tersebut dan apa-apa harta yang termasuk dalamnya seperti harta fai`, ghanimah dan seumpamanya. Jika wujud khumus, maka ianya menjadi kewajipan pemerintah untuk membahaginya menurut hukum syarak yang mulia termasuklah kepada ahli keluarga Junjungan Nabi SAW daripada kalangan Bani Hasyim dan Bani Muthalib menurut mazhab kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan