Ahad, Julai 26, 2009

Dalam BaitUllah

BaitUllah yang berdiri megah di tengah Masjidil Haram yang suci menjadi kiblat umat Islam. Ramai yang teringin bahkan ada yang mengidam nak masuk ke dalam rumah Allah yang mulia ini. Tapi bukan semua yang direzekikan untuk itu. Maka untuk mengubat sedikit kerinduan, jikalah dapat diubatkan, ese letakkanlah di sini keratan rentas BaitUllah yang mulia, juga rakaman video keadaan di dalamnya. Moga Allah memberikan rezeki kepada kita untuk menziarahi BaitUllah al-Haram dan memuliakannya. Itu yang paling utama memuliakannya demi kerana Allah SWT. Kalau setakat berkunjung atau melawatnya macam melawat tempat-tempat lain, apalah manfaatnya bagi peningkatan keimanan dan ketaqwaan kita kepada yang Empunyanya. Memuliakannya sebagaimana diperintahkan itulah yang utama, apalah erti ziarah kepadanya tanpa memuliakannya. Bukankah Junjungan Nabi SAW mengajar kepada kita agar mendoakan agar kemuliaan Baitullah terus bertambah dan cemerlang sebagaimana masyhur dalam doa baginda tatkala memandang kepada BaitUllah dengan doanya seumpama:-

Ya Allah tambahkan akan rumah ini kemuliaan, kebesaran, keagungan dan kehebatan; Dan tambahkan bagi sesiapa yang memuliakannya dan yang mengagungkannya daripada kalangan mereka-mereka yang mengerjakan haji atau umrah akan kemuliaan, kebesaran, keagungan dan kebajikan. Ya Allah, Engkau Pemberi Kesejahteraan, daripadaMu kesejahteraan, hidupkanlah kami wahai Tuhan kami dalam kesejahteraan.
Allahu ... Allah, juga turut didoakan dalam doa tersebut, orang-orang yang memuliakan dan membesarkan BaitUllah. Maka janganlah jadi seperti Abu Jahal atau Abu Lahab yang saban hari memasuki BaitUllah, tetapi yang dimuliakan adalah segala berhala yang menjadi sembahan mereka dan bukannya BaitUllah dan Pemiliknya, Allah yang Maha Esa. Oleh itu muliakanlah BaitUllah al-Haram demi mematuhi perintah Pemiliknya yang memerintahkan kita agar memuliakannya. Mudah-mudahan dengan itu kita pun akan turut dimuliakan oleh Allah di dunia dan di akhirat nanti.

*************************************
Rakaman Dalam BaitUllah

2 ulasan:

  1. assalamualaikum. Maaf, saya nak tumpang tanya. pada peristiwa Israk Mikraj ini, adakah Nabi betul-betul bersemuka dengan Allah? iaitu satu kelebihan yang diberi lebih berbanding nabi Musa yang hanya dinampakkan cahaya kepada baginda. Sebab saya pernah dengar ceramah waktu kecik-kecik dulu kata macam tu. Kalau salah tolong betulkan saya.

    BalasPadam
  2. Sidi,ada tak dalil atau kalam ulama yg membuktikan bahawa saat terbukanya pintu Ka'abah yg mulia sebagai salah satu saat dikabulkan doa?

    BalasPadam