Sabtu, September 19, 2009

'Eid Mubarak

Selamat Menyambut Hari Raya 'Aidil Fithri. Maaf Zahir & Batin. Mudah-mudahan kita dirahmati dan diberkati Allah SWT sentiasa, tiap masa, tiap ketika. Jangan pula lupa untuk terus menghidupkan malam raya ini dengan amal - ibadah seumpama malam - malam Ramadhan yang lepas, dengan berzikir terutama sekali bertakbir serta bertahmid, berqiyamullail, bersholawat dan berdoa kepada Allah SWT. Sungguh telah warid beberapa hadits mengenai keutamaan menghidupkan malam hari raya dengan ibadah. Dan inilah yang sering dilalaikan oleh kita yang mengambil malam raya sebagai malam untuk beristirehat setelah berqiyam dalam malam-malam Ramadhan. Moga dengan menghidupkan malam ini dengan ibadah, Allah akan terus menghidupkan hati kita dengan keimanan, keyakinan, ketakwaan, mahabbah dan makrifah. Justru menjadikan hati tersebut qalbun salim (hati yang sihat sejahtera yang diredhai Allah).

Maka telah berkata Imamuna an-Nawawi dalam karya beliau, "al-Adzkaar" pada "bab al-adzkaar al-masyruu`ah fi al-'eiidain" seperti berikut:-

Ketahuilah bahawasanya mustahab hukumnya menghidupkan malam dua hari raya dengan berzikir kepada Allah dan sembahyang serta melakukan lain-lain amalan ketaatan kerana telah warid hadits berhubungan dengannya: "Sesiapa yang menghidupkan malam dua hari raya (yakni malam hari raya `aidil fithri dan malam hari raya 'aidil adha), nescaya tidak akan mati hatinya pada hari matinya segala hati." dan "Sesiapa yang mendirikan malam dua hari raya kerana Allah semata-mata, nescaya tidak akan mati hatinya ketika matinya segala hati". Demikianlah hadits sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam asy-Syafi`i dan Ibnu Majah, dan ianya adalah hadits dho'if yang kami riwayatkan daripada riwayat Abu Umamah secara marfu' dan mawquf, dan kedua-duanya adalah dho'if, akan tetapi hadits-hadits berhubung dengan persoalan fadhail tidaklah mengapa untuk dijadikan amalan sebagaimana telah kami dahulukan sebutannya pada awal kitab ini.

Para ulama telah berbeza pendapat mengenai kadar bagi menghasilkan menghidupkan malam tersebut, maka pendapat yang adzhar ianya tidaklah terhasil melainkan dengan menghidupkan sebahagian besar malam tersebut. Dan terdapat juga qil yang menyatakan bahawa terhasil walaupun dengan sebentar.
Selain daripada itu, maka Syaikh Abdul Hamid Quddus @ Kudus menulis dalam "Kanzun Najaah was Suruur" halaman 111 beberapa amalan yang dianjurkan pada hari raya, antaranya:-

Daripada Junjungan Nabi SAW: "Sesiapa yang mengucapkan سبحان الله و بحمده tiga ratus (300) kali dan dihadiahkan pahalanya kepada kaum muslimin yang telah meninggal dunia, dimasukkan dalam setiap kubur mereka 1000 nur dan dijadikan Allah baginya ketika dia mati 1000 nur dalam kuburnya."
Mudah - mudahan Allah SWT menerima segala amalan kita dan inilah sebahagian lagi zikir yang dianjurkan oleh ulama kita untuk diamalkan pada pagi hari raya.


**************************************
عيد مبارك كل عام و أنتم و أهليكم بخير

3 ulasan:

  1. Assalamu alaikum Saudar Abu Muhammad,

    Selamat beribadah Syawal dan didoakan semoga Allah SWT memmberi ganjaran yang tertinggi kepada seluruh ummah; dan semoga keberkatan Ramadhan dan amalan-amalan padanya, menyatukan ummah pada suatu jumaah yang kuat dan berdispilin.

    Jazakallah atas segala ilmu yang anta telah lengkapkan dan amat memanfaatkan diri ana.

    BalasPadam
  2. Assalamu alaikum,

    Harap nasihatkan tentang adab membaca Solawat Baasha-iral Khairat.

    BalasPadam
  3. Wa 'alaikumus salam,

    Boleh Tuan hantar email kepada ambo berhubung perkara ini.

    Was-salam.

    BalasPadam