Lailatul Qadr antara hadiah Allah SWT kepada umat ini. Di mana segala amalan yang dilakukan dalam malam tersebut akan digandakan balasannya sehingga melebihi 1000 bulan (bukan sama dengan 1000 bulan tetapi lebih baik daripada itu .... Allahu Allah). Maka hendaklah kita bersungguh - sungguh mencari saat yang teramat berkat ini, janganlah umur kita habis tanpa memperolehi anugerah Allah SWT yang besar ini. Hendaklah kita terima hadiah Allah ini dengan memperbanyakkan amalan-amalan saleh yang diredhai Allah dengan tulus ikhlas semata-mata inginkan keredhaanNya. Telah masyhur Junjungan Nabi SAW menyuruh kita mencarinya pada sepuluh malam yang terakhir dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, terutama sekali pada malam-malam yang ganjil padanya. Juga sebahagian ulama telah membuat rumusan mencari Lailatul Qadr seperti yang ese pernah tulis dahulu. Sesiapa yang berhajat bolehlah klik di sini.
Jika kita tidak mampu menghabiskan malam-malam Ramadhan kita dengan banyak berqiyamullail, maka jangan pula kita sampai terlalai menghidupkannya walaupun sekadar dua rakaat. Atau setidak-tidaknya, kita menjaga dan memberi perhatian untuk sembahyang Subuh dan Isya` dengan berjemaah. Dan perbanyakkanlah berdoa dengan doa yang diajarkan Junjungan Nabi SAW kepada Sayyidina Mu`adz RA, agar dengannya Allah sudi memberikan kita inayahNya untuk berzikir kepadaNya, bersyukur atas segala ni'mat kurniaanNya serta menjalani ibadah kepadaNya dengan sebaik-baiknya. Sungguh kita hambaNya yang lemah .... Allahu ... Allah. Doa ini Junjungan pesankan kepada Sayyidina Mu`adz RA agar sentiasa diamalkan setiap lepas sholat, sebagaimana sabdaan mulia baginda SAW yang diriwayatkan dengan sanad yang sahih dalam Sunan Abu Daud dan an-Nasaa-i sebagai berikut:-
Bahawasanya Junjungan Rasulullah SAW telah mengambil tanganku dan bersabda: "Wahai Mu`adz, demi Allah aku mengasihimu". Kemudian baginda meneruskan sabdaan: "Aku wasiatkan kepadamu wahai Mu`adz, jangan engkau tinggalkan berdoa selepas setiap sholat dengan doa: Ya Allah, tolonglah aku untuk berzikir kepadaMu, bersyukur kepadaMu dan perbaikkanlah ibadahku kepadaMu."Tanpa inayah Allah, pasti kebinasaan menunggu kita.... Allahu .. Allah. Sekarang ese nak kongsikan cuplikan dari apa yang tercatat dalam "Kanzun Najaah was Suruur" halaman 102 karya Syaikh 'Abdul Hamid Qudus @ Kudus rahimahUllah, ulama besar Nusantara yang menjadi tenaga pengajar di Masjidil Haram serta menjadi imam bagi pengikut mazhab asy-Syafi`i di Maqam Ibrahim dalam masjid yang mulia tersebut, sebagai berikut:-
Telah diriwayatkan oleh al-Khathib dalam "at-Tawaarikh" daripada hadits Sayyidina Anas RA yang menyatakan bahawa: " Sesiapa yang sembahyang pada malam Lailatul Qadr akan sholat 'Isya` dan sholat Subuh berjemaah, maka dia telah memperolehi bahagian yang banyak daripada Lailatul Qadr (yakni daripada ganjarannya)." Dan Sayyidah `Aishah RA meriwayatkan bahawa beliau telah bertanya kepada Junjungan Nabi SAW: "Wahai Rasulullah, jika aku bertemu dengan Lailatul Qadr, maka dengan apa aku harus bermohon?" Baginda bersabda: "Katakanlah: 'Ya Allah Engkaulah Maha Pemberi Kemaafan, Maha Dermawan, yang suka memberikan kemaafan, maka maafkanlah akan kesalahan kami."Juga dinyatakan pada halaman 103 - 104 kitab tersebut akan satu faedah daripada al-'Allaamah al-Wanaaie seperti berikut:-
Telah berkata al-Wanaaie: "Telah meriwayatkan Ibnu 'Abbas secara marfu' bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda: " Sesiapa yang mengucapkan 'Tiada tuhan selain Allah yang Maha Penyantun lagi Maha Dermawan, Maha Suci Tuhan yang empunya tujuh petala langit dan arsy yang agung,' (3 kali), maka seumpama dia mendapatkan Lailatul Qadr." Iaitu seseorang yang mengucapkan sedemikian itu pada malam yang disangkanya sebagai Lailatul Qadr dan sangkaannya itu meleset. Sungguhpun meleset, segala amalan saleh yang dikerjakannya pada malam tersebut adalah seolah-olah dikerjakan dalam Lailatul Qadr. Dan telah bersabda Junjungan Nabi SAW: "Seseorang yang membaca Ayatul Kursi pada Lailatul Qadar, lebih disukai Allah ta`ala daripada dia mengkhatamkan keseluruhan al-Quran pada malam-malam selain Lailatul Qadr", ( yakni menunjukkan galakan dan besarnya ganjaran beramal pada malam yang mulia tersebut serta kerugian besar bagi yang meninggalkan beramal dalam malam tersebut).Idak le ese ketahui kedudukan sabdaan - sabdaan Junjungan SAW tersebut, belum sompek ese mencarinya. Apa-apa pun ese berbaik sangka dengan yang empunya karangan tersebut. Lagipun, tiadalah kesalahan apa-apa mengamalkan sesuatu zikir walaupun tiada warid daripada Junjungan Nabi SAW. Tentang fadhilatnya, terpulanglah kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa lagi Maha Pemurah, bukan setakat itu berlobih-lobih lagi pun harus di sisiNya. Allahu Akbar.
********************************************************
Nazam Syaikh Abul Hasan mengenai Lailatul Qadr
Nazam Syaikh Abul Hasan mengenai Lailatul Qadr
Wahai yang bertanya
Tentang lailatul qadar bila ada ia
10 terakhir Ramadhan tempatnya dia
Pada yang gasal diharap adanya
Diketahui ia dengan hari Ramadhan bermula
Jika Ahad dan Rabu mula ia, malam ke-29 itulah dia
Jumaat dan Selasa, ke-27 jadi ia
Khamis mula, ke-25 pula
Jika Sabtu hari pertama, ke-23 malam utama
Jika Isnin pula, malam ke-21 jangan lupa
Inilah kaedah dinaqal ia
Dari kalangan ahli sufi zuhud tak cinta dunia
Tentang lailatul qadar bila ada ia
10 terakhir Ramadhan tempatnya dia
Pada yang gasal diharap adanya
Diketahui ia dengan hari Ramadhan bermula
Jika Ahad dan Rabu mula ia, malam ke-29 itulah dia
Jumaat dan Selasa, ke-27 jadi ia
Khamis mula, ke-25 pula
Jika Sabtu hari pertama, ke-23 malam utama
Jika Isnin pula, malam ke-21 jangan lupa
Inilah kaedah dinaqal ia
Dari kalangan ahli sufi zuhud tak cinta dunia
terima kasih kais post entri ini sidi..sangat2 menghargainya.. :)
BalasPadamJazakumullah ustaz. sangat manfaat.Teruskan menulis.
BalasPadam