Selasa, Disember 15, 2009

Tiryaaq Mujarrab

Syaikh Ma'ruf al-Karkhi QS atau nama penuhnya Abu Mahfudz Ma'ruf bin Fairuz al-Karkhi adalah seorang wali besar yang dimakamkan di Kota Baghdad (di sebelah adalah foto makam beliau). Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi dalam "Syarhul 'Ainiyyah" halaman 64 - 67 menyebut antara lain:-

"Beliau adalah seorang syaikh besar yang mustajab doanya, penduduk Baghdad beristisqa' dengan kuburnya (yakni bertawassul dengan beliau untuk memohon Allah menurunkan hujan) dan menyatakan bahawa kuburnya itu adalah tiryaaq mujarrab (penawar yang mujarrab)..... Sesiapa yang ada hajat kepada Allah, maka berdoalah kepada Allah di sisi kuburnya (yakni kubur Syaikh Ma'ruf), sesungguhnya Allah akan mengabulkan permohonannya. Dan sebahagian ulama menyatakan bahawa kubur Ma'ruf adalah tiryaaq (penawar) yang mujarrab (sebagai sebab) untuk menunaikan segala hajat."

Habib Ahmad bin Zain al-Habsyi cuma mengutip pernyataan para ulama sebelum beliau mengenai keutamaan Syaikh Ma'ruf, antaranya sebagaimana yang disebut oleh guru beliau sendiri iaitu al-Habib 'Abdullah bin 'Alawi bin Muhammad al-Haddad.

Maka telah menyebut al-Imam al-Quthub al-Habib 'Abdullah bin 'Alawi bin Muhammad al-Haddad rahimahumUllah dalam karya beliau "Sabilul Iddikar" halaman 64 sebagai berikut:-
"Demikian pula apabila menziarahi kubur-kubur para sholihin maka perbanyakkanlah berdoa di sisinya kerana di antara mereka ada yang Allah jadikan doa di sisi kuburnya mustajab. Perkara seumpama ini mujarrab sehingga penduduk Baghdad menamakan kubur as-Sayyid al-Imam Musa bin al-Imam Ja'far ash-Shoodiq sebagai "at-Tiryaaq al-Mujarrab", iaitu kerana mustajabnya segala doa dan jadi sebab tersingkapnya segala keperluan. Dan demikianlah pula dengan kubur Ma'ruf al-Karkhi dinamakan sedemikian juga dan adalah kuburnya di Baghdad juga."
Rasanya sejarah hidup Syaikh Ma'ruf telah dikenali ramai. Di sini kita bawakan sekelumit mengenai tawadhu` dan khumulnya beliau. Diceritakan bahawa pada satu hari Syaikh Ma'ruf sedang berpuasa sunnat. Tiba-tiba beliau mendengar seorang saudagar berteriak dengan katanya: "Semoga Allah merahmati orang yang sudi meminum airku ini." Mendengar suara saudagar tersebut, Syaikh Ma'ruf telah menghampirinya dan meminum air yang diberikan oleh si saudagar tersebut, walaupun sebelumnya beliau berpuasa. Murid-murid beliau kehairanan dengan tindakan Syaikh tersebut, lalu ada yang bertanya: "Bukankah tuan sedang berpuasa?" Syaikh Ma'ruf al-Karkhi menjawab: "Ya, tetapi aku berbuka dan meminum airnya kerana ingin termasuk dalam doanya (yakni ingin memperolehi doa rahmatnya tadi)."

Allahu ... Allah, lihatlah bagaimana khumulnya Syaikh Ma'ruf yang meninggalkan puasa sunnatnya semata-mata ingin mendapat doa si saudagar tersebut. Bayangkanlah di mana darjat Syaikh Ma'ruf dan di mana pula maqam si saudagar tersebut. Mungkin ada di antara kita yang tidak atau kurang menghargai doa orang lain, dengan anggapan bahawa kita sendiri pun tahu untuk berdoa maka tidak perlulah kepada doa orang lain. Sebenarnya, perasaan sedemikian adalah petanda bahawa dalam diri kita masih ada unsur bangga diri atau membesarkan diri dan kurangnya tawadhu` dan khumul. Juga jangan lupa pada kehebatan tawadhu` Junjungan Nabi SAW yang sanggup berpesan doa daripada Sayyidina `Umar RA, dan demikian juga tawadhu`nya Sayyidina 'Umar RA dan Sayyidina 'Ali sehingga sanggup memohon doanya Sayyidina 'Uwais RA.

Berapa ramai yang tidak mahu mengaminkan doa imamnya setelah sholat berjemaah atas alasan -"Ya semua orang boleh berdoa masing-masing, jadi apa perlu aku mengaminkan doa orang lain, aku sendiri pun boleh berdoa". Mungkin ada yang terlintas begitu di benaknya apabila bangkit meninggalkan jemaah yang sedang mengaminkan doa imam. Teringat akan kata-kata seorang guru - "Orang dulu setelah sholat wiridannya Allahumma antas Salam, sekarang ramai yang wiridannya Allahumma lantas jalan." Alasan-alasan bid`ah dan sebagainya hanya seumpama serbuk perasa untuk menyedapkan keegoan diri. Moga Allah lenyapkan sikap bangga diri kita dan menjadikan kita insan yang khumul berkat Syaikh Ma'ruf al-Karkhi .... al-Fatihah.

*********************************************
Pernyataan Syaikh Khatib al-Baghdadi tentang kubur Syaikh Ma'ruf
(Tarikh Baghdad, Juz 1, Halaman 134, Cetakan Darul Kutub Ilmiah 1417)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan