Khamis, September 09, 2010

تقبل الله منا و منكم

Insya-Allah, esok, Jumaat 10 September, kita akan menyambut 'Aidul Fitri. Maka ese dengan rendah hati mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua ikhwah, maaf zahir dan batin. Semoga hari raya ini lebih bermakna dalam kehidupan kita, bukan sekadar sesuatu yang hanya datang dan pergi begitu sahaja saban tahun. Di hari yang mulia ini juga kita dianjurkan untuk saling ziarah menziarahi untuk bermaafan dan menyambung tali silaturahim sesama kita, juga untuk saling doa-mendoakan dengan ucapan-ucapan keselamatan dan kesejahteraan agar memperolehi kebahagiaan yang hakiki lagi abadi dengan diterimanya segala amal-amal sholeh kita. Ucapan "Selamat Lebaran", "Selamat Hari Raya", "'Eid Mubarak", "TaqabbalAllahu minna wa minkum" dan seumpamanya ucapan-ucapan tahniah adalah sesuatu yang dianjurkan. Bahkan dalam mazhab kita asy-Syafi`iyyah dan mazhab jumhur ulama mengucapkan ucapan-ucapan tahniah di hari raya dihukumkan sebagai sunnat atau mandub, kerana telah datang berbagai riwayat yang menyatakan mengucapkan ucapan-ucapan tahniah pada hari raya telah dilakukan sejak zaman sahabat lagi.

Antara nya apa yang diriwayatkan dengan sanad kepada Jubair bin Nufair RA yang menyatakan bahawa para sahabat Junjungan Nabi SAW apabila bertemu pada hari raya saling mengucapkan sesama mereka dengan ucapan "TaqabbalAllahu minna wa minka". Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani rahimahUllah sanad riwayat ini adalah hasan. Imam al-Ashbihaani dalam "at-Targhib wat Tarhib", juzuk 1 halaman 251 menukilkan juga riwayat ini dengan sedikit perbezaan lafaz, iaitu ucapan yang diucapkan adalah "TaqabbalAllahu minna wa minkum." Imam 'Ala-uddin ibn at-Turkamani al-Hanafi rahimahUllah, ulama hadits bermazhab Hanafi yang wafat tahun 749M/1348H, dalam karya beliau "al-Jawharun Naqiy 'ala Sunan al-Baihaqi" menukilkan sebuah hadits lain yang diriwayatkan oleh Muhammad bin Ziyaad yang menyatakan bahawa dia berada bersama-sama Sayyidina Abu Umaamah al-Baahili RA dan beberapa sahabat Junjungan Nabi SAW yang lain, dan apabila mereka berpisah mereka saling mengucapkan sesama mereka dengan ucapan "TaqabbalAllahu minna wa minkum."

Imam al-Qalyubi rahimahUllah pada hasyiahnya atas kitab Minhajuth Thaalibiin, pada halaman 310 menulis satu faedah seperti berikut:-

Mengucapkan ucapan tahniah pada hari raya-hari raya, bulan-bulan (yakni bulan-bulan seperti Ramadhan dan seumpamanya) dan tahun-tahun (yakni menjelang tahun baru), menurut Imam Ibnu Hajar hukumnya adalah MANDUB.
Oleh itu, marilah kita saling ziarah menziarahi, bermaaf-maafan, bersilatur rahim dan saling doa mendoakan. Moga kehidupan kita di hari-hari depan bertambah cerah, bertambah cemerlang, bertambah gemilang.

من العائدين و الفائزين
تقبل الله منا و منكم

Tiada ulasan:

Catat Ulasan