Rabu, Disember 17, 2014

100 kali haji

Imam at-Tirmidzi rahimahullah telah meriwayatkan dalan "Sunan at-Tirmidzi" pada juzuk ke-5, halaman 288 - 289, sebuah hadits berdarjat hasan ghorib daripada Muhammad bin Waziir al-Waasithiy daripada Abu Sufyan al-Humairiy iaitu Sa`id bin Yahya al-Waasithiy daripada adh-Dhahhak bin Humrah daripada 'Amr bin Syu`aib daripada ayahandanya daripada nendanya bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda:
"Sesiapa yang bertasbih mensucikan Allah 100 kali waktu pagi dan 100 kali waktu petang, maka dia seumpama orang yang mengerjakan 100 kali haji; Sesiapa yang bertahmid memuji Allah 100 kali waktu pagi dan 100 kali waktu petang, maka dia seumpama orang yang membawa 100 ekor kuda di jalan Allah, atau - sabda baginda - orang yang berperang 100 peperangan (jihad); Sesiapa yang bertahlil mengesakan Allah 100 kali waktu pagi dan 100 kali waktu petang, maka dia seumpama orang yang memerdekakan 100 orang hamba daripada keturunan Nabi Isma`il; Dan sesiapa yang bertakbir membesarkan Allah 100 kali waktu pagi dan 100 kali waktu petang, maka tiada seorang pun yang datang pada hari tersebut membawa pahala amalan yang lebih banyak daripadanya selain orang yang mengucapkan takbir seperti yang dia baca atau lebih banyak lagi."
Allahu ... Allah, besarnya ganjaran yang disediakan Allah bagi amalan yang ringan ini. Janganlah ragu dengan ganjaran yang disebutkan oleh Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam tersebut. Lebih besar dari itu pun Allah berkuasa mutlak untuk melimpahkan anugerahNya dan sebesar mana pun ganjaran tersebut, tidak luak sedikitpun rahmat dan anugerah di sisi Allah. Maka carilah sebanyak mungkin bekalan untuk kehidupan yang abadi di sana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan